Page Menu

Sebuah blog caca-marba yang hidup segak mati tak mau.
Blogger dia pun sekejap update sekejap jadi hantu.

Total Pageviews

Dibina oleh Ayuni Rafilah © 2014-2023 Hak Cipta Terpelihara
Dikuasakan oleh Blogger.

Adam Weishaupt: Bapa Pengasas Illuminati


Illuminati dalam entri blog ini merujuk kepada gerakan yang ditubuhkan pada 1 Mei 1776. Nama Illuminati diambil sempena perkataan Latin 'illuminatus' yag bermaksud "pencerahan". Gerakan tersebut berasal dari Bavaria dan diasaskan oleh Adam Weishaupt. Sekiranya Adam Weishaupt masih hidup di zaman sekarang, dia pasti akan berasa terkejut apabila mengetahui idea-idea miliknya bercambah menjadi teori konspirasi global serta memberi inspirasi kepada kebanyakan penerbitan novel dan filem di seluruh dunia sepanjang dua abad ini.

Asal-Usul Adam Weishaupt, Bapa Pengasas Illuminati

Bagaimana seorang pensyarah undang-undang dari Bavaria di kurun ke-18 menjadi pengasas kepada sebuah pertubuhan rahsia yang paling berbahaya di dalam dunia? Sebenarnya pertubuhan Illuminati tidak akan meluas dengan jayanya tanpa kewujudan campur tangan dari kumpulan rahsia lain yang berpengaruh kuat pada masa itu, iaitu Freemason.

Potret Adam Weishaupt

Johann Adam Weishaupt berketurunan Yahudi yang telah memeluk agama Krisitian. Dia lahir di bandar Ingolstadt yang terletak di Bavaria pada tahun 1748 dan merupakan anak yatim piatu. Bapa saudara Adam mengambil alih tanggungjawab membesarkan Adam. Dia menghantar Adam ke sekolah Katolik bagi memastikan Adam menerima pendidikan yang baik. Setelah menamatkan pengajian, Adam bekerja sebagai pensyarah dalam bidang pengkhususan undang-undang semulajadi dan hukum kanun di Universiti Ingolstadt. Seperti kebanyakan orang dewasa, dia kemudiannya berkahwin dan mempunyai keluarga. 

Sejak kecil lagi Adam memiliki minda yang tidak pernah putus berfikir, dan hobi utamanya ialah membaca buku. Antara buku yang Adam gemar baca termasuk penulisan ahli falsafah zaman Pencerahan Perancis dalam koleksi perpustakaan peribadi milik bapa saudarnya. Adam pernah berangan untuk menubuhkan organisasi rahsia seperti gerakan Freemason yang sedang menular ke serata Eropah pada ketika itu. 

Logo Freemason. Simbol jangka lukis dan pembaris sesiku melambangkan  Huruf G mewakili 'The Great Architect of the Universe' (GAOTU) yang bermakna Arkitek Agung Sekalian Alam. Huruf ini juga mengingatkan kepada ahli bahawa setiap perbuatan disaksikan oleh Arkitek Agung Sekalian Alam. Ada kebarangkalian ia merujuk kepada Tuhan (God) kerana kepercayaan kepada Tuhan merupakan syarat utama untuk menjadi ahli Freemason. Oleh itu, tiada atheis yang menjadi ahli Freemason.

Adam bercadang untuk menyertai Freemason kerana tertarik dengan gerakan tersebut yang menyokong serta menggalakkan individu pemikiran liberal ("freethinker"). Pada zaman itu kebanyakan negara di Eropah termasuk Bavaria masih mengamalkan sistem politik konservatif yang berteraskan keagamaan. Adam tidak menolak agama, namun dia merasakan ajaran agama sudah tidak relevan lagi untuk diterapkan dalam corak pemerintahan moden. Oleh itu, Adam berusaha untuk mengubah politik Bavaria ke arah bentuk sekular dengan menubuhkan Illuminati yang pada awalnya dianggotai oleh pelajar-pelajarnya sendiri dari universiti. Di hujung tahun 1784, Illuminati mempunyai seramai 3,000 orang pengikut dengan penyertaan baru dari kalangan bangsawan, ahli politik, golongan intelek, doktor, peguam, ahli perundangan, dan penulis.

Hanya golongan bangsawan dari keluarga pemerintah atau golongan profesional seperti ahli politik, golongan intelek, doktor, peguam, ahli perundangan, agamawan, serta penulis dan pemengaruh media yang memenuhi kriteria organisasi rahsia akan terpilih menyertai Illuminati. Inilah gunanya ada kabel.

Kelahiran Awal Illuminati

Matlamat utama pertubuhan Illuminati ialah untuk menghapuskan kepercayaan khurafat, menghentikan aktiviti-aktiviti seperti penyembunyian rahsia oleh kerajaan, pengaruh agama ke atas kehidupan awam, dan penyalahgunaan kuasa kerajaan. Penghapusan perkara-perkara ini dipercayai akan melahirkan dunia baru yang lebih adil, telus, aman dan teratur - New World Order.

Jurnal pembentukan dan protokol Illuminati tulisan Adam Weishaupt

Dianggotai oleh 5 orang lelaki yang berasal daripada latarbelakang keluarga paling berpengaruh dalam masyarakat, Illuminati dilahirkan pada malam 1 Mei 1776 di bawah sinaran nyala api obor. Antara anggota Illuminati termasuk Baron Von Knigge yang merupakan bekas ahli Freemason dan dia banyak membantu Adam mengembangkan sayap Illuminati hingga ke Bavaria. Knigge juga memperkenalkan ritual yang dipelajarinya semasa berada dengan Freemason kepada Illuminati untuk diterapkan. 

Dokumen oleh Adam Weishaupt yang memasukkan imej burung hantu sebagai haiwan simbol Illuminati. Burung hantu melambangkan semangat pelindung yang bijaksana. Ia juga merupakan burung peliharaan yang selalu mengiringi Minerva, Dewi Kebijaksanaan dan Peperangan dalam mitos Yunani, di samping dua burung gagaknya Fobos dan Deimos. Dalam tangga pangkat keahlian Illuminati, pangkat kedua tinggi dikenali sebagai Minerval.

Malangnya tidak lama kemudian Adam dan Knigge kerap berbalah tentang hala tuju Illuminati dan akhirnya Knigge bersama pengikut-pengikutnya meninggalkan pertubuhan rahsia tersebut. Mereka dipercayai membuka beberapa pertubuhan rahsia lain yang memiliki unsur Masonic. Pada masa yang sama Perancis sedang menghadapi krisis revolusi rakyat yang telah mengorbankan nyawa ramai golongan bangsawan dan pemerintah, dan kerajaan Bavaria sedang berjaga-jaga untuk menghindari krisis yang sama daripada berlaku. Kebimbangan Bavaria membuka peluang kepada salah seorang pengikut Knigge, Joseph Utzschneider, untuk memfitnah Adam dan Illuminati.

Joseph menulis surat terbuka kepada Permaisuri Bavaria dengan alasan ingin membongkar kegiatan subversif di kalangan pertubuhan rahsia dan kongsi gelap yang berpotensi membahayakan sistem kerajaan Bavaria. Joseph mereka-reka cerita dengan mengatakan pengikut Illuminati menghalalkan perbuatan membunuh diri dan meracuni musuh, serta mereka memperlekehkan agama. Joseph menambah bahawa pengasas Illuminati iaitu Adam pernah dilihat bertemu dengan ketua revolusi Perancis, Maximilien Robespierre dan dipercayai memainkan peranan dalam krisis Revolusi Perancis, oleh itu tidak mustahil Illuminati juga sedang berkomplot untuk menggulingkan kerajaan Bavaria.

Sehingga hari ini Illuminati sering dituduh oleh peminat teori konspirasi sebagai dalang kepada segala kacau bilau yang berlaku dialam dunia walaupun tiada bukti.

Berdasarkan surat Joseph dan siasatan selanjutnya oleh pihak berkuasa, kerajaan Bavaria mengharamkan Illuminati serta menjatuhkan hukuman mati kepada sesiapa yang menyertai pertubuhan tersebut. Adam dipecat daripada Universiti Ingolstadt lalu dijatuhkan hukuman buang daerah. Dia berhijrah ke Saxony dan mengambil alih tugas baru sebagai pensyarah falsafah di Universiti Gottingen. Para pengikut Adam pula ramai yang berhijrah ke Perancis dan bercadang hendak meneruskan ideologi Illuminati di sana. Berakhirlah kisah Illuminati yang asalnya di Bavaria.

Illuminati telah lama dibubarkan namun legasinya masih berterusan

Walaupun Illuminati dipercayai telah dibasmi oleh kerajaan Bavaria, namun banyak peristiwa dunia yang berlaku seterusnya meletakkan Illuminati sebagai dalangnya. Sehingga ke hari ini ramai menuding jari ke arah Illuminati apabila merujuk kepada teori konspirasi seperti pembunuhan John F. Kennedy. Realitinya masih banyak pertubuhan rahsia yang kekal wujud selepas pembubaran Illuminati milik Weishaupt dan sudah tentu antara kumpulan rahsia yang masih berpengaruh hingga ke hari ini ialah Freemason (dengan anggaran 6 juta pengikut dari seluruh dunia setakat tahun ini).

Persidangan ritual gerakan Freemason di United Grand Lodge, England

Jika diteliti kronologi penubuhan Illuminati dari sejarah awal penubuhannya sehingga ke zaman sekarang, nyata ia sekadar boneka dan adakalanya dijadikan kambing hitam oleh Freemason. Ini bermakna Freemason merupakan kumpulan rahsia yang jauh lebih berpengaruh daripada Illuminati!

Kewujudan Gerakan Illuminati Di Malaysia

Di Malaysia gerakan Illuminati bergerak di bawah nama Freemason walaupun ada ahli anggota yang mengatakan Freemason tidak memfokuskan pada agenda politik seperti Illuminati. Ada banyak bangunan yang mempunyai kaitan dengan Illuminati di Malaysia. Antaranya, “Masonic Hall” di Jalan OUG Bukit Jalil, Kuala Lumpur, “Masonic Lodge” di Jalan Brown (Pulau Pinang), “Masonic Lodge” Kedah, “Masonic Hall” di Kuala Krai (Kelantan), “Masonic Lodge” di Jalan Sultan Azlan Shah, Ipoh (Perak), “Masonic Hall” di Jalan Junid, Muar (Johor) dan “Masonic Hall” di Kuching (Sarawak).

Masonic Lodge Kedah

Di Malaysia, kumpulan ini banyak dianggotai ahli perniagaan, orang politik dan orang agama. Untuk menjadi ahli kumpulan itu hanya melalui jemputan. Maknanya, mereka dipilih dan bukannya boleh memohon dengan mengisi borang.

Freemason di Pulau Pinang, Malaysia

Tiada ulasan