SERAM & MISTERI

Panggilan Misteri Dari Lebuhraya Karak


Tahun 1990-an merupakan zaman kegemilangan stesen radio tempatan pada masa itu. Sepanjang awal era 1990 hingga awal 2000 penulis gemar mendengar siaran stesen radio seperti Time Highway Radio (THR), Radio Muzik, Traxx FM dan XFresh FM semasa berada di dalam bilik dan juga semasa memandu. Selain daripada pilihan lagu yang menarik dan minat didengari oleh semua warga tak kira bangsa, bahasa dan agama, tarikan utama stesen THR ialah segmen celoteh para DJ radio tersebut yang sentiasa menceriakan pendengar sepanjang hari. 

Teringat telatah Aznil Nawawi dan Din Beramboi yang pernah membuat segmen lucu di waktu pagi berjudul "Sawancara" yang menampilkan Din Beramboi sebagai pelbagai watak berlainan yang kononnya dijemput oleh Aznil untuk ditemuramah. Tak kering gusi dibuatnya mendengar dialog mereka berdua.

Penulis juga minat mendengar segmen Bahasa Inggeris di waktu petang yang dikendalikan oleh DJ Richard La Faber kerana DJ itu kerap berkongsi berita menarik dan kata-kata inspirasi sambil memainkan lagu Bahasa Inggeris.

Di samping itu, penulis juga gemar mendengar stesen Radio Muzik yang mempunyai segmen seram di waktu malam dikendalikan oleh DJ Isma Halil Hamzah dengan nama "Detik Jam 12 Malam".

Sebut tentang "Detik Jam 12 Malam", penulis teringat tentang satu kisah benar misteri yang terjadi semasa mendengar segmen tersebut. Pada masa tu waktu pagi buta dan penulis tak tidur lagi sebab sedang menyiapkan tugasan. Tengah buat kerja tu penulis buka siaran radio untuk didengar dan seperti biasa segmen "Detik Jam 12 Malam" bermain pada waktu tu (biasanya segmen tu berjalan dari jam 12 malam hingga 3 atau 4 pagi).

Seperti biasa DJ Isma Halil menerima dan melayan panggilan demi panggilan dari pendengar yang berkongsi pengalaman kisah-kisah seram mereka melalui talian telefon sambil memainkan lagu pilihan secara berselang-seli. Ada kisah seram yang pelik, ada kisah seram yang lucu dan tak kurang juga kisah seram yang mampu buat bulu roma meremang.

Namun panggilan yang paling ganjil muncul kira-kira dalam jam 3 pagi apabila DJ Isma menerima sebuah panggilan dari seorang wanita. Wanita itu memberitahu dia hendak berkongsi kisah seram benar yang baru saja berlaku ke atas dia dan keluarganya.

Tak tahu kenapa pada waktu penulis mendengar suara wanita yang bercakap secara perlahan itu, tiba-tiba suasana terasa suram dan lengang... seolah-olah masa terhenti buat seketika. Bunyi cengkerik dari luar rumah pun tiba-tiba boleh lenyap. Penulis pun pasang telinga untuk mendengar ceritanya.

Menurut pemanggil itu, dia dan keluarganya sedang dalam perjalanan pergi ke sebuah kenduri di Kuantan. Disebabkan mereka dah terlambat, bapa wanita tersebut memandu secara laju dan memotong kereta-kereta yang berada di depan kereta mereka di sepanjang Jalan Bentong di lebuhraya Karak. Satu demi satu kereta berjaya dipotong oleh bapanya. Tidak lama kemudian semasa memotong sebuah kereta lain, muncul pula cahaya putih di depan kereta mereka dan akhirnya mereka semua terhumban ke dalam gaung. Suara wanita tersebut kedengaran mula pecah seperti hendak menangis sambil memberitahu bahawa kesemua ahli keluarganya telah mati setelah tercampak ke dalam gaung..... termasuk diri dia sekali.

Tiba-tiba keluar bunyi ketawa mengilai dari radio!

Sejurus DJ Isma Halil menamatkan perbualannya dengan pemanggil wanita tersebut, lama juga dia tidak mengambil panggilan pendengar seterusnya. Hanya kedengaran lagu yang terpasang secara automatik saja berkumandang di radio selepas itu.

Penulis yang tak syak apa-apa hanya menyangka apa yang didengari sebentar tadi ialah gurauan (prank) atau gimik pemanggil yang laparkan perhatian semata-mata, jadi penulis menutup radio lalu pergi tidur macam biasa.

Esoknya heboh berita tentang kemalangan di lebuhraya Karak yang melibatkan sebuah keluarga terhumban ke dalam gaung di sepanjang Jalan Bentong, mirip dengan kisah seram yang dikongsi oleh pemanggil misteri itu.

Tentang YunFila

Seekor kentang gemuk bertopi. Meminati kucing, teknologi, steampunk, membeli-belah secara online, melayari YouTube serta mengumpul topi. Juga memiliki obsesi terhadap kentang pink pada tahap yang membimbangkan.

2 Komen:

Diana Rashid said...

Saya dulu pun minat dengar Din Beramboi jadi macam2 watak.paling suka bila dia jadi Syasya.Hahaha

YunFila said...

@Diana Rashid

Haaa... teringat watak Syasya tu. Watak dia mengada-ngada sungguh. Asyik nak letak telefon pemanggil je XD

KOMEN TERBARU

Powered by Blogger.