PERSONAL

Dah Serik, Ini Kali Terakhir Order Barang Dari Go Shop!

Tak tahulah apa masalah Go Shop serta courier mereka Skynet. Setiap kali order barang mesti ada saja yang tak kena. Sehingga kini dah 5 kali penulis membuat pesanan barang dari Go Shop dan hanya pembelian kali pertama saja yang elok, yang lain semuanya hancur.

Baca pembelian keempat penulis yang dah sesat sampai entah ke mana dan akhirnya dapat bayaran semula selepas sebulan buat aduan berkali-kali tu di sini: Barang Go Shop Sesat Sampai Ke Wakanda?

Baru-baru ini penulis mengalami kejutan buruk sekali lagi dari Go Shop apabila cuba membeli Nakada Air Fryer yang diiklankan di rancangan tv. 

Nakada Air Fryer

Dalam rancangan tv Go Shop, dikatakan harga biasa Nakada Air Fryer ni RM299 dan kalau beli dari Go Shop harganya cuma RM199 selepas diskaun promosi. 

Jadi apa lagi, macam biasalah mak penulis akan meminta penulis membuat pesanan online kerana orang tua-tua tak reti guna internet. Walaupun penulis masih rasa marah dengan Go Shop kerana baru saja mendapat semula bayaran bagi pembelian yang tak jadi, namun disebabkan mak nampak sangat berminat dengan air fryer tersebut maka dikuatkan juga perasaan untuk membuat pesanan sambil berkata dalam hati, "Ini peluang terakhir... kalau berlaku juga perkara tak baik sekali lagi, maknanya Tuhan suruh berhenti membeli dari Go Shop."

Kali ini penulis mengambil langkah untuk membeli secara COD (Cash On Delivery - bayar bila barang sampai di pintu) bagi mengelak terkena lagi macam pembelian lepas yang dibuat secara bayar dulu.

Pada awalnya masa check out kesemua nampak normal dan harga yang tertera di laman Go Shop juga sama seperti yang diiklankan dalam tv.

Jumlah harga semasa check out

Namun, berlaku sesuatu tak diduga semasa menerima invois dalam e-mel pengesahan pembelian...

Eh, macam mana boleh keluar harga asalnya pula ni?

Harga dalam invois tak sama dengan harga masa check out! Tiba-tiba Go Shop pergi letak harga Nakada Air Fryer tu RM299... RM100 beza dengan harga yang dipersetujui!

Penulis periksa semula laman Go Shop dan tengok memang tiada silap semasa check out di bahagian penulis. Lagi pun penulis dah beratus kali beli barang dari platform online sejak tahun 2010 dan tak pernah jumpa kes check out harga lain, bil harga lain macam Go Shop ni. Nampak sangat lemah pengurusan sistem transaksi Go Shop. Atau adakah ini satu penipuan terbaru?

Harga dalam airway bill juga menunjukkan harga lain

Dalam airway bill Skynet juga tertulis harga RM299, dan dari sini penulis mula rasa tak sedap hati. Teringat semasa membuat aduan kepada Perkhidmatan Pelanggan Go Shop tentang barang yang tak sampai-sampai masa lepas (courier Skynet tak pernah lalu depan rumah tapi kata tak ada orang di rumah), dia kata, "Puan boleh rejek barang kalau tak puas hati bila barang tu sampai ke rumah."

Masalahnya barang tu tak sampai-sampai pun macam kes yang baru saja penulis dapat duit balik tu. Beria-ia penulis duduk di rumah sepanjang masa tu (tengah WFH - kerja dari rumah sebelum pejabat buka semula sejak pandemik Covid-19) menunggu courier Skynet hantar barang di depan rumah selepas dapat SMS dari pagi hingga petang.

Baru pergi ke bilik air nak mandi, budak courier Skynet missed call. Dahlah waktu lewat petang (antara pukul 4-5 pm). Dia tinggalkan SMS yang agak biadab sebab penulis "tidak bekerjasama" dengan dia. Penulis cuba hubungi dia semula tetapi dia sendiri tak jawab panggilan. Jadi penulis pun jawab semula SMS dengan mengatakan penulis nak rejek barang tersebut di atas sebab harga beli dalam invois tak sama dengan harga beli.

Teringat kes di England di mana seorang staf courier telah disiasat oleh syarikatnya kerana meninggalkan nota biadab kepada pelanggan kerana pelanggan tiada di rumah untuk menerima parcel. 

Bila tanya ibu bapa yang memang berada di depan rumah sepanjang masa kalau-kalau ada courier Skynet datang hantar barang, mereka kata tak ada. Lepas tu masa kami tengah berbual elok pula datang tiba-tiba courier J&T hantar makanan kucing ke rumah. Tak ada panggilan atau mesej pun, elok saja dia berjalan ke arah pintu rumah dengan membawa parcel sambil bagi salam dengan tertib.

Terdetak di hati penulis yang mungkin selama ini staf courier Skynet tak pernah pergi ke rumah pelanggan dan hanya menghantar barang apabila mereka dapat membuat panggilan kepada pelanggan dulu, satu praktis yang agak bodoh memandangkan kita sudah ada teknologi Waze, Google Maps dan staf juga ada mulut untuk bertanya kepada orang sekeliling tentang alamat rumah pelanggan. Dah pernah hantar ke alamat sama pun boleh sesat ke? Bukannya penulis duduk di hutan atau kampung ulu pun... 

Ada ke undang-undang yang mengatakan courier hanya boleh hantar barang ke rumah selepas panggilan telefon diterima? Habis kalau pelanggan yang buat pesanan online tu bisu atau ada masalah tryptophobia macam mana?

Jangan staf Skynet pergi set Waze ke bahasa Perancis nak cari rumah penulis sudah...

Tengok-tengok dalam rekod Skynet suruh penulis kutip sendiri barang di tempat mereka setelah staf courier mereka meletak laporan "Pelanggan Tak Ada Di Rumah", sama seperti yang lepas. Bezanya courier yang lepas tu pernah dijawab panggilannya banyak kali tetapi sampai sekarang dia tak pernah datang ke rumah. Banyak cantik muka kau kata orang tak ada di rumah...

Melampau - dahlah harga tipu, servis buruk, courier biadab, sekarang nak suruh orang ambil sendiri barang dekat pejabat Skynet yang terletak di Batu Caves. Maaflah, nampaknya memang Tuhan dah menunjukkan banyak petanda...

Memandangkan penulis pun dah tak ada hati nak membeli lagi, penulis pun memanggil pejabat Skynet untuk mengatakan bahawa penulis nak rejek barang tu di atas sebab harga berbeza daripada yang diiklankan. Ni kalau buat laporan pada KPDNHEP memang serius ni. Nasib baik staf di hujung panggilan pun bersetuju untuk pulangkan barang semula kepada Go Shop.

Sejak penulis menceritakan tentang air fryer dia yang tak sampai-sampai kepada mak, dia rasa agak sedih dan terkilan namun bersetuju dengan penulis untuk tak membeli apa-apa dari Go Shop lagi. Malah nak buka rancangan Go Shop pun dah tak selera lagi dah... lebih-lebih lagi bila tengok muka Chef Wan tu, lagi menyampah.

Tentang YunFila

Seekor kentang gemuk bertopi. Meminati kucing, teknologi, steampunk, membeli-belah secara online, melayari YouTube serta mengumpul topi. Juga memiliki obsesi terhadap kentang pink pada tahap yang membimbangkan.

4 Komen:

Wani Sukarno berkata...

teruk bebenor servisnya, dah la harga jadi naik mahal. sekali jer pernah beli dgn go shop ni

Shikin Razali berkata...

Hurmm mmg teruk la servis diorang.. takpe kak, next time kena beli secara bersemuka plak๐Ÿ˜† dari beli online.. hihi

Diana Rashid berkata...

saya pernah beli alat senaman je kat goshop. tu pun lambat sampai.sekali tu je la beli. sampai sekarang dah tak buka goshop lagi..

Blog Receh berkata...

Nice info
Singgah
Salam kenal
Saya baru belajar blog
ini blog baru saya : https://www.templateppt.eu.org/

Dikuasakan oleh Blogger.