Page Menu

Sebuah blog caca-marba yang hidup segak mati tak mau.
Blogger dia pun sekejap update sekejap jadi hantu.

Total Pageviews

Dibina oleh Ayuni Rafilah © 2014-2023 Hak Cipta Terpelihara
Dikuasakan oleh Blogger.

Apa Itu Abalone?

Perasan tak bila musim perayaan Tahun Baru Cina mesti ternampak pasaraya bagi harga istimewa untuk abalone dalam tin. Abalone merupakan bahan hidangan mewah semasa makan besar menjelang perayaan Tahun Baru Cina. Tetapi apa benda sebenarnya abalone ni... buah, sayuran atau haiwan? Sebenarnya abalone ialah sejenis siput laut. Biasanya ia dijual pada harga yang agak mahal kerana susah nak tangkap abalone, malah penangkapan abalone haram dibuat secara meluas sebab abalone ni antara haiwan yang diancam kepupusan. 

Abalone dan Tahun Baru Cina

Jadi apa kaitan abalone dengan Tahun Baru Cina? Abalone merupakan antara bahan resipi yang penting dalam Pen Cai / Poon Choi, iaitu sejenis hidangan tradisonal kaum Cina. Menurut kisah sejarah, Pen Cai pernah dihidangkan oleh penduduk tempatan yang melindungi Maharaja China dan tenteranya semasa mereka menyelamatkan diri daripada serangan tentera Mongolia di zaman Dinasti Song. Dipercayai bahawa sekiranya seseorang memakan atau dihadiahkan abalone semasa Tahun Baru Cina, dia akan dilimpahi rezeki dan kebahagiaan. Adakalanya hirisan daging abalone dan ikan salmon dicampurkan ke dalam hidangan yee sang untuk dimakan bersama tetamu semasa menyambut Tahun Baru Cina.

Pen Cai / Poon Choi

Beli abalone segar di pasaraya

Baru-baru ini Ayuni rasa terkejut sebab terjumpa abalone segar dijual di pasaraya berdekatan rumah. Jarang jumpa abalone yang dijual luar daripada tin. Saiz setiap seekor besar betul, kesemuanya telah dibuka cangkerang separuh. Disebabkan teruja sangat nak merasa abalone, Ayuni pun belilah setengah dozen. Bila dah bawa balik ke rumah baru teringat tak reti macam mana nak masak abalone. Kulit cangkerang abalone tebal macam kulit kupang dan lokan. Tekstur dagingnya nampak kenyal. Mungkin cara masaknya sama macam masak kupang dan lokan? Tak apalah, kita Google je lah resipinya nanti...

Inilah abalone yang Ayuni beli di pasaraya tu

Khasiat abalone

Sambil mencari resipi abalone terjumpalah sekali satu artikel tentang khasiat abalone. Rupa-rupanya abalone mengandungi lemak rendah dan sumber omega 3, iodin dan fosforus. Omega 3 baik untuk mencegah kanser, mengurangkan penyakit jantung serta simptom masalah sakit otot. Iodin ialah mineral yang membantu melancarkan perkembangan tubuh badan dan sistem saraf. Manakala fosforus berfungsi sebagai pelindung ketika darah membawa tenaga serta menjaga kesihatan buah pinggang anda. Ia juga kaya dengan pelbagai Vitamin A hingga Vitamin B6 yang mengalakkan sistem imunisasi lebih baik. Malah, kandungan minyak sihat dalam abalone boleh membuat kulit jadi lebih lembut dan cantik!

Abalone dalam budaya lain

Sebelum ini Ayuni pernah dengar kisah tentang abalone yang diceritakan dalam budaya Amerika Asli kaum Apache. Menurut legenda Apache, wanita pertama di dunia muncul selepas berlaku satu kejadian bah besar. Namun wanita itu terselamat kerana dia dilindungi oleh kulit cangkerang abalone. Dia kemudian berkahwin dengan Matahari dan Hujan, dan melahirkan dua orang wira yang ditugaskan untuk memusnahkan raksasa agar Bumi selamat untuk dihuni manusia. Wanita itu akhirnya mengembara ke arah Timur dunia sehinggalah di penghujung hayatnya apabila dia bertemu dengan dirinya yang muda. Mereka bergabung dan wanita itu dikatakan "lahir semula" menjadi wanita baru. Perkara ini berlaku berulang kali dari generasi ke generasi. Kaum Apache akan mengadakan majlis upacara untuk anak-anak perempuan yang sudah mencapai usia akil baligh sebagai cara untuk memperingati "kelahiran semula" wanita abalone tersebut. Anak perempuan yang diraikan akan dipakaikan kulit cangkerang abalone pada dahi sebagai simbol penerimaan kuasa spiritual yang diturunkan dari nenek moyang mereka.

Wanita abalone dari legenda Apache mengikut bayangan pelukis

Tiada ulasan