Showing posts with label PELIK. Show all posts
Showing posts with label PELIK. Show all posts

February 6, 2020

Yasuke, Samurai Berkulit Hitam Keturunan Afrika Yang Hampir Dilupai Dalam Sejarah Jepun


Apabila diceritakan tentang kisah samurai, pasti ramai yang membayangkan wajah-wajah pahlawan Jepun yang garang dan bertubuh tegap dilengkapi dengan pakaian perisai penuh sambil menghunus pedang katana yang menjadi simbol keperwiraan bangsa Jepun di zaman Edo. Namun, tahukah anda bahawa kira-kira 500 tahun dahulu wujud seorang lelaki berkulit hitam dari Afrika yang menjadi legenda di kalangan tokoh samurai di Jepun?


Pada tahun 1579, seorang mubaligh Kristian dari Itali tiba di Kyoto bersama-sama pembantunya, seorang pemuda berkulit hitam berketurunan Afrika. Mubaligh tersebut, Alessandro Valignano, telah diamanahkan untuk mengembangkan fahaman Katholik di bahagian Asia Timur, terutamanya di Jepun. 

Ketika berada di Jepun, Alessandro berasa terkejut dengan cara mubaligh Kristian lain di sana mengendalikan dakwah mereka kerana mereka enggan menghormati adat dan budaya Jepun serta memandang rendah terhadap orang-orang Jepun. Alessandro tidak menyokong kumpulan mubaligh tersebut lalu menjalankan dakwah dengan caranya tersendiri iaitu dengan mempelajari adat resam serta bahasa Jepun dan bergaul dengan masyarakat sana, sambil dibantu oleh pengikutnya pemuda berkulit hitam yang tidak diketahui nama sebenar dan asal-usulnya itu. 


Ada yang mengatakan kemungkinan pembantu Alessandro berasal dari Mozambique, ada yang kata dari Sudan, ada juga yang membuat andaian bahawa dia berasal dari Ethiopia dan Nigeria. Tiada rekod tentang identiti sebenar pemuda berkulit hitam tersebut, malah namanya juga sehingga kini masih misteri.


Pembantu Alessandro menjadi tumpuan ramai mata yang memandang disebabkan rupanya yang unik, sehinggakan ada yang mati kena pijak dalam satu rusuhan beramai-ramai semata-mata hendak melihat wajahnya. Seluruh Jepun kehairanan melihat rupa pemuda itu. Mereka menggelar pemuda berkulit hitam itu "Yasuke", yang bermaksud Si Hitam.


Disebabkan Yasuke fasih bertutur dalam bahasa Jepun, dia mampu berbicara dengan masyarakat sekelilingnya. Kemahsyuran Yasuke sampai ke telinga pemerintah daerah ketika itu iaitu Oda Nobunaga. Nobunaga yang terpegun melihat warna kulit Yasuke pada mulanya menyangka badan Yasuke dicat dengan dakwat hitam, malah pernah menyuruh Yasuke membuka baju supaya Nobunaga boleh mencuci kulitnya. Apabila dia menyedari kulit Yasuke memang benar-benar hitam, Nobunaga menganggap Yasuke sebagai dewa lalu menganjurkan kenduri besar sebagai penghormatan ke atasnya.


Di samping warna kulit Yasuke, Nobunaga juga tertarik dengan kemahirannya dalam berlawan menggunakan senjata. Lama-kelamaan Yasuke menjadi rapat dengan Nobunaga, sehingga Nobunaga melantiknya menjadi samurai di bawah kepimpinannya. Yasuke diberikan tempat tinggal dan senjata, serta dilantik menjadi pembawa senjata perang. Dari situlah Yasuke menjadi terkenal sebagai Samurai Hitam (the Black Samurai) yang digeruni ramai.


Salah seorang samurai pada masa itu, Matsudaira, mencatit bahawa Yasuke mempunyai "ketinggian 6 kaki 2 inci (1.88 m)" dan "kulitnya hitam bak arang". Ketinggian Yasuke merupakan sesuatu yang ganjil di Jepun pada masa itu kerana rata-rata ketinggian normal lelaki Jepun di kurun ke-16 ialah 5 kaki 2 inci (157.9 m).


Pada tahun 1582, pasukan Nobunaga tewas diserang oleh pihak musuh. Sebelum membunuh diri melalui sepukku, Nobunaga mengamanahkan Yasuke untuk membawa pedang warisan miliknya serta menyerahkan kepalanya yang telah dipancung kepada Oda Nobutada, anak lelaki Nobunaga. Nobunaga mengingatkan Yasuke untuk meneruskan perjuangan mereka di sisi Nobutada.


Yasuke mengikut amanat Nobunaga dan berlawan di sisi Nobutada di peperangan, sehinggalah pada suatu hari Yasuke ditangkap oleh musuh.

Yasuke dibawa ke hadapan ketua pasukan pihak musuh, Akechi, namun dia tidak dibunuh seperti anggota-anggota pasukan Nobutada yang lain. Sebaliknya Akechi berkata, "lelaki hitam ini tidak harus dibunuh kerana dia bukan manusia, tetapi haiwan yang tidak memahami apa-apa... dia juga bukan orang Jepun."

Akechi mengarahkan supaya Yasuke dihantar ke  di sebuah gereja di Kyoto dan dilepaskan ke sana. 


Semenjak dari itu tiada siapa yang pernah mendengar khabar berita tentang Yasuke lagi. Namun ada desas-desus yang mengatakan bahawa Yasuke telah menjadi seorang ronin (samurai tidak bertuan) dan meneruskan kehidupan di Jepun sebagai pahlawan misteri.


July 8, 2019

Kereta Pun Dah Pakai Maskara...

Macam-macam fesyen hiasan kereta zaman sekarang ni. Sampai maskara pun nak dipakaikan dekat kereta. Eh, menawan pula tengok melentiknya bulu mata - err, lampu depan kereta-kereta ni. Kalah bulu mata kita...


May 11, 2019

Senarai Peralatan Dapur Yang Pelik Tetapi Berguna


Macam-macam jenis peralatan dan perkakas dapur telah dicipta bagi tujuan menmudahkan kerja memasak dan menyediakan hidangan. Tetapi senarai peralatan dapur yang Ayuni jumpa ni memang betul-betul pelik dan jarang ditemui. Walaupun pelik, kesemua peralatan ni mempunyai fungsi berguna dan menambahkan keseronokan dalam aktiviti memasak di dapur. 


PELEMBUT DAGING INFINITY GAUNTLET: Rasanya selepas dia dah lenyapkan separuh kehidupan dari dunia, Thanos pakai sarung tangan ni untuk memasak cheeseburger di teratak persaraannya. 


PENCALIT MENTEGA (BUTTER STICK): Senang nak sapu mentega, cuma calit pada roti macam lipstik. Tak payah nak guna pisau mentega, juga tak perlu nak cari bekas untuk simpan mentega yang dah digunakan lagi!


KEPALA PENYEMBUR LIMAU: Bayangkan betapa mudahnya nak keluarkan jus daripada buah-buahan tanpa mengupas dan memotong dengan pisau. Sebenarnya Ayuni dah ada alat ni di dapur, beli dari Daiso tempoh hari.  Memang best pakai, cuma tebuk buah limau atau oren dengan kepala penyembur ni, terus tekan dan sembur!


KUNCI KESELAMATAN AISKRIM: Kini tiada siapa boleh curi aiskrim anda tanpa kod nombor rahsia. Kecuali jika dia berjaya mencuri kod nombor rahsia sekali.


PISTOL SOS CILI/TOMATO: Tembak sos kegemaran ke atas makanan. Gunakan picu pistol untuk mengawal amaun sos.

March 12, 2019

5 Makanan Tradisi Paling Menakutkan Dalam Dunia


AMARAN: Entri ini mengandungi senarai makanan yang akan membuat pembaca rasa mual dan tidak selesa.



BOODOG
(Mongolia)

Sajian tradisi turun-temurun masyarakat Mongolia sejak zaman Genghis Khan ini mempunyai resipi yang agak unik. Mula-mula tukang masak akan membelah perut seekor haiwan seperti marmot (sejenis tupai besar) atau kambing dan mengeluarkan organ dalaman darinya. Selepas itu dia akan membakar beberapa ketul batu dari sungai sehingga panas membara. Kemudian batu-batu panas tersebut akan dimasukkan ke dalam badan haiwan tadi bersama isi daging, organ dalaman haiwan dan sedikit perencah seperti bawang, garam dan kentang. Perut haiwan itu akan dijahit semula dengan wayar sebelum seluruh luar badannya dibakar dengan penunu bagas (blowtorch) bagi membuang bulu. Dengan cara ini, isi daging akan dimasak serentak dari luar dan dalam. Boodog dikira dah masak apabila lemak mula mengalir keluar melalui lubang pori kulit haiwan. Nak merasa pengalaman barbeku paling menarik, bolehlah cuba boodog ni di negara Mongolia.



CASU MARZU 
(Sardinia)

Casu marzu bermaksud "keju basi" dan dihasilkan daripada susu kambing biri-biri. Apa yang menarik tentang keju ini ialah ia diperam bersama ribuan ulat berengga hidup yang berfungsi untuk memecahkan lemak keju sehingga tekstur keju menjadi sangat lembut dan cair. Casu marzu tidak selamat dimakan sekiranya ulat berengga sudah mati, oleh itu ia harus dinikmati ketika ulat-ulat masih hidup. Biasanya casu marzu akan disapu pada roti sandwic untuk dimakan. Disebabkan ulat-ulat berengga ini mampu melompat jauh sehingga jarak 15cm ketika keju dibuka, sesiapa yang memakan casu marzu harus memegang roti sandwic dengan erat ketika sedang menjamah casu marzu. Terdapat banyak kes di mana peminat keju casu marzu dikejarkan ke hospital akibat ulat-ulat berengga yang melekat pada usus setelah ditelan hidup-hidup.



KALLE PACHE
(Afghanistan, Albania, Algeria, Arab Saudi, Armenia, Azerbaijan, Bahrain, Bosnia and Herzegovina, Bulgaria, Georgia, Greece, Iran, Iraq, Kuwait, Mongolia, dan Turki )

Siapa yang ikuti Ayuni dalam Facebook pasti pernah nampak foto dan video rakaman Ayuni makan kalle pache ni di rumah sepupu. Ayuni pernah rasa masakan ini apabila ia diperkenalkan oleh suami sepupu Ayuni yang berbangsa Algeria. Katanya kalle pache ini dianggap sebagai makanan paling sedap dalam budaya dia walaupun bagi kita memang nampak mengerikan. Cara memasaknya sangat ringkas - kepala kambing yang masih ada kulitnya dengan segala bahagian lain kambing seperti otak, telinga, mata, bibir, gigi, lidah dan lubang hidung kambing direbus dalam air panas sehingga lembut tanpa bubuh garam. Lepas tu dimakan begitu sahaja. Memang tak ada rasa apa, tetapi kalau letak perencah mungkin sedaplah agaknya. Kalle pache merupakan makanan tradisional di Afghanistan, Albania, Armenia, Azerbaijan, Bosnia and Herzegovina, Bulgaria, Georgia, Greece, Iran, Iraq, Mongolia, dan Turki. Nasib baik masakan ini tidak memudaratkan kepada kesihatan... kecuali jika anda mengejar seseorang sambil membawa kepala kambing ini sehingga dia jatuh tersepuk.



KIVIAQ 
(Greenland)

Majlis perkahwinan dan harijadi masyarakat Inuit di Greenland tidak lengkap tanpa hidangan bernama kiviaq ni. Proses menghasilkan kiviaq ni amat unik sehingga ia pernah disiarkan dalam dokumentari BBC. Untuk menyediakan kiviaq, sebanyak 500 ekor bangkai burung auk akan disumbat ke dalam sarung yang diperbuat daripada kulit seekor anjing laut yang telah disapu dengan lemak, kemudian diperam selama berbulan-bulan (3-18 bulan) di bawah timbunan batu. Setelah diperam, burung auk akan dikeluarkan daripada sarung dan dihidang begitu saja ke dalam pinggan. Bayangkan macam mana bau dan rasa dia agaknya... Hanya burung auk digunakan dalam proses pemeraman kerana jika burung lain digunakan si pemakan akan berpotensi mendapat penyakit botulism. Terdapat kes di mana beberapa orang telah mati selepas memakan kiviaq yang dibuat dengan itik laut.



SUP DARAH BABI MENTAH
(Thailand)

Sama seperti rupanya, nama masakan ini sangat tidak menyelerakan. Malah ia juga berpotensi untuk membuat orang yang menikmatinya mendapat meningitis melalui bakteria. Namun di Thailand masakan yang dikenali sebagai tom luad moo atau lou ini merupakan menu yang popular di kalangan masyarakat setempat serta pelancong asing yang berani mencuba. Darah babi akan direndam dengan daun serai bagi menghilangkan bau hanyir sebelum dihidang. Biasanya hirisan daun ketumbar, cili, bawang, daun limau purut dan usus atau kulit babi goreng akan ditabur atas sup darah babi mentah.


February 26, 2019

Gigi Tumbuh Dalam Lubang Hidung: Fenomena Hyperdontia


Semalam ada berita tentang seorang doktor di Copenhagen yang terkejut apabila menemui pesakitnya seorang lelaki warga emas yang tumbuh gigi dalam bahagian hidung setelah pesakit mengadu tentang masalah pernafasan. Kedengaran memang pelik kerana jarang perkara begitu berlaku. Namun ia bukanlah kes pertama yang pernah terjadi kerana sebelum ini terdapat juga laporan perubatan di China yang merekod kes aneh yang sama berlaku pada tahun 2017, dan di Arab Saudi pada tahun 2014. Fenomena perubatan abnormal ini dikenali sebagai hyperdontia iaitu keadaan di mana gigi akan tumbuh di tempat-tempat anatomi lain selain daripada tempat yang sepatutnya dalam gusi.

Apa Itu Hyperdontia?

Hyperdontia atau nama lainnya mesiodens ialah keadaan bila seseorang ada gigi ekstra yang tumbuh di tempat yang tak sepatutnya. Kes hyperdontia terbahagi kepada dua jenis, yang biasa ditemui dan jarang ditemui (kes unik). Dalam hyperdontia biasa gigi akan tumbuh di luar barisan gigi biasa dalam gusi, manakala dalam hyperdontia unik gigi akan tumbuh dalam bahagian badan lain. 


Kes hyperdontia yang biasa ni kadang-kadang kita boleh nampak dalam mulut orang yang ada gigi berlapis. Malah penyanyi utama kumpulan Queen, Freddie Mercury juga dikatakan mempunyai hyperdontia di bahagian rahang gigi bawah. Ayuni juga salah seorang yang memiliki kes hyperdontia sebab ada gigi taring ekstra tumbuh di belakang barisan gigi biasa. Selain daripada itu, Ayuni juga ada dua set gigi geraham bongsu yang tumbuh pada usia 12 tahun, awal daripada usia normal iaitu 21 tahun. 

Tanda awal seseorang mempunyai hyperdontia apabila gigi tumbuh di tempat yang tak sepatutnya

Rupa kes hyperdontia yang mirip dengan kes Ayuni, cuma taring orang ni terletak di bahagian tengah mulut. Taring Ayuni terletak lebih jauh sedikit ke bahagian hujung tepi, dekat bahagian dia letak jari tu.


Jika diperhatikan klip video lagu "We Will Rock You" oleh kumpulan Queen secara teliti, akan nampak barisan bawah gigi Freddie Mercury berlapis. Mungkinkah dia ada hyperdontia?

Tapi lebih malang bagi pesakit yang ada kes hyperdontia unik sebab adakalanya tak nampak gigi yang tumbuh sehingga pesakit mengalami kesakitan atau pendarahan akibat bahagian dalaman dicucuk gigi tersebut. Biasanya simptom luaran kelihatan seperti tumor. Ada kes ekstrem yang mana pesakit tumbuh gigi dalam mata, otak, kaki dan hidung. Ada juga kes di mana gigi tumbuh lebih daripada puluhan batang gigi dan berlapis-lapis dalam gusi lelangit sehingga menolak baris susunan asal gigi normal.

Foto-Foto Kes Hyperdontia Unik Yang Pernah Berlaku Sekitar Dunia

Gigi tumbuh secara berlapis dalam gusi dan lelangit

Imbasan MRI menunjukkan sebatang gigi tumbuh dalam otak seorang bayi berusia 4 bulan di Maryland, USA

Wanita ini mengalami tumor yang membengkak pada sebelah wajah akibat ada gigi yang tumbuh dalam matanya.

Lelaki ini menunjukkan punca yang telah menyebabkan dia mengalami sakit telinga selama 33 tahun sehingga mengganggu keselesaan hidupnya. Akhirnya doktor berjaya mengeluarkan sebatang gigi yang tumbuh di dalam telinganya.

Remaja ini terpaksa melalui pembedahan selama 7 jam bagi mengeluarkan 232 batang gigi daripada gusinya.

Foto yang menunjukkan pembedahan untuk mengeluarkan gigi dalam lubang hidung pesakit

January 17, 2019

Carlos Kaiser, Legenda Bola Sepak Profesional Yang Tidak Pernah Bermain Bola


Carlos Kaiser, Legenda Bola Sepak Yang Tidak Pernah Bermain Bola | Dia merupakan antara legenda bola sepak Brazil 80-an dan 90-an yang paling terkenal, namun dia tidak pernah beraksi di padang. Begitulah kisah Carlos Henrique Raposo, seorang penipu yang berlakon sebagai bintang bola sepak dan menjadi popular kerana 'kehandalannya' di atas padang walaupun tidak pernah bermain walau satu perlawanan pun. Selama lebih 20 tahun, dia menggunakan pesona, tipu helah dan pelbagai pembohongan bijak untuk mengaburi mata pasukan-pasukan yang menandatangani kontrak dengannya.

Carlos berjaya hidup dalam penipuan selama 26 tahun tanpa disedari sesiapa sehinggalah dia bersara pada usia 41 tahun dan dikenali sebagai bintang penyerang bola sepak yang tidak pernah menjaringkan gol!

Kemunculan Awal Carlos Kaiser

Menurut Carlos, dia mendapat nama gelaran "Kaiser" kerana persamaannya dengan lagenda Jerman, Franz Beckenbauer. Ketika kecil, seperti impian kebanyakan kanak-kanak di Brazil, Carlos mahu menjadi pemain bola sepak. Sebenarnya dia agak berbakat ketika muda dan telah disunting oleh kelab Mexico, Puebla. Walau bagaimanapun, dia sedar bahawa bakatnya sebenar tidak cukup untuk menempa nama dalam sukan ini, tetapi dia tidak putus asa.

Bermodalkan berkawan rapat dengan pemain ternama seperti Romario, Renato Gaucho dan Edmundo si Binatang, Kaiser berjaya bergiat sebagai pemain bola separuh masa dan menipu sepenuh masa. Disebabkan hubungannya dengan pemain-pemain di atas, Kaiser berjaya mendapatkan tempoh percubaan sekurang-kurangnya selama tiga bulan dengan beberapa kelab. 

Senarai kelab yang disertai Carlos

Modus Operandi Penipuan "The King"

Carlos akan menunjukkan video palsu "tendangan gol terbaiknya" dan membayar "peminat" untuk menyeru namanya bagi meyakinkan pengurus-pengurus kelab bahawa dia adalah seorang bintang bola sepak sejati. Namun, bila tiba masa untuk menunjukkan bakatnya, dia pandai mencari pelbagai alasan supaya dapat mengelak daripada bermain.

Sebaik sahaja diterima bermain, Kaiser mula melancarkan modus operandinya. Pertama, dia akan meminta kelab untuk memberikan masa kepadanya untuk meningkatkan kecergasan sebelum dia mampu untuk turun bermain dalam perlawanan sebenar, dan apabila dia menyertai sesi latihan, dia akan berpura-pura jatuh dan memegang hamstring sambil meraung kesakitan. 

Disebabkan ketika itu tiada peralatan untuk memeriksa tahap kecederaan seperti hari ini, kelab tiada pilihan selain mempercayai 'kecederaannya', sekaligus membiarkannya menjalani rawatan dan pada masa yang sama, dia mendapat gaji daripada kelab. Dengan kata lain, Kaiser akan makan gaji buta di setiap kelab yang disertainya.

Adakalanya Carlos akan mulakan perbalahan sehingga dipaksa keluar padang dan juga menggunakan alasan menghadiri pengebumian neneknya. Alasan nenek meninggal dunia itu juga telah digunakan lebih daripada empat kali.

Carlos dikenali sebagai penyerang bola sepak profesional walaupun tidak pernah beraksi di padang.

Penipuan Demi Penipuan Licik

Selain menggunakan rakaman video tendangan gol yang palsu, Carlos juga menyogok pelbagai maklumat palsu kepada pihak wartawan yang akan menulis artikel-artikel menggegarkan yang melabelkan dirinya sebagai "the King" dan sebagainya.

Pernah terjadi satu peristiwa apabila dia hampir dibawa masuk ke padang sebagai pemain gantian bagi pasukan Bangu di Rio yang sedang berada di ambang kekalahan dengan skor 2-0. Ketika itu, Carlos dengan tidak semena-mena terus memanjat pagar, menjerit-jerit sambil melaungkan kata-kata kesat kepada para penyokong pihak lawan. Dia terus dilayangkan kad merah serta-merta oleh pengadil.

Semasa dia menjadi bintang kelab bola Perancis Gazelec Ajaccio dan perlu menghadiri sesi latihan bersama peminat, Carlos menendang kesemua bola ke arah peminat untuk disimpan sebagai cenderamata. Disebabkan kehabisan bola, pasukan itu tidak dapat berlatih pada hari tersebut dan Carlos Kaiser sekali lagi berjaya 'mengelat.'

Carlos juga sering meyakinkan semua orang bahawa dia menerima banyak tawaran daripada kelab-kelab Eropah dengan berpura-pura bercakap dalam bahasa Inggeris menggunakan telefon bimbitnya. Lakonan drama ini terpaksa dihentikan apabila terdapat seorang jurulatih yang boleh berbicara dalam bahasa Inggeris dengan sempurna mendapati bahasa Inggeris Carlos sangat teruk lalu terbongkar rahsia bahawa telefon bimbit Carlos merupakan telefon bimbit mainan!. 

Wartawan disogok menulis tentang "kehebatan" Carlos di arena sukan bola sepak

Pandai Mencari Kabel

Carlos sentiasa mempunyai kepingan gambar dirinya bersama pemain-pemain bola Brazil yang terkenal untuk lebih menjayakan penipuannya. Dia sentiasa berkeliaran di kelab-kelab malam paling eksklusif di Rio untuk mencari pemain bola yang terkenal. Di situlah Carlos menggunakan tarikan keperibadiannya yang menawan dan mula berkawan dengan Romario, Bebeto, Carlos Alberto serta Zico sehingga mereka juga terpedaya dan menyangka Carlos adalah bintang bola sepak seperti mereka.

Legenda bola sepak Brazil, Bebeto, pernah menyatakan Carlos boleh menawan hati sesiapa sahaja. Sebaik sahaja dia membuka mulut, orang di sekelilingnya pasti terpukau dengan setiap patah kata yang diucapkan.

Dengan bantuan rakan-rakan pemain bola terkenal inilah Carlos berjaya membuatkan banyak kelab benar-benar percaya untuk menandatangani kontrak dengannya. Ia bermula dengan Botafogo, diikuti pula dengan Flamengo.

Carlos akan berkeliaran di kelab-kelab malam eksklusif di Rio untuk berkawan dengan pemain-pemain bola sepak terkenal

Selepas 26 Tahun...

Pada tahun 2018, kisah Carlos yang menakjubkan ini telah diadaptasi menjadi sebuah filem berjudul "The Greatest Footballer Never to Play Football" yang diarahkan oleh Louis Myles.

Sehingga hari terakhirnya sebagai seorang 'bintang bola sepak,' Carlos Kaiser telah berjaya melewati 10 kelab terkemuka dengan satu set statistik yang tidak pernah dicapai oleh orang lain: tiada perlawanan, tiada jaringan gol dan tiada bantuan gol.

Carlos yang kini berusia 55 tahun menderita sakit pinggul dan mempunyai penglihatan yang tidak begitu baik. Dia juga telah menjadi seorang penganut agama Buddha dan memenuhi impiannya selama ini untuk menjadi seorang jurulatih kecergasan yang melatih ahli bina badan wanita.

Carlos kini sudah bersara daripada dunia bola sepak dan menjadi seorang jurulatih kecergasan yang melatih ahli bina badan wanita.




January 14, 2019

Gambar Telur Raih 25 Juta Likes Dalam Instagram


Gambar Telur Raih 25 Juta Likes Dalam Instagram | Kedengaran seperti aneh bunyinya, namun bila bercakap tentang dunia internet macam-macam perkara boleh berlaku, hingga yang tak masuk akal pun boleh jadi betul. 

Terbaru tular kisah gambar sebiji telur yang dikatakan telah memecah rekod dunia sebagai foto Instagram yang paling banyak meraih jumlah likes dari 25 juta akaun setakat hari ini. Malah, post gambar telur tersebut berjaya menewaskan rekod yang dimiliki oleh Kylie Jenner bagi post gambar pengumuman kelahiran anaknya.

Apa istimewanya telur ni? Adakah ia diperbuat daripada emas bertatahkan berlian? Adakah ia dipegang oleh duta selebriti yang seksi dan jelita? Adakah telur itu menetaskan Dabbah makhluk hari Kiamat?

Tidak, ia cuma sebiji telur biasa yang sopan dan berkulit sawo matang. Lihatlah gambarnya di bawah:

Sementara itu, Kylie telah memberi respons terhadap kejayaan telur tersebut dengan memuatnaik sebuah video dalam Instagram. Dalam video tersebut, Kylie kelihatan sedang memecah sebiji telur di atas permukaan kaki lima. Kapsyen di bawah video tertera: "Rasakan kau, telur!"

Powered by Blogger.