Page Menu

Sebuah blog caca-marba yang hidup segak mati tak mau.
Blogger dia pun sekejap update sekejap jadi hantu.

Total Pageviews

Dibina oleh Ayuni Rafilah © 2014-2023 Hak Cipta Terpelihara
Dikuasakan oleh Blogger.

Pengalaman Seram Bermain Ouija Board

Ini ialah kisah pengalaman Ayuni bermain permainan Ouija Board (sebutannya ialah "wee-jee bohd") bersama rakan-rakan di zaman sekolah dulu-dulu.

Di waktu tengahari selesai waktu persekolahan, Ayuni dan seorang lagi rakan (tak ingat dah nama rakan seorang lagi tu, kita gelar dia 'Adalah' cukuplah ya) duduk lepak di bawah tangga sekolah, di mana terletaknya patung Virgin Mary (milik biara yang menubuhkan sekolah kami) yang pucat diperbuat dari batu marmar berdiri. Terasa seolah-olah Ibu Maryam memerhati kami dengan perasaan tidak senang hati.

Adalah menyandarkan beg sekolahnya pada patung tersebut lalu membuka cerita tentang penampakan satu lembaga di perigi lama depan gereja kecil dalam sekolah kami.

"Sister B**t kata ada murid nampak budak perempuan terjatuh ke dalam perigi tu."

"Eh, bukan perigi tu dah lama ditutup dengan jaring besi ke?"

"Itu yang peliknya tu... tak ada siapa pernah buka jaring tu sejak zaman merdeka dulu. Lagipun bila Sister B**t dan Head Girl periksa perigi tu, tak ada pula kesan perigi tu dibuka. Kelibat budak perempuan yang dikatakan jatuh tu pun tak ada."

Tak lama kemudian muncul Adalah 2 ke arah kami. Adalah 2 suka menganggap dirinya lelaki dan dia selalu memakai seluar track suit ganti pinafore bila berjalan balik dari sekolah.

Adalah tak sukakan Adalah 2 dan baru sahaja hendak beredar, apabila tiba-tiba Adalah 2 kata dia perlukan dua orang pemain untuk bermain satu permainan menarik dengannya.

Kami lihat Adalah 2 mengeluarkan sebuah kotak kayu kecil yang berlipat daripada beg sekolahnya. Dia membuka lipatan kotak kayu tersebut menjadi sekeping papan berwarna coklat gelap, dan kelihatan barisan nombor serta huruf tersusun di atas permukaan papan kayu itu.

"Ini Ouija board yang abang aku bawa balik dari Kanada."

Kemudian dia kelihatan seperti mencari sesuatu.

"Ah, penunjuk dia dah hilang pula. Tak apalah, kita pakai gelas untuk gantikan penunjuk tu."

Kami bertiga pun beralih tempat ke meja kantin sekolah. Adalah 2 tidak segan-silu meminjam gelas kaca daripada auntie kantin untuk aktiviti tidak berakidah kami. Ayuni pula sempat membeli ayam goreng dan snek rumpai laut kering untuk mengalas perut, kerana ada pepatah Bahasa Inggeris yang mengatakan "syaitan suka bekerja dalam perut orang yang kosong". 

Atau adakah peribahasa itu sebenarnya berbunyi "syaitan suka bekerja dalam otak orang yang kosong"?

Adalah 2 menunjukkan kami cara menggunakan Ouija Board tu untuk menyeru roh. 

"Telangkupkan gelas ke atas duit syiling 50 sen. Setiap orang letakkan tangan masing-masing ke atas buntut gelas, tetapi jangan gerakkan. Tanya dulu roh sekiranya dia dah berada di kawasan, gelas tu nanti roh akan gerakkan untuk menjawab soalan."

Adalah mula bertanya, "Soalan apa yang kita nak tanya roh tu nanti?"

Adalah 2 jawab dia tak tahu.

Kami pun mengoyakkan kertas daripada buku tulis lalu merancang soalan-soalan apa yang nak ditanya pada roh itu.

Ayuni ingin tahu sama ada Ayuni akan menjadi kaya apabila dewasa nanti. Adalah ingin tahu jika dia akan berkahwin nanti. Adalah 2 pula ingin tahu jika dia akan pergi ke luar negara seperti abangnya.

Soalan-soalan 'warm-up' untuk mengenali roh terdahulu seperti siapa namanya, dari mana asalnya, bagaimana ia mati dan sebagainya juga telah siap ditulis sebagai protokol bagi menghormati si mati yang telah diganggu rehat abadinya.

Kantin kini lengang. Tiada siapa tinggal kecuali kami bertiga... dan auntie kantin yang sedang mengemas dapur di satu ceruk. Saatnya telah tiba. Kami bertiga memegang gelas kaca pada masa yang sama, hati berdebar memikirkan roh apa yang akan menyahut seruan kami nanti. Adakah roh baik atau jahat akan menghampiri kami? Kalau roh jahat, adakah ia akan cuba merasuk kami? Jika ia merasuk salah seorang daripada kami bertiga, patutkah kami lari dari situ atau lawan rakan yang telah dirasuk tu?

"O ye spirit from the depths of Hell, Heaven or Purgatory or whatever... attend to our questions, please."

Kami memang bercakap dalam Bahasa Inggeris saja di sekolah.

Sekian beberapa lama, tiada apa-apa yang berlaku. Kami mengulangi seruan tadi.

Pun tak ada sedikit pun gerakan.

Kami ulang semula hingga ke satu tahap Adalah 2 mula memaki-hamun roh yang entah ada atau tak untuk mendengar makiannya.

Akhirnya setelah lebih kurang setengah jam, Adalah mula menjadi bosan dan mahu menarik diri. Ayuni pun bersetuju dengan Adalah sebab nak kejar bas seterusnya untuk pulang ke rumah.

Tak lama kemudian, kami terdengar bunyi dentingan kecil dalam gelas tersebut.

Apabila gelas diangkat, duit syiling 50 sen itu sudah hilang.

1 ulasan:

  1. Dulu pernah tengok kawan serumah main benda macam ni. tak berani nak join. Bukan takut hantu tapi sebab pernah dengar ustaz kata haram orang islam main benda tu. Tapi zaman tu kawan2 bukan peduli pun..Hahah..degil ya amat.. Kita tukang tengok je..

    BalasPadam