Page Menu

Sebuah blog caca-marba yang hidup segak mati tak mau.
Blogger dia pun sekejap update sekejap jadi hantu.

Total Pageviews

Dibina oleh Ayuni Rafilah © 2014-2023 Hak Cipta Terpelihara
Dikuasakan oleh Blogger.

Housemate Aku Hantu


Kisah seram ini berlaku pada tahun 2011. 

Seorang pemuda telah mendapat kerja di sebuah bank di Kuala Lumpur. Maka dia mula mencari rumah sewa yang berdekatan dengan pejabatnya untuk diduduki di sana. Akhirnya pemuda tersebut menemui sebuah kondominium dan menyewa seorang diri di situ setahun.

Tidak lama kemudian, semasa pemuda itu sedang bercuti di kampung, dia menerima panggilan dari nombor telefon yang tidak dikenali. Rupa-rupanya si pemanggil ialah rakan lamanya yang pernah belajar di universiti sama dengannya. Mereka sudah lama tidak berjumpa sejak zaman graduasi.

Rakan pemuda tersebut bertanyakan sekiranya dia boleh menyewa rumah bersama pemuda itu sekali kerana dia telah mula bekerja di Kuala Lumpur. Pemuda itu terus bersetuju memandangkan dia juga tinggal seorang diri dan dengan kehadiran rakannya, mungkin dia boleh meringankan beban sewa rumah sekali.

Rakan pemuda itu pun segera masuk ke kondo pemuda itu. Dia mengambil bilik yang paling dekat dengan dapur, padahal terdapat dua lagi bilik lain yang lebih besar di ruang hadapan. "Senang nak masak bila rasa lapar malam-malam," kata rakannya.

Pada malam itu mereka makan sama-sama di rumah. Kemudian mereka berdua melepak di depan tv sambil berborak tentang hal kerja masing-masing. Pemuda itu memberitahu kerjanya kerap memerlukan dia pergi outstation. Rakannya bercerita bahawa dia pula terpaksa bekerja sehingga lewat malam dan adakalanya balik sehingga pukul 1-2 di waktu pagi.

Pada mulanya pemuda itu tidak mengesyaki apa-apa tentang rakan serumahnya. Lagi pun, sepanjang 6 bulan tersebut dia cuma berada di rumah dalam 2-3 minggu sahaja. Selebihnya banyak masa dipenuhi kerja outstation. 

Pada suatu hari, pemuda tersebut ditegur oleh jiran sebelah yang bertanya khabar. 

"Adam duduk seorang saja ke?"

"Eh, taklah pakcik. Saya duduk dengan kawan. Kami berdua dalam rumah ni."

Tiba-tiba muka jiran tersebut berubah.

"Oh... ye ke?"

"Kenapa pakcik? Ada apa-apa ke?"

"Err... tak apalah. Pakcik ada hal, nak gerak dulu."

Tanpa merasa apa-apa perkara yang mencurigakan, pemuda itu tidak menghiraukan tingkahlaku jirannya seperti tiada apa yang berlaku. Masa terus berjalan. 

Sepanjang 3 tahun dia menyewa rumah bersama rakannya, pemuda itu mendapati setiap kali masuk waktu solat rakannya akan masuk memerap di bilik. Mungkin dia solat bersendirian dalam bilik. Dia juga sudah terbiasa dengan rutin rakannya yang akan balik kampung amabil cuti selama sebulan pada waktu bulan Ramadhan.

Selesai musim raya, pemuda itu kembali ke kondonya dan mendapati rakannya juga baru balik dari kampung. Mereka pun habiskan masa berborak-borak sambil makan sama-sama.

Tiba-tiba pada pukul 1 pagi selepas itu, pemuda itu dikejutkan oleh bunyi orang tengah memasak di dapur. Dia hairan... bukan ke rakannya baru saja makan dengan dia tadi?

Selang beberapa hari selepas itu, pemuda tersebut telah balik lewat malam dari kerja pada pukul 3 pagi. Sebaik saja dia memasuki rumahnya, tidak semena-mena bulu romanya meremang. Rumah itu tiba-tiba rasa semacam. Dia perhatikan bilik rakannya yang gelap. Pemuda itu mengetuk pintu bilik rakannya. Pintu dibuka dan muncul rakannya itu dengan rupa yang mengantuk. Pemuda itu berasa lega kerana rumahnya tidak kosong dan dia ada kawan.....

Pagi esoknya pemuda itu sedang bersarapan apabila dia menerima sebuah panggilan telefon. Rupa-rupanya rakan serumahnya menelefon untuk memberitahu bahawa dia tidak balik rumah semalam sebab masih berada di kampung.

Pemuda itu terkedu. Habis siapa yang dia nampak buka pintu bilik rakan serumahnya semalam?

Mungkinkah semuanya khayalan dia semata-mata kerana mengantuk semasa balik lewat semalam? 

Memandangkan dia telah mengambil cuti selama 2 hari, pemuda itu mengambil keputusan untuk mengemas rumah. Semasa membersihkan ruang laluan, pemuda itu pelik kenapa depan pintu bilik rakannya ada banyak sawang labah-labah... seolah-olah pintu itu tidak pernah dibuka sesiapa sejak sekian lama. Sekali lagi dia hairan.

Kemudian dia teringat pernah pada satu malam dia balik lewat malam dan terserempak dengan rakannya yang sedang menonton cerita hantu di tv. Oleh kerana terlalu penat dan mengantuk, pemuda itu terus pergi tidur. Namun dia kemudian terjaga pada pukul 4 pagi.

Sayup-sayup kedengaran seolah-olah ramai orang sedang berbual-bual di ruang tamu. Pemuda itu bangun untuk melihat siapa tetamu yang datang ke rumah pada waktu begitu. Dia ternampak rakannya sedang bercakap seorang diri. Bagai nak terkeluar jantung pemuda itu kerana dia dapat mendengar suara orang ramai sedang berborak-borak dengan rakannya!

Sepanjang 3 tahun itu jugalah jiran-jiran pemuda tersebut menasihatkan dia agar pindah rumah atau pagar rumah, namun pemuda itu tak pernah mengendahkan nasihat mereka. Dia tidak percaya bahawa ada yang tak kena pada rumah yang dihuninya.

Pada suatu hari di bulan puasa, pemuda itu menerima panggilan telefon dari rakan serumahnya yang menjemput dia bersama rakan-rakan lain untuk datang ke kenduri di kampungnya di Johor pada hari raya ketujuh.

Sebaik saja mereka tiba di kenduri tersebut, keluarga rakannya bertanya bagaimana mereka tahu ada majlis kenduri sedang diadakan.

"Firdaus yang bagitahu, dia duduk satu rumah dengan saya. Eh... Firdaus mana, makcik?"

Tiba-tiba satu keluarga menjadi senyap. Mereka memandang pemuda itu dengan wajah tergamam.

"Sejak bila Firdaus duduk sewa rumah dengan awak?"

"Dah 3 tahun. Tapi saya jarang balik jumpa dengan dia sebab saya selalu pergi outstation, Firdaus pula selalu balik bercuti di kampung bila bulan puasa."

Abang kepada rakan serumahnya kemudian berkata, "Tapi tak mungkin - Firdaus dah meninggal 2 tahun lalu!"

Ayah rakan serumah pemuda itu menunjukkan surat kematian rakan serumahnya. Dalam dokumen tertulis rakannya telah meninggal dunia 2 tahun lalu akibat demam denggi.

Tidak lama selepas itu pemuda itu berpindah rumah.

1 ulasan:

  1. seram nya.. nasib baik dah kawin.. Kalau bujang seram jugak nak cari housemate. Hahah

    BalasPadam