Arkib Blog

Dugaan Menulis Semula Blog Selepas Zaman Pandemik


Salam sejahtera Malaysia Baru... dah nak masuk ambang tahun 2023 baru muncul balik mood Ayuni menulis dalam blog ni. Ini pun masih dalam proses memperbaiki layout blog lama yang dah bersawang sambil bereksperimen bina coding dengan HTML, CSS, PHP, SQL, Javascript dan Bootstrap. Banyak juga coding lama dalam blog ni dah tak boleh berfungsi disebabkan oleh rombakan semula Google selama ini. Maknanya ada sesetengah code untuk tutorial bina blog pun perlu diperbaharui untuk jadikan blog beserta widget lebih serasi dengan sistem terbaru. 

Di samping tu lama juga Ayuni tak bergiat menulis kerana dilanda burnout semasa dan selepas zaman pandemik. Ayuni terpaksa mengambil cuti tanpa gaji yang panjang dari tempat kerja untuk menjaga mak yang dah uzur. Bila masuk kerja semula di pertengahan tahun 2022, semangat nak hidup dan semangat untuk menjalankan semula aktiviti menulis blog, melukis dan berniaga pun dah hilang. 

Lebih kurang macam ni rasa burnout tu

Sepanjang beberapa bulan ni Ayuni cuba sedaya-upaya untuk memulihkan semangat diri sendiri yang makin menghilang. Ayuni cuba join group melukis untuk memupuk semula semangat melukis. Itu pun adakalanya down dan asyik termenung melihat kertas walaupun dah membeli banyak peralatan melukis. Bila terjumpa teknologi foto AI terhibur sedikit sebab dapat buat sesuatu yang ada kaitan dengan kreativiti walaupun ia tak memuaskan hati seperti melukis dengan tangan sendiri. Kadang-kadang Ayuni guna AI untuk mencipta watak burung gagak yang lucu menyampaikan luahan berkaitan isu semasa dalam akaun Facebook. Kenapa burung gagak? Mungkin sebab ia haiwan yang dirasakan lebih serasi untuk menyalurkan gerak hati Ayuni sekarang.

Antara lukisan terakhir Ayuni yang berjaya dihasilkan pada beberapa bulan lalu

Selain daripada tu Ayuni ada cuba juga untuk menulis blog semula. Tetapi setiap kali buka blog minda jadi kosong. Pandangan menjadi kabur. Mungkin sebab tak tukar cermin mata lagi. Akhirnya tak tulis-tulis sampai sekarang. Bersawang balik blog. Tak lama kemudian laptop rosak. Terpaksa beli laptop baru lagi.

Sejak Krismas ni baru terasa rajin sikit nak betulkan semula template, ubahsuai layout, buang widget yang dah tak perlu, susun balik post lama dari tahun 2014 semasa Ayuni mula aktif menyertai event blogger. Sejak kena transfer tempat kerja dah lama Ayuni tak join mana-mana event blogger. Sayu je rasa melihat gambar-gambar lama bersama geng blogger lain di event dulu. Ada yang dah tak ada lagi sekarang. Ayuni pun dah dah lama tak muncul depan kamera sejak mula ada anxiety (scopophobia) terhadap kamera tiga empat tahun lalu.

Rindu dengan geng blogger dulu-dulu. Kini tinggal kenangan...

Sakit juga nak bangkit balik dalam bidang blog terutama sekali dengan wujudnya kemunculan platform media sosial baru yang lebih trending seperti TikTok dan Twitter. Agaknya beginilah rasa golongan pelukis masa AI diperkenalkan sekarang.

Kebanyakan aktiviti Ayuni sekarang ni semua dalam keadaan mode autopilot. Hidup harus diteruskan walaupun jiwa sudah mati. Sekurang-kurangnya jasad masih ada untuk menyambung amalan kepada masyarakat dan ibadah kepada Tuhan.

1 comment:

  1. cantik la melukis kalau tangan berseni ni. yes sama la sejak pandemik..laptop pun rosak. mood blogging tu ke jauh. sekarang baru nak mula balik sikit-sikit

    ReplyDelete