SANTAI

Wajah Tokoh Sejarah Dunia Semasa Muda Yang Anda Mungkin Tak Dapat Cam

Sempena musim PKPB ini tentu ramai yang sedang mencari aktiviti menarik yang boleh dibuat di rumah sepanjang sebulan ni. Apa kata anda cuba menguji minda dengan meneka siapakah tokoh-tokoh dalam sejarah dunia di bawah ini sebelum mereka menjadi terkenal. Berikut ialah foto-foto wajah mereka di zaman mereka masih muda...


Sudah dapat teka siapa tokoh-tokoh di atas? 

Mari kita lihat jawapannya... anda pasti terkejut mengetahui siapakah mereka!


1. Adolf Hitler

Foto pertama merupakan wajah pemimpin parti Nazi terkemuka di zaman Perang Dunia Kedua, malah dia juga yang memulakan peperangan tersebut di Eropah apabila menyerang Poland. Semasa muda Hitler memiliki bakat seni melukis dan pernah memohon untuk memasuki sekolah seni di Vienna, namun permohonannya ditolak. Setelah ibunya meninggal dunia akibat kanser semasa usia Hitler 18 tahun, Hitler terpaksa hidup sebagai gelandangan di Vienna dan menjual hasil karyanya yang memaparkan pemandangan bandar tersebut kepada pelancong untuk mendapatkan wang sara hidup. Apabila Perang Dunia Pertama meletus, Hitler memasuki perkhidmatan tentera Bavaria sebagai seorang penyampai utusan (despatch atau runner dalam bahasa sekarang). Semasa berkhidmat, Hitler masih melakukan hobi yang diminatinya iaitu melukis dengan menghasilkan kartun dan panduan info bergrafik untuk akhbar terbitan tentera. Kebencian Hitler terhadap kaum Yahudi bermula apabila tentera Jerman tewas dalam perang dan Hitler percaya kekalahan Jerman berpunca daripada perjanjian yang ditandatangani oleh kaum Yahudi dan penyokong kefahaman Marxist pada 11 November 1918. Hitler kembali ke Munich di mana dia dilantik sebagai agen perisik dengan misi untuk mempengaruhi DAP (Deutsche Arbeiterpartei) iaitu Parti Buruh Jerman. Melalui parti tersebut, Hitler mengembangkan kempen anti-Yahudi serta penolakan kefahaman kapitalis dan Marxism secara besar-besaran hingga pernah dipenjarakan dan hilang status kerakyatan kerana mengganggu ketenteraman awam. Selepas keluar penjara, Hitler membentuk semula DAP menjadi parti NAZI (National Socialist German Workers' Party) dan bergerak secara sah dalam pilihanraya Jerman, Hitler dilantik sebagai Canselor atas jumlah undian popular rakyat Jerman yang tertarik dengan kemahirannya dalam berucap dan personalitinya yang penuh tenaga dan karisma. Hitler dikatakan telah membunuh diri bersama isteri yang baru dikahwininya pada malam sama dia mendengar khabar tentang kekalahan Itali dalam Perang Dunia Kedua. Namun penulis tidak percaya tentang kenyataan yang dipahat dalam sejarah ini, malah lebih percaya bahawa dia dibunuh oleh orang dalam atau agen perisik tentera Soviet.


2. Ratu Elizabeth II

Gadis jelita berpakaian tentera dalam foto ini ialah pemerintah United Kingdom sekarang iaitu Ratu Elizabeth II. Elizabeth merupakan anak sulung kelahiran pasangan bangsawan Duke dan Duchess of York yang kemudiannya naik pangkat sebagai raja (Raja George VI) dan permaisuri England (Ratu Elizabeth) selepas raja asalnya, Edward VIII, menyerahkan takhta demi mengahwini seorang janda dari Amerika Syarikat. Sejak kecil Elizabeth dikatakan mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang tinggi dan sentiasa menunjukkan rasa kebertanggungjawabannya terhadap keluarga diraja serta rakyat di bawah pemerintahan ayahandanya. Elizabeth bersama adiknya Margaret menerima pendidikan awal di rumah di bawah pengawasan ibu mereka Ratu Elizabeth serta beberapa guru terpilih dari Eton College dan barisan pengasuh Perancis. Di zaman Perang Dunia Kedunia, Elizabeth dan adiknya sentiasa berusaha untuk menyumbang dana dan keperluan kepada tentera Britain yang berkhidmat untuk negara. Semasa usianya 14 tahun, Elizabeth muncul dalam siaran radio untuk menyampaikan mesej kepada ribuan kanak-kanak yang terpaksa dipindahkan keluar dari England akibat serangan bom udara. Peranan Elizabeth dalam tentera diteruskan apabila dia menjadi wanita keluarga diraja pertama yang menyertai tentera. Elizabeth menyertai Perkhidmatan Wilayah Bantuan Wanita (ATS), di mana anggotanya berkhidmat sebagai penembak anti-pesawat, pengendali radio, mekanik dan pemandu trak tentera. Elizabeth mengikuti kursus latihan mekanik automotif di Surrey di mana dia menjadi mahir membongkar, membaiki, membina semula enjin dan menukar tayar. Dia juga mahir membawa kesemua jenis kenderaan termasuk trak, jip dan ambulans. Kemahirannya dalam mengendalikan kenderaan memberikannya nama jolokan "Princess Auto Mechanic". Tidak lama kemudian Elizabeth dinaikkan pangkat menjadi komander junior kehormat, iaitu bersamaan dengan pangkat kapten dalam tentera. Elizabeth juga pernah mewakili ayahandanya dalam urusan rasmi negara sebagai duta. 


3. Charlie Chaplin

Pemuda yang tampan ini merupakan pelawak paling terkenal dalam sejarah filem senyap bergenre komedi. Rupanya nampak sangat berbeza apabila dia tidak mengenakan mekap dan misainya yang ikonik... ya, orang ini tak lain dan tak bukan ialah Charlie Chaplin! Charles merupakan pembuat filem, komposer lagu dan pelakon British yang menjadi terkenal di Amerika Syarikat melalui watak lakonannya The Tramp. Zaman awal kehidupan Charles di London bermula dalam keadaan sedih - ayahnya meninggalkan keluarga melalui kehidupan yang penuh kemiskinan dan Charles pernah menjadi buruh kanak-kanak sehingga usia 9 tahun untuk menyara keluarga. Setelah ibu Charles dimasukkan ke pusat sakit jiwa, Charles dan adik lelakinya dihantar ke rumah ayah mereka yang mereka tak pernah kenali. Ayah mereka merupakan seorang kaki mabuk dan selalu memukul dan mendera kedua-dua budak lelaki itu. Tidak lama kemudian Charles bersama adiknya bekerja di beberapa syarikat pementasan pada semasa usia remaja sehinggalah mereka mengikut syarikat Fred Karno yang mahsyur ke Amerika Syarikat. Di negara tersebut, Charles mula berkecimpung dalam bidang perfileman melalui watak ciptaannya The Tramp, iaitu seorang gelandangan lucu yang memiliki gaya  lelaki budiman berstatus tinggi walaupun hidupnya tiada hala tuju. Watak tersebut telah menjadi satu fenomena di kalangan masyarakat sedunia, sekaligus melonjakkan nama Charles sebagai pelakon bertaraf antarabangsa pertama dalam industri perfileman Amerika Syarikat. Charles merupakan seorang perfectionist dan pentingkan kesempurnaan, oleh itu kebanyakan skrip, penggambaran dan muzik dalam filem-filem watak The Tramp dihasilkan oleh Charles sendiri. Kemunculan filem bersuara membuat Charles pernah menjadi tertekan untuk menghasilkan filem The Tramp yang baru kerana bimbang watak tersebut akan hilang tarikannya apabila mula berkata-kata. Namun Charles berjaya menggunakan medium filem bersuara untuk menyampaikan mesej kemanusiaan yang paling menyentuh hati dalam sejarah perfileman klasik melalui filem The Great Dictator pada tahun 1940.


4. Albert Einstein

Albert Einstein merupakan seorang pemuda yang segak dan kemas di waktu mudanya.  Ahli fizik teori berbangsa Jerman ini dianggap sebagai ahli sains yang teragung pada abad ke-20 kerana mengemukakan teori kerelatifan dan membuat banyak sumbangan utama kepada perkembangan mekanik kuantum, mekanik statistik dan kosmologi. Albert telah dianugerahkan dengan Hadiah Nobel dalam bidang Fizik pada tahun 1921 bagi penjelasannya mengenai kesan fotoelektrik dalam tahun 1905 serta "khidmatnya kepada Fizik Teori". Dilahirkan di Ulm di selatan negera Jerman, Albert merupakan anak kepada pasangan Yahudi bernama Hermann Einstein dan Pauline. Pada tahun 1894, keluarga Albert berpindah ke Milan selepas kegagalan perniagaan elektrokimia ayahnya. Albert dihantar oleh ibu bapanya ke Switzerland untuk menghabiskan pendidikan menengah selepas kegagalannya dalam peperiksaan kemasukan "Institut Teknologi Persekutuan Swiss" (Eidgenรถssische Technische Hochschule) di Zurich disebabkan kegagalannya dalam subjek sastera walaupun Albert sebenarnya memiliki kebolehan tinggi dalam subjek sains dan matematik. Dia dikatakan mempelajari algebra dan kalkulus seorang diri tanpa guru sepanjang musim panas pada usia 12 tahun. Di samping itu, Albert juga amat mahir bermain biola dan pernah mengatakan bahawa sekiranya dia tidak menjadi seorang ahli fizik, dia mungkin menjadi seorang ahli muzik. Pada 1896, Albert menyerahkan kerakyatan Jermannya untuk mengelakkan pengerahan tentera lalu menjadi seorang yang tidak mempunyai kerakyatan di mana-mana negara. Selepas menghabiskan pendidikan menengahnya, Albert memasuki Institut Politeknik Zurich selama empat tahun untuk mengambil pengajian perguruan bagi mengajar sains di sekolah menengah. Pada tahun 1900, Albert memperoleh diploma perguruannya dan diterima sebagai rakyat Switzerland pada 1901. Albert menjadi profesor tetap di Universiti Charles-Ferdinand di Praha pada April 1911 lalu memperoleh kewarganegaraan Austria agar dibenarkan mengajar. Apabila Jerman dikuasai oleh Hitler dan parti Nazi yang menjalankan penghapusan etnik ke atas kaum Yahudi, Albert berhijrah ke Amerika Syarikat di atas suaka politik ditambah dengan kelayakannya sebagai pensyarah. Albert berasa kecewa apabila mengetahui kerajaan Nazi di bawah pimpinan Hitler telah menghalang rakyat berketurunan Yahudi memiliki harta dan memegang mana-mana jawatan rasmi termasuk mengajar di sekolah dan universiti, malah kesemua buku-buku teks hasil penulisan ilmuwan Yahudi termasuk penulisannya dibakar secara besar-besaran. Ada antara rakan-rakan pensyarahnya telah dibunuh atau dihantar ke kem tahanan Holocaust. Albert meminta bantuan Perdana Menteri Britain pada masa itu, Winston Churchill, untuk membawa keluar para pensyarah Yahudi dari Jerman. Albert juga bertanggungjawab ke atas Projek Manhattan kerana menandatangani dokumen berkaitan pembinaan bom pertama di dunia yang menggunakan kuasa nuklear berikutan laporan penyelidikan oleh saintis-saintis Yahudi, namun di akhir hayatnya Albert mengatakan bahawa dia telah membuat kesilapan besar dan amat menyesali tindakannya itu.


5. Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj

Umum mengetahui Bapa Kemerdekaan Malaysia pernah mengambil jurusan undang-undang di England. Foto ini memaparkan zaman muda Tunku Abdul Rahman semasa belajar undang-undang di Universiti Cambridge pada tahun 1930an. Dilahirkan di Alor Setar, Kedah, Tunku merupakan anak yang kedua puluh kepada Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Bondanya Cik Menyelara, anak perempuan Luang Naraborirak (Kleb), seorang pegawai daerah Thailand. Nama timangan Tunku ialah ‘Awang’ yang disebabkan kulitnya yang hitam manis manakala Ayahandanya memanggil beliau dengan nama ‘Putra’. Beliau putera raja yang mempunyai adik beradik yang ramai, tetapi tidak akan mewarisi takhta kerajaan negeri.  Tunku bermula pendidikannya pada 1909 di sebuah sekolah rendah Melayu di Jalan Baharu, Alor Setar sebelum berpindah ke sebuah sekolah kerajaan bahasa Inggeris yang kini dinamakan Kolej Sultan Abdul Hamid. Pada tahun 1915, Tunku meneruskan pendidikannya di Penang Free School. Pada tahun 1919 ketika berumur 16 tahun, Tunku menerima Biasiswa Negeri Kedah untuk melanjutkan pendidikannya di Kolej St Catharine di Universiti Cambridge. Beliau adalah orang Melayu yang pertama dari Kedah yang lulus dari sesebuah Universiti Inggeris dengan mendapat Ijazah Sarjana Muda dalam Undang-undang dan Sejarah dari Universiti Cambridge. Pada tahun 1926 Tunku pulang ke Tanah Melayu tetapi empat bulan kemudian, kakandanya Tunku Ibrahim, Raja Muda Kedah ketika itu menghantarnya kembali ke England untuk melanjutkan pelajaran undang-undangnya di Inner Temple bagi membolehkan beliau mendapat kelayakan menjadi peguam atau majistret. Malangnya Tunku tidak dapat menumpukan minatnya dalam undang-undang dan gagal mendapatkan sebarang kelayakan dan pulang ke tanahair lima tahun selepas itu. Di dorong oleh keazaman yang kuat Tunku ke England pada tahun 1947 untuk menghabiskan pelajarannya di Inns of Court. Dalam umur 46 tahun Tunku berjaya menjadi seorang peguam iaitu satu usia yang agak tua. Beliau berjenaka bahawa dirinya adalah satu-satunya pelajar dalam Inner Temple yang diterima ke Bar setelah menuntut selama 25 tahun. Setelah tamat perang dunia yang Kedua Tunku turut menyertai politik menentang Malayan Union dan membangkitkan kesedaran masyarakat setempat ke arah kemerdekaan. 


6. Mahatma Gandhi

Inilah pejuang kemerdekaan India Mohandas Karamchand Gandhi atau lebih dikenali sebagai Mahatma Gandhi semasa beliau masih muda. Gandhi adalah seorang pemimpin spiritual dan tokoh politik tersohor dari India. Beliau dilahirkan pada 2 Oktober, 1869, di Porbandar, sebuah pekan kecil di wilayah Gujarat. Keluarganya dari kelas pertengahan dari kasta Vaishya. Bapanya, Karamchand Uttamchand Gandhi , merupakan seorang Perdana Menteri di pekan tersebut. Manakala ibunya bernama Putlibai, adalah seorang wanita yang lemah lembut dan warak, dan menjadi sumber inspirasi bagi beliau. Pada usia 18 tahun, Gandhi melanjutkan pelajarannya di Southampton, England dalam bidang undang-undang. Di samping mempelajari undang-undang, beliau mula menunjuk minat dalam bidang keagamaan. Pelbagai kitab serta buku-buku keagamaan seperti Hindu, Kristian, Yahudi dan Islam telah menjadi bahan bacaannya. Pada 1891, Gandhi lulus peperiksaan akhirnya dan pulang ke India sebagai seorang peguam. Semasa di Bombay, Gandhi diarah untuk membela seorang klien di Afrika Selatan. Di sana, beliau menyaksikan diskriminasi yang sangat teruk. Bangsa India dianggap sebagai golongan kelas kedua dan dipanggil "kuli" atau "sami". Sewaktu di dalam keretapi, seorang lelaki berkulit putih telah membantah kehadiran Gandhi dalam gerabak kelas pertama dan mengarah beliau untuk pindah ke kelas ketiga. Gandhi enggan menurut kemahuannya kerana mempunyai tiket kelas pertama. Akhirnya beliau serta begnya telah dihumban keluar dari keretapi tersebut. Peristiwa ini merupakan satu tamparan hebat kepada Gandhi. Beliau kemudian memutuskan untuk menjadi seorang aktivis politik agar dapat mengubah undang-undang diskriminasi tersebut. Gandhi kemudiannya membentuk sebuah gerakan bukan kekerasan disana. Ketika kembali ke India, beliau membantu dalam proses kemerdekaan India dari jajahan British; hal ini memberikan inspirasi bagi rakyat di koloni-koloni lainnya agar berjuang mendapatkan kemerdekaannya. Pada 1947, India mencapai kemerdekaan namun Gandhi tidak berpuas hati dengan perpisahan India dan Pakistan. Pada 30 Januari 1948 semasa Gandhi bersalaman menyambut para pengikutnya, seorang penggiat nasionalis Hindu dari kelompok Rashtriya Swayamsevak Sangh bernama Nathuram Godse segera mendekati Gandhi lalu menerkam dan menembak dada Gandhi tiga kali pada jarak dekat dengan pistol separa-automatik Beretta M1934. Nathuram dipercayai membunuh Gandhi atas kebenciannya terhadap pendirian Gandhi yang menginginkan rakyat Hindu dan Muslim diberikan hak sama rata.

Tentang YunFila

Seekor kentang gemuk bertopi. Meminati kucing, teknologi, steampunk, membeli-belah secara online, melayari YouTube serta mengumpul topi. Juga memiliki obsesi terhadap kentang pink pada tahap yang membimbangkan.

1 Komen:

Diana Rashid berkata...

cantiknya Ratu Elizabeth II

Dikuasakan oleh Blogger.