Page Menu

Sebuah blog caca-marba yang hidup segak mati tak mau.
Blogger dia pun sekejap update sekejap jadi hantu.

Total Pageviews

Dibina oleh Ayuni Rafilah © 2014-2023 Hak Cipta Terpelihara
Dikuasakan oleh Blogger.

Carlos Kaiser, Legenda Bola Sepak Profesional Yang Tidak Pernah Bermain Bola


Dia merupakan antara legenda bola sepak Brazil 80-an dan 90-an yang paling terkenal, namun dia tidak pernah beraksi di padang. Begitulah kisah Carlos Henrique Raposo, seorang penipu yang berlakon sebagai bintang bola sepak dan menjadi popular kerana 'kehandalannya' di atas padang walaupun tidak pernah bermain walau satu perlawanan pun. Selama lebih 20 tahun, dia menggunakan pesona, tipu helah dan pelbagai pembohongan bijak untuk mengaburi mata pasukan-pasukan yang menandatangani kontrak dengannya.

Carlos berjaya hidup dalam penipuan selama 26 tahun tanpa disedari sesiapa sehinggalah dia bersara pada usia 41 tahun dan dikenali sebagai bintang penyerang bola sepak yang tidak pernah menjaringkan gol!

Kemunculan Awal Carlos Kaiser

Menurut Carlos, dia mendapat nama gelaran "Kaiser" kerana persamaannya dengan lagenda Jerman, Franz Beckenbauer. Ketika kecil, seperti impian kebanyakan kanak-kanak di Brazil, Carlos mahu menjadi pemain bola sepak. Sebenarnya dia agak berbakat ketika muda dan telah disunting oleh kelab Mexico, Puebla. Walau bagaimanapun, dia sedar bahawa bakatnya sebenar tidak cukup untuk menempa nama dalam sukan ini, tetapi dia tidak putus asa.

Bermodalkan berkawan rapat dengan pemain ternama seperti Romario, Renato Gaucho dan Edmundo si Binatang, Kaiser berjaya bergiat sebagai pemain bola separuh masa dan menipu sepenuh masa. Disebabkan hubungannya dengan pemain-pemain di atas, Kaiser berjaya mendapatkan tempoh percubaan sekurang-kurangnya selama tiga bulan dengan beberapa kelab. 

Senarai kelab yang disertai Carlos

Modus Operandi Penipuan "The King"

Carlos akan menunjukkan video palsu "tendangan gol terbaiknya" dan membayar "peminat" untuk menyeru namanya bagi meyakinkan pengurus-pengurus kelab bahawa dia adalah seorang bintang bola sepak sejati. Namun, bila tiba masa untuk menunjukkan bakatnya, dia pandai mencari pelbagai alasan supaya dapat mengelak daripada bermain.

Sebaik sahaja diterima bermain, Kaiser mula melancarkan modus operandinya. Pertama, dia akan meminta kelab untuk memberikan masa kepadanya untuk meningkatkan kecergasan sebelum dia mampu untuk turun bermain dalam perlawanan sebenar, dan apabila dia menyertai sesi latihan, dia akan berpura-pura jatuh dan memegang hamstring sambil meraung kesakitan. 

Disebabkan ketika itu tiada peralatan untuk memeriksa tahap kecederaan seperti hari ini, kelab tiada pilihan selain mempercayai 'kecederaannya', sekaligus membiarkannya menjalani rawatan dan pada masa yang sama, dia mendapat gaji daripada kelab. Dengan kata lain, Kaiser akan makan gaji buta di setiap kelab yang disertainya.

Adakalanya Carlos akan mulakan perbalahan sehingga dipaksa keluar padang dan juga menggunakan alasan menghadiri pengebumian neneknya. Alasan nenek meninggal dunia itu juga telah digunakan lebih daripada empat kali.

Carlos dikenali sebagai penyerang bola sepak profesional walaupun tidak pernah beraksi di padang.

Penipuan Demi Penipuan Licik

Selain menggunakan rakaman video tendangan gol yang palsu, Carlos juga menyogok pelbagai maklumat palsu kepada pihak wartawan yang akan menulis artikel-artikel menggegarkan yang melabelkan dirinya sebagai "the King" dan sebagainya.

Pernah terjadi satu peristiwa apabila dia hampir dibawa masuk ke padang sebagai pemain gantian bagi pasukan Bangu di Rio yang sedang berada di ambang kekalahan dengan skor 2-0. Ketika itu, Carlos dengan tidak semena-mena terus memanjat pagar, menjerit-jerit sambil melaungkan kata-kata kesat kepada para penyokong pihak lawan. Dia terus dilayangkan kad merah serta-merta oleh pengadil.

Semasa dia menjadi bintang kelab bola Perancis Gazelec Ajaccio dan perlu menghadiri sesi latihan bersama peminat, Carlos menendang kesemua bola ke arah peminat untuk disimpan sebagai cenderamata. Disebabkan kehabisan bola, pasukan itu tidak dapat berlatih pada hari tersebut dan Carlos Kaiser sekali lagi berjaya 'mengelat.'

Carlos juga sering meyakinkan semua orang bahawa dia menerima banyak tawaran daripada kelab-kelab Eropah dengan berpura-pura bercakap dalam bahasa Inggeris menggunakan telefon bimbitnya. Lakonan drama ini terpaksa dihentikan apabila terdapat seorang jurulatih yang boleh berbicara dalam bahasa Inggeris dengan sempurna mendapati bahasa Inggeris Carlos sangat teruk lalu terbongkar rahsia bahawa telefon bimbit Carlos merupakan telefon bimbit mainan!. 

Wartawan disogok menulis tentang "kehebatan" Carlos di arena sukan bola sepak

Pandai Cari Kabel

Carlos sentiasa mempunyai kepingan gambar dirinya bersama pemain-pemain bola Brazil yang terkenal untuk lebih menjayakan penipuannya. Dia sentiasa berkeliaran di kelab-kelab malam paling eksklusif di Rio untuk mencari pemain bola yang terkenal. Di situlah Carlos menggunakan tarikan keperibadiannya yang menawan dan mula berkawan dengan Romario, Bebeto, Carlos Alberto serta Zico sehingga mereka juga terpedaya dan menyangka Carlos adalah bintang bola sepak seperti mereka.

Legenda bola sepak Brazil, Bebeto, pernah menyatakan Carlos boleh menawan hati sesiapa sahaja. Sebaik sahaja dia membuka mulut, orang di sekelilingnya pasti terpukau dengan setiap patah kata yang diucapkan.

Dengan bantuan rakan-rakan pemain bola terkenal inilah Carlos berjaya membuatkan banyak kelab benar-benar percaya untuk menandatangani kontrak dengannya. Ia bermula dengan Botafogo, diikuti pula dengan Flamengo.

Carlos akan berkeliaran di kelab-kelab malam eksklusif di Rio untuk berkawan dengan pemain-pemain bola sepak terkenal

Selepas 26 Tahun...

Pada tahun 2018, kisah Carlos yang menakjubkan ini telah diadaptasi menjadi sebuah filem berjudul "The Greatest Footballer Never to Play Football" yang diarahkan oleh Louis Myles.

Sehingga hari terakhirnya sebagai seorang 'bintang bola sepak,' Carlos Kaiser telah berjaya melewati 10 kelab terkemuka dengan satu set statistik yang tidak pernah dicapai oleh orang lain: tiada perlawanan, tiada jaringan gol dan tiada bantuan gol.

Carlos yang kini berusia 55 tahun menderita sakit pinggul dan mempunyai penglihatan yang tidak begitu baik. Dia juga telah menjadi seorang penganut agama Buddha dan memenuhi impiannya selama ini untuk menjadi seorang jurulatih kecergasan yang melatih ahli bina badan wanita.

Carlos kini sudah bersara daripada dunia bola sepak dan menjadi seorang jurulatih kecergasan yang melatih ahli bina badan wanita.

2 ulasan:

  1. pelik. x kena tangkap laa pulak ya

    BalasPadam
    Balasan
    1. DEAR ANIES... Itu yang pelik, sebaliknya dibuat filem pula kisah Si Carlos tu.

      Padam