INFO

Asal-Usul Perayaan Deepavali

Sambutan perayaan Deepavali (adakalanya disebut Diwali) yang disambut pada hari ini merupakan antara perayaan penting bagi penganut ajaran Hindu, Sikh dan Jain. Pada hari perayaan ini ahli keluarga akan berkumpul untuk menyala lampu, menikmati manisan lazat serta meletakkan lampu yang telah dinyalakan di perkarangan tempat tinggal. Namun, tahun ini semua kemeriahan tersebut agak terbatas akibat pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia sekarang.

Terdapat banyak kisah tentang asal-usul dan tujuan keraian hari Deepavali bergantung kepada kawasan yang menyambutnya.

Di kalangan penganut agama Hindu umumnya mempercayai bahawa Deepavali disambut bagi meraikan hari kemenangan Dewa Rama memerangi Raja Lanka Ravana yang telah membawa lari Sita, isteri Rama. Kisah ini merupakan kisah terkenal dalam epik Ramayana. Dalam epik tersebut, Rama dan Sita telah dihalau keluar dari istana oleh ibu tiri Rama yang mahu menjadikan anaknya sendiri menaiki takhta sebagai raja. Adik lelaki Rama iaitu Lakshamana juga menyertai pasangan dihalau tersebut dan mereka bertiga mengembara sehingga tiba di sebuah hutan. Semasa Rama memburu seekor kijang emas untuk dihadiahkan kepada Sita, Ravana muncul di hutan tersebut lalu menculik Sita untuk dijadikan isterinya. Rupa-rupanya Ravana telah membuat helah meletakkan ilusi kijang emas untuk menjauhkan Rama daripada Sita. Manakala Lakshamana yang mengikut Rama memburu telah meletakkan Sita dalam bulatan sakti untuk melindunginya, namun Ravana berjaya memperdaya Sita untuk melangkah keluar daripada bulatan dengan menyamar sebagai seorang pengemis tua yang memerlukan bantuan. Dengan pertolongan Dewa Garuda Jentayu dan Dewa Kera Hanuman, Rama dan Lakshamana berjaya menjejak Sita dan menewaskan Ravana.

Walau bagaimana pun, bagi sesetengah penganut pula mereka percaya bahawa Deepavali diraikan bagi mengingati kejayaan Dewa Krishna menewaskan Narakasura. Dalam kisah ini, Raja Naraka telah membuat perjanjian dengan dunia syaitan untuk menjadi seorang raja yang berkuasa luar biasa. Namun dia berubah menjadi syaitan bernama Narakasura yang tamak dan gila kuasa sehingga melakukan kerosakan terhadap jajahan-jajahan di sekelilingnya. Narakasura kemudian cuba menghancurkan dunia dewa. Krishna pernah berjanji dengan para dewa bahawa dia akan kembali sebagai Krishna untuk mengalahkan Narakasura. Setelah lahir semula sebagai Krishna, dia segera menghalang kejahatan Narakasura. Narakasura melawan Krishna dengan senjata-senjata saktinya tetapi gagal. Akhirnya Krishna bersama isterinya Sathyabama yang mahir memanah berjaya membunuh Narakasura. Krishna kemudian memenggal kepala Narakasura dengan cakera saktinya Sudarshana Chakra.

Masyarakat India Selatan pula percaya bahawa asal-usul Deepavali bermula setelah Dewa Naramsiha, dewa berkepala singa yang merupakan jelmaan Dewa Vishnu, membunuh seorang raja zalim bernama Hiranyakashipu yang diberikan kuasa menjadi kebal oleh Raja Dewa Brahma. Hiranyakashipu menjadi berang dengan anak lelakinya Prahlada yang memuja Vishnu lebih daripadanya, maka dia cuba membunuh anaknya tetapi Naramsiha sempat menyelamatkan Prahlada dengan memunculkan diri daripada tiang yang dipukul oleh Hiranyakashipu lalu membunuh Hiranyakashipu.

Selain daripada tiga kisah di atas, terdapat juga pendapat bahawa Deepavali disambut bagi meraikan kelahiran dan perkahwinan antara Dewi Lakshmi dengan Dewa Vishnu. Dewi Lakhsmi merupakan dewi kekayaan, kesuburan, kemakmuran, kecantikan, keadilan dan kebijaksanaan. Dia dikatakan mempunyai ikatan jodoh yang kuat dengan Dewa Vishnu kerana di setiap kelahiran dia akan menjadi pasangan kepada Vishnu.

Berbeza dengan masyarakat Sikh pula, mereka meraikan Deepavali sebagai tujuan memperingati hari kebebasan Guru Hargobind dan 52 orang tahanan lain daripada penjara di zaman pemerintahan kerajaan Moghul di India. Manakala bagi penganut Jainisme pula, Deepavali merupakan hari meraikan perjalanan spiritual pengasas ajaran tersebut, Mahavira, ke nirvana. Seperti Buddha, Mahavira juga seorang putera yang meninggalkan kemewahan duniawi bagi mencari kebenaran dan ketenangan jiwa. Mahavira mengembangkan ajaran Jainisme yang mendidik para pengikutnya agar tidak bertindak zalim terhadap sesama sendiri serta terhadap makhluk lain.

Walau apa pun kisah di sebalik asal-usul Deepavali, yang pasti adalah tema bagi sambutan perayaan ini menandakan kemenangan oleh kuasa kebaikan terhadap kejahatan, yang mana secara simboliknya ditujukan dalam erti cahaya yang menerangi kegelapan. Secara tersiratnya, kita harus menyemai nilai-nilai positif dalam diri kita untuk menjadi individu yang lebih baik dengan mengatasi nilai-nilai negatif dalam diri kita untuk perkembangan spiritual atau rohani.

Selamat Hari Deepavali diucapkan kepada semua penganut Hindu serta penganut agama dan ajaran lain seperti Sikh, Jain dan Buddha Newar yang juga menyambut hari Deepavali di Malaysia.

Tentang YunFila

Seekor kentang gemuk bertopi. Meminati kucing, teknologi, steampunk, membeli-belah secara online, melayari YouTube serta mengumpul topi. Juga memiliki obsesi terhadap kentang pink pada tahap yang membimbangkan.

0 Komen:

Dikuasakan oleh Blogger.