Baru
Tunggu kejap ya... nak cari entri terbaru

VIRAL

Apa Yang Dah Jadi Dengan Puteri Balqis?


Pasti ramai yang terperanjat apabila melihat keadaan terbaru Puteri Balqis dalam program Bersamamu di TV3 semalam. Puteri Balqis Azizi, 13, yang pernah memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik (Drama) pada Anugerah Televisyen Asia 2014 itu telah dikhabarkan menderita sakit sejak dua tahun lalu dan tidak lagi menceburi bidang lakonan. Puteri Balqis, atau dengan panggilan mesranya Aqish, kini menulis puisi dan menjualnya di jalanan bagi menampung kehidupannya seharian.


Episod rancangan Bersamamu di TV3 yang memaparkan kisah kehidupan Puteri Balqis

Keadaan kesihatan Aqish diketahui umum apabila ibu Aqish, Norashikin Mohd Aziz (Nouryl), memuatnaik sekeping gambar Aqish sedang menjalani rawatan di Instagram dengan hashtag #fightcancer pada tahun 2018. Menurut Nouryl, Aqish mula mengalami masalah jantung diikuti demam berpanjangan serta kerap muntah darah dan batuk berdarah. Simptom lain seperti kerap demam, pengsan dan lain-lain turut dialami oleh Aqish. Dengan pertolongan teman-teman rapat, doktor yang merawat, dan pelbagai usaha yang dibuat dengan rawatan hospital serta rawatan tradisional, Aqish kini beransur pulih dan sudah ada perubahan.

Gambar yang dimuatnaik oleh ibu Puteri Balqis di Instagram pada Mei 2018 mendedahkan keadaan kesihatan Puteri Balqis yang mengalami sakit dalaman

Di samping keadaan kesihatan Aqish, perceraian ibu bapa juga menyebabkan kehidupan Aqish menjadi sukar. Dalam program Bersamamu, diceritakan kedua ibu bapa Aqish sudah bercerai sejak empat tahun lalu. Aqish memilih tinggal bersama ibunya dan melalui kehidupan susah senang bersama. Dua beranak itu juga pernah dihalau dari rumah lama kerana tidak mampu membayar sewa bulanan sebelum berpindah ke rumah sewa sekarang di Shah Alam. Nouryl terpaksa berjimat cermat dengan memanaskan lauk. Jika ada duit lebih, dia akan memasak lebih satu lauk dengan banyak dan simpan dalam peti sejuk. Mereka juga mencatu lauk dengan membungkus mengikut hari bagi memudahkan dibawa jika keluar berniaga.


Dengan menaiki komuter selama sejam perjalanan, Nouryl dan Aqish akan pergi ke jalanan di Masjid India sehingga Pudu berdua untuk menjual buku puisi Aqish kepada orang ramai. Jualan buku tidak menentu dan adakalanya tidak laku langsung, malah telah menjadi perkara biasa bagi mereka ditolak. Ketika berniaga buku di jalanan, Aqish juga bergaul dengan gelandangan di Kuala Lumpur kerana ada ketikanya dia tidur di kedai mamak atau di tepi jalan kerana sudah lewat untuk pulang ke Setia Alam. 

Puteri Balqis kini mencari rezeki seharian dengan menjual buku puisinya berjudul '38 Poems of Puteri Balqis' di jalanan Kuala Lumpur. "Saya gembira jual buku di jalanan," katanya.

Hanna Lola Azlan, rakan kepada Nouryl, merupakan individu yang bertanggungjawab membantu Aqish menerbitkan buku puisinya berjudul 38 Poems of Puteri Balqis. Dia menceritakan bagaimana terhasilnya buku puisi Aqish menerusi status di akaun Facebook miliknya:
"Lola sebagai kawan mak Aqish, dah cuba yang terbaik untuk tolong dia orang terutama Aqish. Sebelum ini mereka pernah cuba minta bantuan dari beberapa pihak tertentu tapi tidak dilayan. Dia orang pun segan sebenarnya asyik minta tolong sana sini, dia orang pun ada maruah juga. Pernah Lola marah mak Aqish kenapa tak bagitau Lola yang dia orang tak ada duit nak makan, beberapa hari dah tak makan sebab dorang segan dah asyik minta tolong je. Bulan puasa pun tiada kenikmatan berbuka puasa seperti yang lain sebab tak ada duit nak beli makanan. Bukan kerana mom dia tak nak kerja, tapi tak boleh nak berkerja dengan keadaan Aqish yang macam tu. Sampai la 1 hari mak Aqish call Lola, dia jumpa buku nota Aqish ala-ala diary, tapi penuh dengan quotes. Dia beritahu boleh la masukkan quotes ni dalam buku Planner 2020 kau nanti. Lola cakap haaa okey jugak, mesti Aqish suka. Tapi bila mak Aqish send gambar-gambar quotes tu di Whatsapp. Lola kata tak sesuai untuk buku planner sebab quotes ni sedih and deep sangat. Apa kata kita buatkan buku Quotes Aqish terus. Since dia orang memang tak ada duit, jadi Lola willing keluarkan modal untuk dia orang, keuntungan memang sepenuhnya untuk dia orang. It takes a month untuk siapkan buku tu, Aqish excited sangat-sangat, tapi since kami jual online je di IG Aqish @ROCKINGBALQIS dan IG Planner.Ana.Official serta di Shopee, jadi tiada sambutan, semangat Aqish kembali down. Tapi Alhamdulillah pada bulan pertama jualan, dia orang dapat bayar beberapa hutang dan bil penting. Masa Lola buat buku Planner 2020, Aqish send lagi motivated quotes, dengan itu la terhasilnya Planner 2020 No Regrets tu, buku paling last Lola print. Sebab Aqish cakap boleh tarik orang untuk beli 1 set dengan buku Poems tu. Kemudian Aqish and her mom kembali bersemangat, turun KL jual buku di tepi jalan."
Buku '38 Poems of Puteri Balqis' boleh dibeli bersama Buku Planner 2020 di Shopee melalui Hanna Lola Azlan di akaun lolaannastore

Nasib Aqish dan ibunya turut mendapat perhatian Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Datuk Dr Syed Hussian Aljunid. “Daripada apa saya lihat, Puteri Balqis dan ibunya ingin berdikari dan mahu cari nafkah sendiri. Jadi, di sinilah saya melihat MPB dapat membantu. Insya Allah, selepas ini kita akan buat perjumpaan dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan jumpa penerbit buku. Kita akan bantu dari segi itu dan mempromosi. Saya ada baca buku puisi yang dihasilkan, memang bagus dan dia berbakat.Maknanya dia bagus dan boleh menulis,” katanya.


Kisah Puteri Balqis juga dipaparkan dalam program Malaysia Hari Ini (MHI) pagi tadi

Manakala itu Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf di LSZ, Abdul Basith Hamid berkata, kedua-dua beranak itu didaftarkan sebagai asnaf miskin daerah Petaling dan buat permulaan, LZS menyalurkan bantuan kecemasan selain mereka juga disantuni dengan bantuan kewangan bulanan bermula Januari termasuk menyelesaikan bil utiliti yang tertunggak. Katanya, pihaknya turut mempertimbangkan bantuan perubatan bagi membolehkan pelakon berkenaan meneruskan rawatan penyakit dihidapinya selepas mendapat pengesahan perubatan daripada hospital.

Selain itu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan juga menghubungi Harian Metro menyatakan hasrat untuk berjumpa Puteri dan ibunya bagi menyampaikan sumbangan serta membeli buku puisi yang dijual pada harga RM35 setiap satu itu.

Tentang YunFila

Seekor kentang gemuk bertopi. Meminati kucing, teknologi, steampunk, membeli-belah secara online, melayari YouTube serta mengumpul topi. Juga memiliki obsesi terhadap kentang pink pada tahap yang membimbangkan.

2 Komen:

Elih Japahar berkata...

Sedih mendengar berita Puteri Balqis ni...semoga cepat sembuh

sHaRiNa berkata...

kesian dia..smoga Allah sembuhkan pnyakitnya dan moga ibu nya tabah

Dikuasakan oleh Blogger.