SANTAI

Roti Gardenia Ini Dijual Pada Harga RM30K Di Shopee


Sejak beberapa hari ini tular mengenai berita roti Gardenia kehabisan stok di pasaran kononnya kilang ditutup gara-gara penularan wabak Covid-19, dan diburukkan pula dengan situasi pembelian panik musim Perintah Kawalan Pergerakan ini. 

Roti adalah antara pilihan sumber makanan orang ramai sepanjang penguatkuasaan perintah yang bertujuan mencegah penularan wabak Covid-19 di Malaysia. Ramai netizen meluahkan kesukaran mencari bekalan roti Gardenia.

Namun begitu masih ada pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengambil kesempatan ke atas situasi meruncing berkaitan roti Gardenia ini. Ingatkan mask saja orang letak harga mahal-mahal, ini roti pun jadi mangsa kerakusan manusia. Baru-baru ini seorang penjual di Shopee bersikap tamak dengan meletakkan harga RM30,000 bagi sebuku roti Gardenia perisa Butterscotch.


Penjual yang dikenali sebagai inobi3rio itu juga sedia menukarkan roti Gardenia yang dijual dengan motorsikal Yamaha R25 kepada sesiapa yang sudi. Mungkin tawaran ini berbaloi kerana roti Gardenia tersebut diperbuat daripada "stainless steel" seperti yang dinyatakan oleh inobi3rio dalam butiran produk.


Walaupun sikapnya tamak haloba seperti Donald Trump yang nak pau vaksin COVID-19 seorang dia saja, tapi apa yang bagus tentang penjual ini ialah dia telah mensanitasikan tag tanda harga dan tarikh luput pada roti tersebut supaya terhindar dari Coronavirus dan selamat dimakan, serta memiliki keyakinan diri yang tinggi tentang kekacakannya. Semangat ini sukar dicari di kalangan anak-anak muda yang terlalu mengagung-agungkan artis Korea sekarang.


Sebenarnya penulis kenal penjual ini yang merupakan salah seorang rakan Facebook penulis. Entah apa yang telah merasuk budak tu sampai sanggup melakukan onar di Shopee sebegini. Mungkin hantu Yamaha R25. Mungkin juga dia kebosanan sebab dah lama tak memperlihatkan wajahnya yang baby face di luar rumah. Walau bagaimanapun, jika anda kehabisan stok roti dan berminat hendak menukarkan motorsikal Yamaha R25 anda dengannya untuk sebuku roti Gardenia butterscotch yang lazat, bolehlah kunjungi kedainya di Shopee. Setakat ini dia cuma ada 1 produk saja dalam kedai.

Oh ya, dia juga rajin buat video yang tak kurang juga lawaknya hingga mampu buat orang sakit perut. Boleh layari page Raksasa Manja untuk melihat hasil kerjanya bersama rakan-rakan yang lain.

Tentang YunFila

Seekor kentang gemuk bertopi. Meminati kucing, teknologi, steampunk, membeli-belah secara online, melayari YouTube serta mengumpul topi. Juga memiliki obsesi terhadap kentang pink pada tahap yang membimbangkan.

0 Komen:

Dikuasakan oleh Blogger.