Showing posts with label MAKAN-MAKAN. Show all posts
Showing posts with label MAKAN-MAKAN. Show all posts

October 14, 2021

Menu Tradisional Yang Boleh Ditemui Di Selangor

Berikut ialah hidangan dan masakan Malaysia di Selangor yang telah menjadi tradisi sejak turun-temurun di mana ianya melibatkan pelbagai cara masakan yang telah diamalkan di Negeri ini. Disebabkan oleh migrasi dan pendatang asing yang telah menginjakkan kakinya di Selangor, Malaysia pada zaman dahulu, ini telah menjadikan Selangor sebagai sebuah Negeri yang kaya dengan budaya dan makanan yang pelbagai rasa! Diikuti diskripsi resipi yang telah disediakan di bawah ini, sesiapa sahaja dan bahkan seluruh dunia kini boleh mencuba untuk menyediakan hidangan tradisi Selangor mereka sendiri! 


1) Pecal

Pecal Sayur yang sangat lazat ini dikenali sebagai Salad Jawa tradisional yang terdiri dari sayur-sayuran berkhasiat, dihidangi dengan sos kacang yang kadangkala turut disajikan dengan Ketupat atau Lontong. Persediaan untuk membuat Pecal ini adalah sangat mudah dan boleh dicuba dirumah pada bila-bila masa! Antara ramuan pentingnya adalah, kacang tanah untuk menghasilkan kuah kacang, tauhu, taugeh, kacang hijau dan timun. Jadi, apa lagi yang anda tunggu? Cubalah sekarang!


2) Nasi Ambeng

Di Selangor, ianya sudah menjadi tradisi untuk menghidang Nasi Ambeng dalam satu pinggan yang boleh dikongsi beramai-ramai di antara empat hingga ke lima orang! Semasa menyiapkan menu Jawa-Melayu ini, anda tidak boleh melupakan ramuan utama seperti nasi putih, ayam, mee goreng, kacang panjang, sambal tempe dan daun pisang! Di Selangor, Nasi Ambeng seringkali disediakan dan dihidangkan di majlis keramaian ataupun kenduri-kendara.


3) Sambal Taun 

Dikenali sebagai sambal taun atau sambal tahun, hidangan ini terkenal di kalangan rakyat Selangor mahupun Malaysia. Makanan tradisional yang berasal dari Jawa ini kerap dimasak pedas dengan penggunaan cili yang banyak semasa penyediaannya. Sering kali di Selangor, kulit lembu akan dijadikan sebagai protein utama sajian ini, akan tetapi ia boleh digantikan dengan kerang, paru lembu atau ikan bilis. Bahan-bahan lain yang diperlukan pula adalah bawang merah, bawang putih, belacan, santan kelapa, minyak, asam jawa, gara dan gula. Turut terdapat beberapa golongan yang sering meyajikan hidangan ini semasa Perayaan Aidilfitri! 


4) Wadai Kipeng

Dalam perkataan orang Banjar, 'Wadai' bermaksud 'Kuih', sementara 'Kipeng' pula merujuk kepada potongan. Sejak dulu lagi, ianya telah menjadi tradisi masyarakat Banjar untuk menyajikan orang ramai dengan Wadai Kipeng semasa Majlis Kesyukuran mereka! Satu perkara yang perlu anda ketahui, ianya adalah sangat mustahil untuk menyediakan menu yang enak ini tanpa enam ramuan iaitu tepung beras, kelapa muda, gula melaka, gula pasir dan daun pandan!


5) Bahulu Kemboja

Kami menamakannya sebagai kuih tradisional kegemaran 'Orang Lama' yang masih popular sehingga kini. Bahulu Kemboja boleh dihidangkan pada bila-bila masa yang anda suka, sama ada untuk sarapan mahupun semasa waktu minum petang. Dengan mempunyai keistimewaannya tersendiri, kuih ini sering dijual di pasaran akan tetapi, untuk mencari keasliannya seperti hasil air tangan orang Selangor amatlah sukar untuk dicari. Dengan resepi di bawah, anda tak perlu risau kerana anda boleh sahaja membuatnya sendiri di rumah! Untuk mengekalkan keenakkan dan keunikannya, bahan terpenting yang anda perlukan adalah air pandan asli hasil tapisan daun pandan, tepung gandum, tepung beras, susu kelapa, telur, bijan dan sudah pasti, gula dan garam untuk perasa! 

Dengan pelbagai pilihan makanan tradisional di Negeri ini, tidak hairanlah Selangor terpilih sebagai pusat gastronomi di Malaysia. Sama ada hidangan istimewa seperti lauk-pauk, ataupun kuih-muih yang enak, resipi tradisional seperti yang disertakan dalam senarai ini tentunya harus anda cuba sediakan!

Oleh: Hanis Yasmin Hamdan

December 6, 2019

Luckin Kopi Dan Pau Petai


Pada suatu hari penulis bersama sepupu telah tersesat di Kuala Lumpur walaupun kami berdua orang Kuala Lumpur. Dah 15 tahun kami tak berjalan di kawasan sekitar Pasar Seni sejak meninggalkan kerja lama di ibu kota. Alangkah terkejutnya kami apabila mendapati stesen LRT Pasar Seni dah besar berbanding dahulu. Nak berjalan kaki pun dah senang sekarang sebab lorong jalan kakinya dah lebar serta tak berlubang macam dulu. Jalan punya jalan dalam 3-5 minit terserempak dengan sebuah kopitiam 2 tingkat diberi nama Luckin Kopi di Jalan Panggong.

Luckin Kopi di Jalan Panggong

Intai dalam kedai tengok ramainya orang. Staf Luckin Kopi muncul lalu meminta kami ambil nombor giliran untuk mendapatkan meja. Macam klinik pula. Sambil menunggu sambil mengunyah maruku yang disediakan di luar. Lupa nak tanya maruku tu kena bayar ke tak. Memandangkan penulis dan sepupu dah lapar serta memiliki selera makan yang besar, kami pun cubalah beberapa menu popular di Luckin Kopi ni. Adalah dalam 20 jenis hidangan kami cuba. Sebab inilah kami berdua masih bujang.

Lihatlah kerakusan kami.

Harga menu di sini memang berbaloi dengan saiz portion dan kesedapan dia. Di samping minuman Luckin Kopi Kaw Cincau, Teh Tarik Cincau, Luckin Kopi Kaw Peng dan Luckin Cham Peng, pilihan hidangan pun agak unik sebab berkonsepkan masakan fusion iaitu menggabungkan rasa Timur dan Barat. Contohnya macam senarai menu popular Luckin Kopi di bawah...

Ini Pasta Petai. Nampak tak sambal petai dia tu... fuhh!!!

Salted Egg Chicken Rice yang lemak berkrim

Chee Cheong Fun

Sudah tentu ini ialah nasi lemak

Hainanese Chicken Chop

Entah apa nama mee goreng ni, lupa pula dah

Siapa kata roti bakar boleh dimakan masa sarapan pagi saja?

Rojak Luckin Kopi. Malangnya penulis tak suka makan rojak, jadi tak tahu bagaimana rasanya. Ini rojak daripada pinggan sepupu penulis.

Sedap oh makan masakan panas-panas. Depan ni Hot & Sour Soup. Belakang tu pula Cheesy Chicken & Fries. Dia punya amaun cheese tu melampaui batasan.

Kalau nak tahu menu apa lagi yang ada di Luckin Kopi beserta harga setiap hidangan sila klik link ni: Luckin Kopi Full Menu

Tiba-tiba sepupu berkata, "Eh, kedai Luckin Kopi ni status dia halal ke?"

Dah melantak satu pinggan salted egg chicken baru dia nak tanya. Penulis pun pergi jalankan misi menyiasat dapur Luckin Kopi yang terletak di tingkat bawah kedai. Mula-mula ingatkan dapurnya terletak betul-betul di bawah tangga ruang depan tu. Rupa-rupanya bangunan dia bersambung dengan satu lagi blok bangunan di belakang. Dekat tengah-tengah laluan nak pergi ke bangunan satu lagi tu ada lanskap taman ringkas yang menarik untuk pengunjung berhenti dan ambil selfie.

Turun ke bawah cari dapur. Eh, mana dapurnya?

Rupa-rupanya ada laluan ke arah dapur dalam bangunan sebelah di sini

Ada taman mini di sini. Bolehlah ambil selfie kejap.

Sempat pula itik ni dating berdua-duaan di taman

Puas hati juga dapat melihat sendiri keadaan dapur Luckin Kopi ni. Walaupun tidak mempunyai sijil halal namun kedai ini jelas sekali mesra pelanggan Muslim kerana tidak menghidangkan makanan berasaskan khinzir dan minuman beralkohol. Ruang dapur dia terbuka dan pengunjung dapat melihat makanan serta yang minuman yang disediakan di atas kaunter. Kelihatan ramai staf bertungkus-lumus menyediakan masakan dalam kadar segera disebabkan ramai pelanggan yang datang pada hari itu. Nampak kebersihan dapur dia pun terjaga.

Okey, dah jumpa dapur. Misi selesai.

Dah balik ke meja, sambung makan pau petai pula. Sebenarnya bukan dalam pau tu ada petai, tapi ia dicicah dengan sambal petai. Pau atau mantou Luckin Kopi ini merupakan juadah kegemaran penulis sebab ia teramat lembut dan gebu, seolah-olah menggigit seekor arnab putih tak bersalah dan comel yang diperbuat daripada marshmallow. Sangat bahagia. Ya, begitulah perasaan penulis apabila menjamah pau ini. 

Antara pau paling sedap di alam semesta

Kalau singgah di KL dan nak cuba menu Luckin Kopi bolehlah pergi ke lokasi ni:

No 14, Jalan Panggong, 
Pusat Bandaraya, 
50000 Wilayah Persekutuan, 
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Kedai Luckin Kopi ni mesra pelangggan Muslim, jadi kalau ada pembaca non-Muslim ingin membawa rakan Muslim keluar makan memang sesuai pergi ke Luckin Kopi. Nak letak kereta pun senang sebab ada tempat parkir kereta berbayar betul-betul di hadapan kedai Luckin Kopi. Untuk membuat sebarang tempahan bagi mengadakan majlis atau sebagainya boleh hubungi Luckin Kopi melalui talian berikut:

Tel: 016-397 6898
Facebook: luckinkopi
Instagram: @luckinkopi

Kalau lalu depan Balai Polis Tun HS Lee boleh nampak Luckin Kopi di seberang jalan. Luckin Kopi buka setiap hari kecuali Jumaat dari jam 7 am pagi hingga 9 pm malam. Jadi Luckin Kopi sentiasa ada pilihan makanan untuk hidangan sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam.

*Review ini tidak dibayar oleh pemilik Luckin Kopi sehingga sekarang, mungkin beliau dan PR sudah terlupa tentang pembayaran. 

CERITA TERKINI

Legenda Gitar Elektrik Les Paul

9 haribulan Jun merupakan ulangtahun kelahiran lelaki yang mencipta revolusi baru dalam muzik 'rock n roll' dan rock - dialah Les...

ENTRI TERBARU