Page Menu

Sebuah blog caca-marba yang hidup segak mati tak mau.
Blogger dia pun sekejap update sekejap jadi hantu.

Total Pageviews

Dibina oleh Ayuni Rafilah © 2014-2023 Hak Cipta Terpelihara
Dikuasakan oleh Blogger.

MechAmato Movie (2022)


Memandangkan dah musim cuti sekolah, apa kata bawa keluarga tengok filem MechAmato Movie di pawagam? MechAmato ialah filem animasi tempatan terbaru dari Animonsta Studio yang tengah hangat sekarang ni. Siapa yang mengikuti rancangan bersiri MechAmato di tv mesti tau cerita dia pasal seorang budak lelaki bernama Amato yang berkawan dengan robot sfera kuasa mirip bola keranjang bernama MechaBot. Dah ada watak robot mestilah cerita dia banyak elemen aksi dan sains fiksyen... ditambah lagi dengan makhluk asing, kapal angkasa, makmal sains canggih dan beca selaju roket. 

Siapa MechAmato?

MechaBot ada kuasa Mechanize yang mana dia boleh bergabung dengan segala benda di sekeliling untuk dijadikan peralatan mekanikal atau senjata berkuasa tak kira sama ada benda tu basikal, beg sekolah, pasu bunga, tong sampah, atau mop lantai. Bila MechaBot bergabung dengan Amato, mereka menjadi MechAmato.

Amato dan MechaBot. Bila bergabung mereka menjadi MechAmato.

Sinopsis

MechAmato Movie ni berkisarkan saat pertama kali Amato, iaitu ayah Boboiboy, mula berjumpa dengan MechaBot sebelum pengembaraan mereka dalam rancangan bersiri sekarang ini. Masa tu MechaBot tengah lari daripada makhluk asing jahat bernama Grakakus yang nak menggunakan kuasa Mechanize dia. Jadi terpaksa MechaBot mengaku Amato sebagai tuannya untuk menyelamatkan diri. Kemudian pengembaraan gila mereka berdua pun bermula...

MechAmato Movie penuh dengan babak aksi yang menarik

Cerita MechAmato best tapi.....

Semasa Ayuni pergi tengok filem ni di pawagam berdekatan rumah lepas baru keluar iklan di FB, cuti sekolah belum bermula dan pawagam masih kosong lagi. Jadi seronoklah dapat duduk enjoy dalam pawagam seorang diri menonton MechAmato Movie. Berbaloi juga beli tiket menonton MechAmato Movie sebab Ayuni berpuas hati dengan kualiti ceritanya. Ayuni rasa MechAmato Movie ni best ditonton sebab:

  1. Kualiti grafik dan pergerakan animasi yang sangat mantap. Penceritaan ringkas dan mudah faham. Konsep yang unik dan plot twist yang menarik. Ada adegan lucu yang mencuit hati.
  2. Babak aksi berlawan disusun kemas dan seni persilatan juga diketengahkan ke dalam corak pertarungan.
  3. Semangat persahabatan antara Amato dan MechaBot. Kita boleh nampak betapa bersungguhnya Amato memastikan MechaBot selamat daripada jatuh ke tangan musuh walaupun pada awalnya MechaBot cuma nak mempergunakan Amato.
  4. Riak muka watak-watak berjaya ditonjolkan mengikut suasana.
  5. Rekabentuk sut armor yang cantik terutama sekali sut Maskmana.
  6. Hasil rupa peralatan selepas proses Mechanize. Terus terasa macam nak Mechanize sabun mandi lepas ni.
  7. Beberapa detail kecil yang dimasukkan misalnya jenis senjata yang digunakan oleh Maskmana setiap kali dia muncul di hadapan Amato dan MechaBot, langkah pertarungan yang dibuka dengan bacaan bismillah, kuih karipap di rumah Amato, bentuk bangunan pejabat bapa Pian (kawan baik Amato) dan pemandangan interior dalam pejabat yang dihiasi pelbagai objek beridentitikan budaya Malaysia, cikgu Amato dan Pian tidak berdiri kaku di kelas memerhatikan projek sains mereka tetapi pergi duduk di meja kelas bersama murid lain, dan kesan pencahayaan ke atas wajah dan pakaian watak semasa pertarungan di antara MechAmato, Grakakus dan Maskmana di atas kapal kontena.

Seni persilatan digabungkan dalam corak pertarungan MechAmato

Tapi Ayuni rasa perkara-perkara berikut agak mengganggu fikiran semasa cuba menghayati MechAmato Movie:

  1. Bula dan Bili. Merupakan klon Giant dan Suneo. Menyemak je dua orang ni. Tak benci pun, menyampah je. Terutama sekali si Bula dengan rupa dan suara annoying dia.
  2. Beberapa adegan yang agak klise. Banyak lawak hambar yang tak kena pada tempat dan dialog yang buat kita rasa cringe.
  3. Terlalu banyak aksi berlawan sampai character development watak-watak utama dan jalan cerita tak diperluas. Terdapat banyak ruang yang boleh dikembangkan dalam cerita untuk memberikan impak besar kepada plot tapi tak digunakan sebaiknya. Bak kata orang putih, "wasted potential".
  4. Watak penjahat membosankan sebab tak ada personaliti, cara gertak dan cara gelak pun sama je macam watak-watak penjahat lain yang dihasilkan oleh Animonsta Studios.
  5. Lagu latarbelakang kurang mengujakan dan tak berjaya menghidupkan situasi dan emosi watak. Tiada soundtrack yang best. Kalau ada pun satu je lagu yang menarik hati Ayuni iaitu lagu pasal beca yang dinyanyikan oleh kumpulan Brother Beca Boys.
Amato dan rakan-rakan yang bukan robot. 
Menyampah tengok yang di bawah kanan tu.

Tapi disebabkan penonton sasaran MechAmato Movie ialah golongan kanak-kanak dan filem ini bersifat mesra keluarga, maka segala "walaupun" yang dinyatakan di atas tak menjejaskan pengalaman menonton filem ini. Budak-budak tengok memang seronoklah. Kalau menonton cerita ini dari kaca mata kanak-kanak dalam lingkungan usia 6 hingga 12 tahun, Ayuni mungkin akan bagi markah 10/10 bagi MechAmato Movie. Namun, sebagai seorang dewasa yang sudah kehilangan jiwa suci murni maka Ayuni memberikan markah 8.5/10 kepada filem ini.

Meraih RM22 juta dalam masa 14 hari

Apa yang pasti, hasil animasi tempatan yang berkualiti cemerlang ini amat membanggakan kerana berjaya menembusi pasaran ke luar negara. Malah MechAmato Movie berjaya meraih kutipan jualan tiket sebanyak RM22 juta dalam masa 14 hari!

MechAmato Movie diarah oleh Nizam Razak, dan dibintangi oleh Armand Ezra, Adzlan Nazir, Fadhli Mohd Rawi, Ielham Iskandar, Marissa Balqis, Fazreen Mohd, Hazzley Abu Bakar, dan Feroz Faizal. 

MechAmato Movie bersiaran di pawagam mulai 8 Disember 2022.

Tiada ulasan