VIRAL

Selepas Dilaporkan Hidup Semula, Kim Jong Un Serang Tanahair K-Pop?


Selepas beberapa minggu dilaporkan telah meninggal dunia oleh media massa Barat, Korea Selatan, Hong Kong dan China, presiden Korea Utara Kim Jong Un kembali memperlihatkan dirinya di depan khalayak ramai persis kisah kebangkitan semula Isa al-Masihi setelah mati disalib dalam kitab Injil Kristian. Dalam kemunculan terbaru diktator tersebut, media memaparkan imej Jong Un tersenyum lebar semasa menghadiri perasmian sebuah kilang baja.

Sebelum ini terdapat khabar angin bahawa Jong Un menghidap penyakit jantung dan sedang menjalani rawatan di wilayah Hyangshan. Jong Un juga tidak menghadiri sambutan hari kelahiran pengasas Korea Utara, Kim Il Sung (mendiang datuk kepada Kim Jong Un) pada 5 April dan hal ini sejurusnya membuat orang ramai tertanya-tanya tentang keadaan kesihatannya. 

"Laaa... hidup lagi budak ni rupanya."

Malah beberapa stesen berita Barat telah melaporkan Jong Un meninggal dunia pada usia 36 tahun akibat kesulitan dalam prosedur pembedahan jantung. Namun begitu Korea Utara tetap berdiam diri daripada mengulas tentang Kim Jong Un, menjadikan berita "kematian" diktator itu masih sebuah tanda tanya misteri sehingga kemunculan semulanya pada hari Jumaat, 1 Mei kelmarin.

Walau bagaimanapun, pihak perisikan Amerika Syarikat dan Korea Selatan tidak mempercayai bahawa Jong Un sudah mati. Kedua-dua negara itu menafikan berita dengan mengatakan bahawa keretapi milik diktator tersebut dilihat berada di wilayah Wonsan.

Imej keretapi milik Kim Jong Un yang dirakam oleh satelit perisikan Amerika Syarikat

Menurut stesen media Korea Selatan, Jong Un telah meluangkan masa di teratak singgahnya di wilayah Wonsan yang terletak kira-kira 200 km berhampiran Pyongyang dan dia dipercayai masih hidup kerana kesemua urusan pentadbiran kerajaan diktator itu berjalan dengan lancar sepanjang khabar angin tentang kematiannya. Agensi berita Korea Selatan juga menerima laporan bahawa Jong Un telah menyampaikan rasa "terima kasih" kepada pekerja-pekerja di kawasan sempadan kedua-dua negara tersebut tetapi tidak dapat dipastikan sebabnya.

Namun begitu, seperti mana berita "kematian" Jong Un menjadi teka-teki sebelum ini, berita tentang "kehidupan semula" Jong Un juga tidak kurang unsur misterinya. Ada netizen yang membuat spekulasi bahawa Jong Un yang kembali ialah 'Jong Un' palsu atau klon. Kebetulan pula pada 28 April, akhbar Hong Kong telah memaparkan foto seorang lelaki yang mirip Jong Un membuat persembahan lawak dengan aksi menunggang roket di hadapan barisan polis semasa perhimpunan protes di Pusat Kewangan Antarabangsa.

'Kim Jong Un' dilihat sedang menaiki sebuah roket peluru berpandu di Hong Kong.

Netizen juga mempersoalkan tentang tanda misteri yang terdapat pada pergelangan tangan Jong Un dalam video penampilan semulanya.

Tanda apakah itu?

Ini bukan kali pertama kehilangan Jong Un menjadi misteri. Pada tahun 2014, Jong Un pernah dilaporkan "ghaib" lebih daripada sebulan dan dilihat muncul semula di kaca televisyen dalam keadaan tempang.

Tidak lama selepas sehari kemunculan semulanya, tentera Jong Un melepaskan tembakan ke arah pos kawalan sempadan Korea Selatan secara tiba-tiba di antara sempadan kedua-dua negara terbabit. Tentera Korea Selatan membalas semula serangan dengan 20 das tembakan serta amaran. Korea Selatan kemudiannya menghantar notis meminta penjelasan tentang serangan di pos kawalan sempadan mereka daripada Korea Utara namun masih belum menerima jawapan balas. 

Korea Utara melepaskan tembakan tanpa amaran ke arah Korea Selatan sehari selepas kemunculan semula Kim Jong Un

Ini merupakan kali pertama sejak tahun 2017 Korea Utara pernah melepaskan tembakan di kawasan sempadan antara negara itu dengan Korea Selatan. Kali terakhir tentera Korea Utara pernah melepaskan tembakan di kawasan tersebut apabila salah seorang daripada anggota tentera Korea Utara cuba berpaling tadah daripada kerajaan pemerintahan Kim Jong Un dengan merentasi sempadan untuk lari ke Korea Selatan.

Menurut Markas Bangsa-Bangsa Bersatu (UNC), siasatan ke atas insiden tersebut akan dijalankan bermula Isnin dengan kerjasama bersama tentera Korea Selatan.

Tentang YunFila

Seekor kentang gemuk bertopi. Meminati kucing, teknologi, steampunk, membeli-belah secara online, melayari YouTube serta mengumpul topi. Juga memiliki obsesi terhadap kentang pink pada tahap yang membimbangkan.

0 Komen:

Dikuasakan oleh Blogger.