INFO

Pondan (Mukhannas) Dalam Islam


Golongan pondan, mak nyah, transgender, mukhannas atau mutashabbih telah lama wujud sejak zaman dahulu lagi, malah di zaman Rasulullah pun sudah ada undang-undang terhadap golongan tersebut. Mereka bukanlah golongan yang wujud kesan daripada persekitaran moden, demokrasi dan kebebasan hak asasi, sebaliknya sudah lahir sejak zaman Nabi Lut AS.

Perkataan mutashabbih berasal daripada perkataan tashabbuh yang bermaksud menyerupai sesuatu. Justeru istilah mutashabbih digunakan bagi kedua-dua jantina lelaki dan perempuan yang menyerupai jantina yang berlawanan dengannya. Menurut Imam al-Nawawi, hadis ini ditujukan kepada lelaki yang sengaja menyerupai perempuan dan juga perempuan yang sengaja menyerupai lelaki.

Manakala istilah mukhannas merujuk kepada lelaki yang menyerupai wanita dalam tingkah lakunya, cara berjalan, pertuturan, perawakan dan sifat lemah lembutnya. Terdapat dua kategori mukhannas yang disebut secara terperinci oleh Imam al-Nawawi:

1. Mukhannas Semulajadi

Mukhannas secara khilqah (penciptaan) iaitu dia secara kejadiannya memang sudah dalam keadaan bersifat lembut dalam pertuturan, suara atau tingkah lakunya dan dia tidak dikenali seorang yang bersikap buruk dan fasik. Jenis mukhannas ini mempunyai ciri kewanitaan secara semula jadi dan tidak mengada-adakan sifat itu dengan sendirinya. Kategori ini tidak termasuk dalam golongan yang dicela atau dilaknat oleh Nabi SAW. Dalam Al-Quran, golongan ini pernah disebutkan dalam kategori mereka yang tidak mempunyai nafsu terhadap wanita. Mereka tidak harus dihukum kerana keadaan yang telah dicipta ke atasnya, selagi dia tidak melakukan perbuatan haram misalnya terbabit dengan zina, liwat atau pelacuran. Tetapi mereka dikehendaki supaya berusaha menghilangkan ciri-ciri kewanitaan tersebut dan melawan hawa nafsu mereka. 


2. Mukhannas Sengaja

Mukhannas secara sengaja, iaitu mereka yang sengaja menyerupai wanita dalam tingkah laku dan perawakan. Perbuatan inilah yang dilaknat oleh Nabi SAW. Mereka dalam kategori ini termasuk dari kalangan fasik dan pelaku maksiat. Kelompok ini adalah mereka yang berperwatakan seperti wanita dengan tujuan tidak bermoral, maka dia dikira melakukan dosa dan patut dihukum. Mereka juga tidak semestinya dari lahir sudah berperwatakan seperti wanita, kerana ada yang sengaja meniru gaya wanita atau mukhannas lain. Mukhannas jenis ini adalah golongan lelaki yang meniru perwatakan, pakaian, perbuatan dan gaya percakapan wanita dengan sengaja dan berkecenderungan pada perlakuan erotik juga seksual. Golongan inilah yang dikutuk oleh Rasulullah SAW dan termasuk dalam golongan yang dilaknat.


Cara Menyantuni Mukhannas Melalui Pendekatan Berbeza

Dalam hadith, Nabi SAW pada mulanya membenarkan golongan mukhannas masuk menemui isteri-isterinya kerana melihat kebiasaan mereka ini adalah di kalangan mereka yang tiada nafsu terhadap wanita. Menurut riwayat Abu Daud, golongan mukhannas ini datang kepada isteri Rasulullah SAW untuk meminta makanan dan permintaan mereka itu dipenuhi. Malah mereka dilayan secara baik kerana ada hak untuk ditunaikan dalam membantu sesama manusia.

Namun setelah Nabi melihat mukhannas ini mula menceritakan berkenaan sifat wanita, Nabi SAW melarang golongan ini untuk masuk bertemu isteri-isteri baginda. Daripada Aisyah RA katanya:

"Seorang mukhannath masuk menemui isteri-isteri Rasulullah SAW dan mereka menganggapnya sebagai Ghairu Ulil Irbah (orang yang tidak punya nafsu kepada wanita). Suatu ketika Rasulullah SAW masuk menemui isteri-isteri baginda dan mukhannath itu ada bersama mereka. Mukhannath itu sedang menceritakan mengenai sifat wanita (Taif) dengan berkata; ‘Wanita (Taif, anak-anak perempuan Ghaylan) itu jika menghadap ke depan maka ia menghadap dengan empat (lipatan), dan jika menghadap ke belakang maka ia menghadap dengan lapan (lipatan)’.
Mendengar perbualan itu Rasulullah SAW bersabda; ‘Ketahuilah, aku melihat orang ini mengetahui apa yang ada pada wanita, maka jangan benarkan dia masuk bersama kalian.’ Mereka pun (isteri-isteri Nabi) akhirnya memakai hijab.” (HR Muslim dan Ahmad)

Walau bagaimanapun, memandangkan mukhannas tersebut akan mati kelaparan sekiranya diusir, maka Rasulullah SAW membenarkan dia datang kepada isteri-isteri baginda setiap Jumaat dua kali, hanya untuk meminta makanan dan kemudian pulang.


Kisah ini menunjukkan pendekatan pertama yang digunakan Rasulullah SAW terhadap golongan ini adalah dengan penuh hikmah dan rasional. Makanan adalah hak asas dalam kehidupan. Golongan mukhannas berhak mendapatkan hak itu justeru Rasulullah SAW memberi kebenaran untuk mereka datang pada hari yang ditetapkan.

Bagaimanapun di dalam hadis yang sama juga, Rasulullah SAW mengusir mukhannas. Cara ini boleh difahami sebagai bentuk kekerasan namun ada sebab dan alasan yang munasabah atas tindakan yang diambil. Menurut al-Imam al-Syawkani, Rasulullah SAW mengambil tindakan yang keras untuk mengusir mukhannas daripada rumah isteri baginda kerana tiga sebab utama:

1) Sangkaan bahawa semua golongan mukhannas tidak mempunyai nafsu terhadap wanita adalah salah. Ini boleh dilihat melalui perbualan mereka yang menceritakan mengenai anak Ghaylan (wanita Taif) seperti dinyatakan dalam hadis di atas.

2) Penceritaan mukhannas yang mengandungi sifat dan deskripsi mengenai wanita mendedahkan perkara yang tidak wajar kepada golongan berlawanan jantina. Walaupun mukhannath berperwatakan wanita, tetapi mereka adalah lelaki yang masih perlu menjaga batasan pergaulan. 

3) Mukhannas mempunyai ruang yang terbuka untuk melihat tubuh dan aurat wanita sekiranya mereka diberi peluang untuk duduk bersama-sama wanita. Bagi mengelakkan perkara yang meragui, tindakan yang diambil oleh Rasulullah SAW adalah dengan mengusir mereka. Arahan dan tindakan mengusir mukhannas bukan atas dasar kebencian, tetapi untuk memelihara kehormatan wanita terutama isteri-isteri baginda yang berhadapan dengan golongan mukhannas.

Walaupun tindakan yang diambil oleh Rasulullah SAW untuk mengusir mereka dianggap keras, baginda dalam masa yang sama melarang untuk berlaku kejam terhadap mereka ataupun membunuh golongan ini.

Tentang YunFila

Seekor kentang gemuk bertopi. Meminati kucing, teknologi, steampunk, membeli-belah secara online, melayari YouTube serta mengumpul topi. Juga memiliki obsesi terhadap kentang pink pada tahap yang membimbangkan.

0 Komen:

Dikuasakan oleh Blogger.