Sudah lebih sebulan Ayuni tidak dapat balik ke Kuala Lumpur kerana PKPB yang dilanjutkan sejak 9 November lalu. Maka bermusafirlah Ayuni di negeri Pahang sementara menunggu kawasan kediaman kembali menjadi zon hijau semula. Disebabkan beberapa minggu lepas Ayuni sudah menginap di resort di Balok berdekatan kedai Arab milik rakan, serta hotel di Teluk Sisek di mana ada sepupu jadi pengurus hotel situ... kali ini Ayuni cuba menginap di hotel lain sekitar pusat bandar Kuantan melalui aplikasi Agoda pula.
Buat kali pertama Ayuni guna aplikasi Agoda sebab selama ini Ayuni cuma datang ke kaunter, tanyakan harga bilik dan terus bayar di kaunter. Tak sangka bila pakai Agoda boleh dapat bilik hotel yang jauh lagi murah daripada di kaunter. Ayuni dapat booking bilik studio Hotel Mega View selama dua malam pada harga RM158 sahaja! Macam tak percaya boleh dapat bilik hotel kurang daripada RM300 untuk dua malam. Rupa-rupanya Hotel Mega View ni bertaraf 3 bintang.
Tengok review oleh para pengunjung sebelum ni nampak macam meyakinkan, siap ada foto-foto menarik pemandangan dalam hotel. Setelah berpuas hati dengan review dan terma-terma dalam tempahan, Ayuni pun buat pembayaran melalui perbankan online dan terus dapat email pengesahan tempahan dari Agoda dan Hotel Mega View. Senang dan cepat.
Lokasi hotel dia tak jauh daripada pejabat, lebih kurang satu jam perjalanan. Cuma agak mengelirukan bila nak cari jalan masuk ke tempat parking sebab dia tersembunyi di belakang beberapa lot kedai tepi Jalan Besar. Bangunan hotel tersebut pula betul-betul di tepi Sungai Kuantan, sebelah kawasan persiaran Esplanade Kuantan. Ayuni pernah berjalan kaki di sini dalam pengembaraan mencari kek viral Mango Cheesecake Kula Cakes suatu masa dulu (Klik link: Mango Cheesecake Kula Cakes Memang Terbaik)
Masa sampai tu dah hampir tengahari, jadi Ayuni singgah dulu di kafe Mi Casa by the River di tingkat lobi hotel bagi mengalas perut dulu sambil menunggu masa untuk check-in. Ambil tempoh satu jam juga nak check-in daripada masa yang dijanjikan sebab ramai penginap sedia ada sedang membuat event masa tu. Sehingga sempat lagi Ayuni singgah kedai Kula Cakes dan membeli kek untuk dibawa balik ke hotel.
Ayuni tempah bilik studio room dengan katil queen. Dah mengembara seorang diri, satu katil besar cukuplah. Minta bilik di aras yang tinggi sebab nak menjauhkan diri daripada penginap-penginap lain yang bawa keluarga, terutamanya yang membawa anak-anak kecil yang suka memekak dan main-main pintu. Malangnya, terdapat sebuah keluarga yang menginap di tingkat sama dengan Ayuni. Malah bilik Ayuni tak cukup kebal dari bunyi bising yang datang daripada penghuni bilik sebelah di mana anaknya suka main buka tutup almari dan sepak-sepak dinding. Ayuni tumbuk balik dinding dari sebelah dan terdengar mak dia bersuara "shhh shhh" barulah budak tu senyap.
Lokasi hotel ini strategik kerana ia berada dalam kawasan bandar Kuantan, maka mudahlah nak pergi membeli-belah ke beberapa shopping mall di sini seperti Kuantan Parade, Kuantan City Mall, East Coast Mall dan Berjaya Megamall. Paling bagus tentang bandar Kuantan ini ialah ia mempunyai banyak pilihan kedai makan di serata tempat. Kemudahan lain seperti mesin ATM dan kiosk 7-Eleven juga mudah didapati.
Semasa Ayuni meluangkan masa staycation di sini, sempat jugalah Ayuni berjalan kaki ke Padang MPK 1 yang terletak tak jauh daripada hotel dan melihat-lihat pasar malam di situ. Pasar malam di MPK 1 ni lebih kepada konsep car boot sale. Sempat juga menemubual seorang peniaga yang mengeluh kerana dulunya mereka boleh berniaga di situ sehingga jam 12 tengah malam. Kini sejak zaman PKPB mereka hanya dibenarkan buka gerai sehingga 10 malam.
Dalam bangunan Hotel Mega View sendiri ada kemudahan untuk para penginap kunjungi seperti Grand Seraya Ballroom, Ramin Coffee House, Meranti Meeting Room, Micasa Cafe by the River dan Mega Star Health Centre.
Selepas melawat pasar malam MPK 1 tadi Ayuni singgah di Micasa Cafe untuk makan malam. Tetapi pengalaman makan malam di Micasa Cafe agak tak menyenangkan kerana terdapat seorang staf wanita yang menjengkelkan di situ. Ayuni meletakkan bungkusan berisi manisan yang dibeli dari carboot sale tadi di atas meja. Kemudian order sepinggan spaghetti dan seteko teh dari waiter lain. Langsung tak menyentuh plastik berisi makanan yang bertutup rapi tu disebelah. Sambil menunggu makanan disiapkan, dalam 15 minit selepas itu seorang waitress bercermin mata meluru datang ke arah meja Ayuni dan memberitahu Ayuni tak boleh makan makanan yang dibawa dari luar di situ. Dengan rasa keliru sebab Ayuni tak makan apa-apa pun di atas meja sepanjang masa 15 minit tu, tangan sedang memegang telefon saja dan spaghetti pun tak sampai lagi, dalam hati rasa nak tanya dia, "Awak ada nampak saya tengah makan ke ni?"
Ayuni memberitahu dia bahawa memang Ayuni ada bawa makanan di luar tapi tak berniat memakannya di situ. Patutkah lain kali Ayuni tinggalkan bungkusan makanan dari luar pada kaunter pengurusan sebelum masuk ke kafe? Mungkin waitress tu cuma membuat kerjanya saja tetapi terlalu teruja akibat masih baru bekerja. Jadi Ayuni pun membiarkan saja perkara tu berlalu.
Keesokan malamnya waitress yang sama membuat perangai poyo lagi dengan meminta Ayuni beralih tempat duduk walhal kafe kosong dek kerana tak ramai orang datang, serta tidak ada orang reserve langsung mana-mana meja pada malam tu. Waitress tu sendiri pun mengaku tak ada orang reserve meja bila Ayuni tanya dia semula. Entah kenapa dia macam dengki tengok kita seorang diri duduk di meja kerusi sofa kusyen untuk 6 orang. Rosak mood nak makan tepi sungai. Kalau kafe tengah ramai dan ada orang reserve meja lainlah ceritanya.
Disebabkan dah naik menyampah dengan kepoyoan waitress bercermin mata tersebut yang berjaya menghilangkan selera untuk makan di Micasa Cafe, Ayuni mengambil keputusan untuk makan dalam bilik saja. Jadi Ayuni pun naik balik ke bilik dan buat tempahan room service. Waiter yang menghantar pesanan tu budak lelaki yang sama pula hantar room service siang tadi, kebetulan pula menu sama. Dia bertanya, "Suka makan ini ya?"
Eh, suka hatilah aku nak makan apa. Tapi tak adalah Ayuni jawab macam tu. Cuma memberitahu dia Ayuni malas nak makan di bawah sambil cepat-cepat bagi duit dan syuh syuh dia dari situ.
Spaghetti Arabiatta ni pedas tahap keluar air mata dan hidung. Tapi Ayuni suka.
Kepada sesiapa yang berminat nak cuba menginap di Hotel Mega View untuk tujuan staycation atau WFH (Work From Hotel) bolehlah tempah melalui Agoda. Sesuai untuk mereka yang nak mencari tempat tenang dan selesa untuk membuat kerja atau menghadiri mesyuarat mana-mana di Kuantan. Hotel ini juga mesra keluarga jika anda bercadang nak bawa pasangan dan anak-anak. Harga berbaloi dengan servis dan kualiti bilik. Ayuni syorkan ambil bilik yang ada tingkap kalau nak dapat bilik yang ada pemandangan. Masalah hotel ni cuma tempat parking dia agak sempit dan buruk.
Adakah Ayuni akan kembali ke hotel ini? Ada kemungkinan tetapi jika datang lagi Ayuni akan menempah bilik lain yang mempunyai tingkap. Walau bagaimanapun Ayuni tak akan makan di Micasa Cafe lagi sebab menyampah dengan layanan waitress poyo situ walaupun kafe mempunyai pemandangan cantik.