Page Menu

Sebuah blog caca-marba yang hidup segak mati tak mau.
Blogger dia pun sekejap update sekejap jadi hantu.

Total Pageviews

Dibina oleh Ayuni Rafilah © 2014-2023 Hak Cipta Terpelihara
Dikuasakan oleh Blogger.

Resipi Puding Buih


Puding buih merupakan manisan pencuci mulut yang sedap dimakan dengan kuah susu atau custard. Puding buih juga berkhasiat kerana mengandungi protein tinggi memandangkan ramuan utamanya ialah telur.

Puding buih dinamakan sedemikian kerana teksturnya yang berbuih.

Berikut ialah resipi membuat puding buih:

Puding 

1 bungkus agar-agar tali
1 helai daun pandan
1.8 liter air
5 biji putih telur
2 biji kuning telur
9 sudu besar gula
1 sudu teh esen vanila
Pewarna makanan (mengikut citarasa sendiri atau apa saja warna yang ada, nak letak sirap saja pun boleh tapi kena ubahsuai sikit sukatan gula)
*Kepingan buah-buahan seperti longan, laici dan sebagainya. Namun tak ada pun tak apa, tak perlu pun melainkan anda rasa nak jadi ekstra sikit...

Kuah/sos puding

1 tin susu cair
250 ml air
1 sudu besar serbuk custard
8 sudu besar gula
3 biji kuning telur
I sudu teh esen vanila

Cara memasak puding:
  1. Masukkan air ke dalam periuk bersama agar-agar dan panaskan sehingga mendidih.
  2. Tutup api bila agar-agar dah cair dan biarkan sejuk.
  3. Sediakan putih telur dalam bekas lain untuk dipukul.
  4. Pukul putih telur sehingga ia jadi kembang dan mereng, eh silap, meringue.
  5. Lepas tu masukkan kuning telur satu persatu ke dalam bekas yang ada telur putih dipukul tadi.
  6. Pukul kuning telur sehingga menjadi gebu gebas.
  7. Masukkan gula dan esen vanila dan pukul lagi. 
  8. Kemudian masukkan perlahan-lahan agar-agar yang dah cair tadi. 
  9. Ya, pukul lagi hingga acuan sebati... disarankan anda gunakan mixer untuk menjadi kaki pukul yang berjaya di dapur.
  10. Boleh letak pewarna (dan buah) sekali masa ni. 
  11. Tuang hasil pukulan ke dalam bekas acuan.
  12. Sejukkan dalam peti sejuk.
Cara memasak kuah/sos puding:
  1. Masukkan air ke dalam periuk.
  2. Larutkan serbuk custard ke dalam air.
  3. Masukkan kesemua bahan lain (susu cair, gula, kuning telur dan esen vanila selepas tu.
  4. Kacau hingga sebati dan mendidih.
  5. Sejukkan dan tuang ke atas puding untuk dimakan bersama semasa disaji.
Sila pastikan bahawa telur yang digunakan adalah elok, tidak luput tarikhnya dan dimasak sempurna. Telur yang tidak dimasak atau tidak dimasak dengan sempurna mengandungi bakteria Salmonella. Bakteria ini boleh menyebabkan seseorang mengalami keracunan makanan dengan gejala cirit-birit, mual dan muntah, demam, sakit perut dan sakit kepala. Adakalanya bakteria ini boleh menyebabkan radang pada selaput dinding usus sehingga ke tahap mengancam nyawa. Telur yang sudah luput juga boleh mendatangkan keracunan makanan kerana lapisan pada kulit telur yang menghalang kemasukan bakteria salmonella telah hilang. Biasanya lapisan ini hilang apabila telur disimpan terlalu lama selepas dibasuh.

Ayuni pernah makan puding buih ini semasa berbuka puasa di negeri Pantai Timur dan rasanya amat lembut dan enak. Terkejut juga apabila mendapat tahu tentang berita keracunan makanan yang dialami oleh 99 orang mangsa hingga berlaku kematian seorang wanita hamil akibat memakan puding buih di Terengganu baru-baru ini. Puncanya disebabkan oleh telur yang digunakan sudah luput. 

Puding buih berwarna hijau yang penulis pernah makan sebagai pencuci mulut selepas makan nasi kerabu dan kuih akok semasa berbuka puasa di Pantai Timur

Kes tersebut juga membuat Ayuni rasa marah dan kecewa kerana ia mengingatkan Ayuni kepada dua rakan yang mati serentak akibat keracunan makanan dalam sebuah program di Perak 10 tahun lalu (tak pasti hidangan apa yang menjadi punca penyebab kematian mereka), dan malangnya kes ditutup dengan alasan kononnya mereka telah disantau kerana penganjur tak mahu memburukkan nama pihak katering.

Moga penjual puding buih yang tidak mengamalkan SOP penyediaan pencuci mulut tersebut dihadapkan ke muka pengadilan dan diberi hukuman sewajarnya agar dijadikan teladan bagi pengendali makanan lain untuk tidak menyediakan masakan sewenang-wenangnya. Takziah diucapkan kepada mangsa dan keluarga mangsa.

Foto utama: Camera Press
Foto kedua: Blog Masam Manis

1 ulasan:

  1. Tak pernah rasa.. bila viral baru tau ada rupanya puding buih ni...

    BalasPadam