FREEBIES

Koleksi Game Indie Percuma Berdasarkan COVID-19 Yang Boleh Dimuat Turun


Semenjak dunia dilanda wabak COVID-19 bermula pengisytiharannya sebagai krisis pandemik pada 11 Mac 2020, kehidupan masyarakat sedunia berubah secara drastik dan hari demi hari manusia terpaksa melalui pengalaman hidup dalam kawalan ketat demi keselamatan kesihatan. Tiada lagi suasana meriah bersama rakan dan keluarga di tempat terbuka. Tiada lagi kanak-kanak yang bangun pagi dan bergegas pergi ke sekolah. Tiada lagi manusia berkumpul di rumah ibadat untuk menunaikan ibadat. Malah tiada lagi manusia berkunjung ke galeri, muzium dan teater untuk menikmati hasil seni dan budaya. Secara tiba-tiba, keluar rumah tanpa tujuan merupakan satu jenayah yang boleh dikenakan hukuman berat. Hidup manusia kini dikelilingi skrin komputer, televisyen serta telefon pintar yang penuh dengan pemberitahuan maklumat tentang perjalanan usaha kerajaan menangani wabak daripada berterusan merebak, serta maklumat berkaitan bantuan yang diberikan oleh pelbagai pihak untuk menolong masyarakat membangunkan semula kehidupan.

Di kala kita semua duduk di rumah mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), terdapat individu-individu yang berbakat menghasilkan permainan berdasarkan situasi COVID-19 sekarang dengan tujuan menghiburkan sekaligus menyedarkan masyarakat tentang pentingnya memenangi 'peperangan' membasmi Coronavirus. Berikut ialah dua permainan indie berdasarkan COVID-19 yang boleh dimuat turun di alam maya.


NOVEL CONTAINMENT


Coronavirus telah merebak di stesen transit pengangkutan awam di mana anda bekerja sebagai pengawal bahagian kuarantin. Tugas anda ialah memeriksa setiap penumpang dan memastikan mereka yang menunjukkan gejala-gejala demam dikuarantin dengan segera. Antara cabaran game ini ialah anda harus membuat keputusan sama ada hendak melaporkan statistik dengan tepat dan telus tetapi berisiko mengancam ketenteraman awam, atau menyembunyikan statistik sebenar demi ketenangan orang ramai namun bakal membahayakan nyawa masyarakat termasuk nyawa sendiri?

Game indie yang menarik ini dicipta oleh Mike Ren, seorang pereka game dari Shanghai, China. Menurut Mike, dia mula menghasilkan Novel Containment pada 26 Januari 2020 ketika dunia berada di ambang ancaman Coronavirus. Pengalamannya semasa berada dalam kuarantin membuatkan Mike memikirkan tentang usaha yang dijalankan oleh kerajaan negara-negara di serata dunia dalam menangani  krisis COVID-19. Juteru itu, Mike menghasilkan game ini dengan harapan pemain dapat memahami situasi krisis semasa yang berlaku serta mengamalkan penjarakan sosial dan membasuh tangan untuk memutuskan rantaian COVID-19.

Novel Containment boleh dimuat turun di sini:
https://mikeyren.itch.io/containment


WASH YOUR HANDS


Wash Your Hands merupakan game yang unik kerana ia merupakan kuburan di alam maya yang mewakili bilangan mangsa korban Coronavirus di dunia sebenar. Di dalam game ini anda berpeluang mengunjungi setiap kubur mangsa dan meletakkan bunga sebagai tanda penghormatan. Setiap kali ada kematian terbaru di dunia sebenar, anda mungkin akan menemui watak penggali kubur muncul di tengah-tengah permainan sedang menggali kubur baru.

Game indie ini dihasilkan oleh Dean Moynihan yang mengasaskan Awkward Silence Games dalam bilik tidurnya di England. 

Wash Your Hands boleh dimuat turun di sini:
https://awkwardsilencegames.itch.io/washyourhands


Tentang YunFila

Seekor kentang gemuk bertopi. Meminati kucing, teknologi, steampunk, membeli-belah secara online, melayari YouTube serta mengumpul topi. Juga memiliki obsesi terhadap kentang pink pada tahap yang membimbangkan.

0 Komen:

Dikuasakan oleh Blogger.