Page Menu

Sebuah blog caca-marba yang hidup segak mati tak mau.
Blogger dia pun sekejap update sekejap jadi hantu.

Total Pageviews

Dibina oleh Ayuni Rafilah © 2014-2023 Hak Cipta Terpelihara
Dikuasakan oleh Blogger.

FILEM | Stree (2018)


STREE KISAH SERAM HANTU PEREMPUAN YANG SUKA SERANG LELAKI

Filem: Stree
Genre: Seram Komedi, +16
Barisan pelakon: Shraddha Kapoor, Rajkummar Rao, Pankaj Tripathi, Aparshakti Khurrana, Vijay Raaz, Abhishek Banerjee
Pengarah: Amar Kaushik


Sinopsis:

Setiap tahun Kampung Chanderi dihantui oleh satu roh menyeramkan yang digelar sebagai Stree. Roh berupa wanita berpakaian pengantin itu dikatakan akan menjelma selama 4 malam di sepanjang waktu perayaan dalam kampung itu dan menerkam dan membawa lari orang-orang lelaki dari kampung tersebut. Setiap kali Stree menyerang, hanya pakaian mangsa yang tertinggal di tempat kejadian. Mana-mana lelaki tak kira muda atau tua, teruna atau duda, bujang atau suami orang, tiada siapa terlepas daripada menjadi mangsa Stree. Oleh itu setiap kali musim perayaan penduduk Kampung Chanderi menulis ayat "Stree, Datang Balik Esok" pada dinding rumah dengan darah kelawar agar roh jahat itu tidak akan masuk untuk membawa lari ahli keluarga lelaki mereka. Orang-orang lelaki tidak digalakkan keluar rumah dan berjalan seorang diri di waktu malam kerana bimbang akan diterkam oleh Stree. Malah, ada penduduk lelaki yang memakai sari apabila keluar rumah untuk mengelak daripada diekori oleh Stree.


Vicky (Rajkummar Rao) seorang tukang jahit yang berbakat di Kampung Chanderi. Kebolehannya ialah mengukur saiz baju yang akan dijahit untuk pelanggan dengan hanya sekali tengok tanpa menggunakan pita ukuran. Pada suatu hari, Vicky didatangi oleh seorang gadis misteri (Shraddha Kapoor) yang memintanya jahitkan sepasang sari untuknya. Vicky mula jatuh cinta dengan gadis misteri tersebut, namun rakan-rakan baiknya iaitu Bittu (Aparshakti Khurrana) dan Janna (Abhishek Banerjee) berasa curiga dengan kemunculan gadis itu dalam kehidupan Vicky apabila mengetahui gadis tersebut meminta barang-barang pelik seperti bulu kucing berwarna putih dan ekor cicak dalam surat cintanya kepada Vicky. Malah gadis itu juga cuma muncul di waktu malam sepanjang 4 hari perayaan pada waktu sama Stree mengganas. 


Vicky, Bittu dan Janna cuba membongkar rahsia identiti gadis misteri itu sambil dibantu oleh Rudra Bhaiya (Pankaj Tripathi), seorang pustakawan di perpustakaan kampung tersebut. Hasil penemuan mereka mendedahkan banyak rahsia mengejutkan tentang Kampung Chanderi yang tidak pernah mereka ketahui sebelum ini.....


Adakah gadis misteri itu Stree? Apakah kaitan Vicky dengan jelmaan roh Stree? Bagaimana tiga sekawan itu dapat menghentikan Stree daripada mengganas di Kampung Cahnderi lagi?


Review:

Jarang tengok Bollywood hasilkan cerita hantu yang ada gabungan elemen seram dan komedi dari mula sampai akhir. Filem Stree yang diterbitkan pada tahun 2018 ni agak unik sebab unsur seram dia memang terasa melalui susunan kamera dan lagu latarbelakangnya, sampai kita yang menonton pun rasa berdebar-debar apabila ada watak lelaki berjalan seorang diri di lorong kampung yang gelap dan tiba-tiba terdengar bisikan suara wanita memanggilnya dengan lembut dari entah mana. Unsur komedi filem ini agak kemas kerana tidak mengganggu jalan cerita seram filem dan kebanyakan lawak terletak pada skrip dialog antara pelakon, serta reaksi mereka semasa bertembung dengan Stree. Contohnya dalam babak Rudra menerangkan kepada Bittu dan Janna cara-cara untuk mengelak daripada menjadi mangsa Stree dan babak semasa kesemua penduduk lelaki kampung bercadang untuk memakai sari demi menyelamatkan diri.


Filem ini mengandungi mesej tentang hak dan kedudukan wanita dalam masyarakat dan boleh dikatakan cuba menyentuh isu feminisme apabila hampir di penghujung cerita, watak-watak didedahkan tentang kisah silam Stree serta punca yang menyebabkan roh itu membalas dendam terhadap golongan lelaki di Kampung Chanderi. 


Rating: 

3 daripada 5 bintang. Jalan cerita yang menarik. Lokasi penggambaran unik di lokasi bersejarah Madhya Pradesh. Skrip yang penuh dengan dialog dan adegan lucu. Pelakon-pelakon yang berjaya membawa karekter watak masing-masing, terutama sekali Rajkummar, Pankaj dan Abhishek. Siapa yang berlakon jadi hantu tu pun sangat menjadi seramnya... Unsur seram dan komedi seimbang dari mula hingga akhir. Tapi mesej feminisme yang ingin disampaikan rasa macam dipaksa-paksa dalam penghujung cerita sehingga timbul banyak plothole, seolah-olah penulis skrip tergesa-gesa hendak menamatkan cerita. Ada beberapa adegan yang tidak sesuai untuk tontonan kanak-kanak (adegan berahi, bogel dan kata-kata kesat).

Trivia:

Stree berdasarkan kisah seram benar yang pernah berlaku di sebuah pekan Bangalore di era 90an. Menurut legenda, roh jahat seorang wanita yang disyaki mengamalkan ilmu sihir di pekan itu akan mengetuk pintu mana-mana rumah yang ada orang lelaki di waktu malam, dan akan meniru suara ahli keluarga wanita yang dikenali oleh lelaki itu (ibu, isteri, kakak atau adik perempuan) agar pintu dibuka. Sekiranya ada lelaki yang terpedaya dengan tipu-helah roh wanita sihir itu, dia akan ditemui mati keesokan harinya. Satu cara untuk menghalaunya ialah dengan melaung "Nale ba" yang bermaksud "Datang balik esok" dari dalam rumah. Lelaki itu dikatakan akan terlindung daripada gangguan roh wanita sihir tersebut sehingga malam esoknya.

Semenjak itu, beberapa kawasan di Bangalore masih mempunyai rumah yang tertera ayat "Nale ba" pada dinding dan pintu sehingga ke hari ini.


Tiada ulasan