RESIPI

Resipi Mudah Aiskrim Matcha


Bila dah duduk rumah sebab Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ni macam-macam resipi orang asyik cuba. Penulis pun tak ketinggalan untuk mencuba buat aiskrim sendiri di rumah, memandangkan dah tak berpeluang lagi untuk menikmati aiskrim di kedai aiskrim kegemaran penulis sejak tahun 80an iaitu Swensen's sepanjang musim PKP.

Resipi penulis guna ini sangat mudah kerana hanya menggunakan 3 jenis ramuan dan tanpa perlu memakai mesin bancuh aiskrim (ice cream maker). Apa yang penting kena ada semangat rajin pergi ke dapur, serta bahan-bahan berikut:

- 2 cawan krim putar (500ml)
- 1 tin susu isian pekat manis
- 1 sudu teh esen vanila

Perisa aiskrim terpulang kepada citarasa masing-masing. Misalnya jika sukakan perisa coklat, boleh tambah 2 sudu besar serbuk koko ke dalam adunan. Bagi penulis, perisa matcha atau teh hijau dipilih sebab penulis gemar aiskrim teh hijau. Jadi penulis menambah 1 sudu besar serbuk teh hijau Uji yang baru dibeli khas dari Jepun (gambar di bawah).


Pukul krim putar dengan pengadun (boleh juga pukul dengan menggunakan tangan) sehingga kembang dan permukaannya mula bertanduk. Kemudian tambah susu isian pekat manis, esen vanila dan serbuk teh hijau ke dalam adunan satu-persatu secara perlahan-lahan.

Setelah adunan sebati, tuang ke dalam bekas bertutup rapat. Masukkan bekas berisi adunan aiskrim ke dalam peti sejuk dan biarkan selama semalaman.

Hasilnya seperti di gambar bawah... sesuai bagi sesiapa yang suka makan aiskrim yang mempunyai tekstur lembut seperti aiskrim Wall's, Magnolia atau Nestle!


Tentang YunFila

Seekor kentang gemuk bertopi. Meminati kucing, teknologi, steampunk, membeli-belah secara online, melayari YouTube serta mengumpul topi. Juga memiliki obsesi terhadap kentang pink pada tahap yang membimbangkan.

0 Komen:

Dikuasakan oleh Blogger.