Page Menu

Sebuah blog caca-marba yang hidup segak mati tak mau.
Blogger dia pun sekejap update sekejap jadi hantu.

Total Pageviews

Dibina oleh Ayuni Rafilah © 2014-2023 Hak Cipta Terpelihara
Dikuasakan oleh Blogger.

Pasar Raya Jual Ayam Tak Sembelih?


Di Malaysia, boleh dikatakan hampir semua ayam mentah yang dijual di pasaran adalah halal. Bagi pengamal agama Islam, pemilihan ayam mentah ini adalah sangat penting kerana terdapat ayam yang dijual masih haram dimakan. Ini kerana, ayam yang tidak disembelih mengikut syarak telah difatwakan sebagai haram dimakan.

Pagi tadi Ayuni terbaca di akhbar pasal seorang wanita ni dia pergi ke sebuah pasaraya untuk beli barang dapur rumah. Waktu dia membeli ayam mentah, tiba-tiba dia tergerak untuk meminta kepala ayam dari pekerja pasar raya tersebut. Setelah diteliti, wanita itu perasan ada tebukan pada kepala ayam. Maka tahulah dia bahawa ayam yang dibelinya selama ini di pasar raya tersebut tidak disembelih ikut syarak. Wanita tersebut segera melaporkan kes itu kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tetapi dakwanya laporannya tidak dilayan. Kejadian ini berlaku di Kuala Kangsar, Perak. Terkini JAIPk mengatakan jabatan itu akan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan wanita itu.

Kes wanita ni membuat Ayuni teringat tentang kenapa Ayuni dah lama mengelak dari membeli ayam mentah di pasar raya sejak beberapa tahun lalu dan akan memilih untuk membeli ayam di pasar basah milik peniaga Melayu dan kedai daging segar Muslim yang diiktiraf seperti Ikhwan Mart. 

Dulu Ayuni pernah membeli dua ekor ayam mentah dari satu pasar raya yang terkemuka. Ayam-ayam tersebut dah siap dibungkus dalam plastik yang lengkap dengan jenama, logo halal dan tarikh luput. Malangnya bila Ayuni balik ke rumah dan keluarkan ayam-ayam tu dari bungkusan plastiknya, barulah ternampak ada beberapa kesan lebam berwarna gelap pada badan ayam. Bukan setakat di kepak, malah pada bahagian dada ayam juga. Kelihatan seolah-olah ayam tu telah menjadi mangsa keganasan rumahtangga pula...

Gambar contoh lebam yang ditemui pada ayam

Mula-mula ingatkan ayam-ayam tu dah rosak kerana melebihi tarikh luput, tetapi bila baca balik tarikh luput pada bungkusan tempohnya masih lama lagi. Mungkinkah ayam tersebut tidak disembelih dengan cara betul? Adakah ia cuma kesan suntikan pada ayam semasa ia masih hidup di ladang ternakan? Atau kesan daripada pembekuan (freezer burn)? Mungkin pekerja agak kasar masa pengurusan ayam? Tetapi ada logo halal maknanya ayam tu halal kan? Walau apa pun alasan difikirkan untuk menenangkan hati, peristiwa itu membuat jiwa Ayuni tak tenang memikirkan status halal haram ayam yang selalu dibeli di pasar raya selama ini. 

Semenjak hari itu Ayuni tidak lagi membeli ayam mentah dari pasar raya tersebut, tetapi dari pasar basah milik peniaga Muslim yang menjual serta menyembelih ayam hidup di situ juga. Setakat ini tidak pernah lagi Ayuni menemui perkara-perkara yang merunsingkan tentang ayam yang dibeli dari sini.

Ayuni pernah terbaca cara untuk mengetahui ayam yang tak disembelih mengikut hukum syarak ialah ayam yang mempunyai kesan merah, lebam dan hitam di bahagian dada atau bawah adalah merupakan hasil sembelihan yang dibuat selepas ayam itu mati. Ini bermaksud, ayam tadi sudah mati terlebih dahulu barulah ia disembelih.

Kalau ayam yang disembelih mengikut syarak, ia akan berada dalam keadaan bersih dan tanpa lebam kerana tidak mengandungi darah terkumpul selepas disembelih. Begitu juga dengan daging lembu, sekiranya ia tidak mengandungi tompokan darah berwarna gelap pada daging, maka ia telah disembelih dengan kaedah betul.

Kesimpulannya tidak semua ayam yang disembelih dijual di pasar raya adalah halal dimakan. Terdapat juga ayam yang dijual sudah disembelih namun haram dimakan oleh kita umat Islam. Ini kerana kaedah penyembelihan yang digunakan tidak sah atau salah dalam syariat Islam. Namun sangat sukar untuk membezakan antara ayam halal dan tidak halal apabila ia telah dipasarkan dalam bentuk komersil. Nak bergantung kepada logo halal pun, ada pula kes sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab telah memalsukan sijil dan logo halal dan ini membuatkan umat Islam masih rasa was-was.

2 ulasan:

  1. Saya pernah nampak video orang rakam kat belakang kedai, sorang apek tu tengah kelar leher ayam (yg dah mati). Berpuluh² ekor pula tu. Si perakam tu duk tanya² kenapa apek tu kelar leher ayam. Ayam tak sembelih ke? Saya pun rasa was² juga sejak tu. Sekarang memang beli ayam kat peniaga Melayu. Rasa lebih yakin.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Seram... serius apek tu kelar-kelar leher ayam yang dah mati nak bagi nampak macam kena sembelih untuk dijual? :O

      Padam