Baru
Tunggu kejap ya... nak cari entri terbaru

RESIPI

Resipi Oden Original


Resipi Oden Original | Ingat tak post Ayuni yang lalu tentang pengembaraan Ayuni mencari oden hingga ke Family Mart semata-mata kerana telah bermain permainan Oden Cart? Inilah post tu: PENGEMBARAAN MENCARI ODEN. Walaupun dapat makan oden yang dah siap dijual di Family Mart, namun Ayuni masih berasa tak puas hati kerana rupa oden dia nampak tak sama macam oden dalam permainan yang Ayuni main tu. Kenapa oden dalam permainan tu nampak lebih sedap? Jadi Ayuni cuba belajar sendiri cara membuat oden dengan bertanyakan rakan yang berbangsa Jepun. Banyak rupanya ramuan dalam oden original yang kita jarang ketahui. 

Kenapa oden dalam game ni nampak macam lebih sedap daripada oden Family Mart?

Tengok tu... oden dia ada udang galah lagi!

Hari ini Ayuni hendak berkongsi resipi membuat oden original ikut cara tradisional Jepun. Bahan-bahan yang Ayuni akan tunjuk nanti pun bahan ramuan oden asli, dan ia memang nampak jauh berbeza daripada apa yang dijual di Family Mart. Sebelum tu jom kita kenali dulu apa itu oden...

PENGENALAN: APA ITU ODEN DAN ASAL-USUL ODEN

Oden merupakan masakan panas Jepun yang terdiri daripada bahan-bahan diperbuat daripada tauhu, fishcake, telur, rumpai laut, sayuran, daging, makanan laut dan sebagainya. Bahan-bahan ini direndam dalam kuah sup yang berasaskan kicap soya. Antara bahan yang sering dimakan bersama kuah sup oden ialah daikon, konnyaku, telur rebus, chikuwa, hanpen, atsuage, dan ganmodoki. Penyediaan kuah oden berbeza mengikut tempat, contohnya ada kuah oden yang menggunakan stok dashi. Oden biasanya ditemui pada musim sejuk di bulan September dan Oktober kerana penduduk Jepun akan makan oden untuk memanaskan badan. Sake biasanya dicampur dalam kuah oden untuk memberikan kehangatan dalam badan. Oleh itu oden terkenal sebagai makanan di musim sejuk. 

Seorang peniaga sedang menyusun oden di gerainya di Tokyo.

Orang Jepun percaya bahawa oden berkhasiat dimakan kerana mempunyai nilai kalori yang rendah di samping dapat menahan perut daripada lapar sepanjang musim sejuk. Oleh itu, kalau nak jadi kurus makanlah oden setiap hari.

Fakta kandungan nutrisi dalam semangkuk oden.


CARA PENYEDIAAN ODEN TRADISIONAL

Bahan-bahan utama:

1/3 daikon (lobak putih) yang telah dikupas dan dihiris setebal 3/4 inci

2 biji kentang yang dibelah dua (nak belah empat pun boleh kalau kentang besar)

4 biji telur rebus yang telah dikupas

1 bungkus konnyaku (agar-agar diperbuat daripada ubi keladi), hiris kepada kepingan segitiga. Nak pintal-pintal pun boleh, ikut sendiri suka nak buat apa dengan konnyaku tu 

2 keping atsuage (tauhu goreng), belah jadi bentuk segitiga. Celur atsuage dalam air panas.

4 ketul ganmodoki (tauhu goreng yang ada isi sayur tu, kalau susah cari boleh juga guna tauhu yang orang pakai buat tauhu bergedil). Celur ganmodoki dalam air panas.

2-4 gelung chikuwa (gegelung ikan panggang) yang dikerat (boleh juga beli mini chikuwa terus, tak payah nak kerat-kerat)

2-4 keping hanpen yang dipotong segitiga. Kalau susah nak cari hanpen, boleh gantikan dengan seafood tofu. Lebih kurang sama saja rasa dan tekstur dia, cuma hanpen ni lebih lembut dan gebu. Di Malaysia ada kedai Jepun tertentu yang jual Darei Shiro Hanpen. Kadang-kadang hanpen ni ada cheese dalam dia, macam cheese seafood tofu.

2-4 keping satsumage (tauhu ikan). Sebenarnya Ayuni keliru antara tauhu ikan ini dengan tauhu ikan yang berbentuk bulat tu. Mungkin ia sama saja? Kalau salah sila komen nanti...

 4 helai musumbi-kombu (rumpai laut), rendam dalam air sampai kembang. Ni untuk buat stok dashi. Kalau susah nak cari, boleh beli kepingan rumpai laut kering yang orang selalu pakai untuk buat kulit sushi tu dan hiris kecil-kecil, lepas tu rendam.

4-5 sudu besar kicap soya. Paling sesuai guna kicap jenama Kikkoman dan jangan risau sebab Kikkoman telah disahkan halal sejak tahun 2017. Kalau tak jumpa kicap Kikkoman di pasaraya berdekatan, boleh beli kicap dalam peket kecil di kedai sushi dan guna yang itu.

2 sudu besar sake (arak beras Jepun). Bagi golongan Muslim anda tak perlu masukkan sake, atau anda boleh gantikan sake dengan stok dashi pekat yang diperbuat daripada bonito atau perencah kiub ikan bilis dalam penyediaan kuah oden. Gambar ini sekadar hiasan, hehehe...

1 sudu besar gula

Langkah-langkah penyediaan:

Masukkan 4 cawan stok dashi ke dalam periuk yang besar. Masukkan sake (ni tak payah kalau anda Muslim), kicap soya dan gula dalam periuk sama. Dah jadi sup. Masukkan bahan-bahan lain tadi ke dalam periuk juga. Panaskan periuk sehingga sup mendidih, kemudian perlahankan api dan biarkan sup mereneh selama 40-60 minit. Siap dah! Boleh tambah stok dashi atau kicap soya ikut citarasa sendiri.

Rupa oden homemade yang dah siap

Senang buat oden ni sebenarnya kan? Selain daripada bahan-bahan utama yang Ayuni tunjuk di atas, boleh juga masukkan bahan-bahan yang suka dimakan seperti sosej, filamen ketam, cendawan, fishball, ketam ball, dan sebagainya. Kalau di Jepun, mereka biasanya tambah bahan sampingan seperti sotong, kinchaku, kaki ketam, perut khinzir, shirataki, chikuwabu, wakame, sukiyaki daging dan adakalanya mereka letak udon sekali.

Penafian oleh Ayuni Rafilah

Segala penulisan yang dikongsi dalam blog ini merupakan pendapat peribadi milik penulis semata-mata yang telah ditapis mengikut garis panduan Akta Hasutan 1949, Akta Jenayah Komputer 1997 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Semua pendapat yang ditulis dalam blog ini tidak mewakili pendapat mana-mana pertubuhan, jenama dan parti politik.

3 Komen:

  1. Nampak sedap. Tak pernah try lagi oden ni

    BalasPadam
  2. ngeh2 kalo oden kat Malaysia ada udang galah habislaa tatau berapa kena charge ngeh2..

    BalasPadam

Dikuasakan oleh Blogger.