Page Menu

Sebuah blog caca-marba yang hidup segak mati tak mau.
Blogger dia pun sekejap update sekejap jadi hantu.

Total Pageviews

Dibina oleh Ayuni Rafilah © 2014-2023 Hak Cipta Terpelihara
Dikuasakan oleh Blogger.

Resipi Eggnog Halal


Resipi Eggnog Halal | Semasa Ayuni tinggal di England waktu kecil dulu, bulan Krismas merupakan bulan paling lama terasa suasana cuti yang meriah. Hari siang sangat singkat jadi kebanyakan orang dewasa balik awal dari kerja. Cuaca amat sejuk sehingga seluruh badan terasa seperti dicucuk-cucuk duri ais, jadi ramai lebih suka duduk dalam rumah memanaskan diri di tepi pendiang api elektrik sambil berselubung bawah selimut dan memegang minuman panas. Golongan yang berduit pula akan pergi bercuti ke negara yang ada pantai dan berhawa Mediterranean seperti Greece, atau berhawa tropika seperti Malaysia. Kos sara hidup di England memang mampu milik pada zaman tu (1990an) memandangkan nilai matawang pound bersamaan dengan RM4.25.

Aktiviti popular di waktu musim cuti Krismas sudah tentu membeli-belah untuk hadiah dan menyediakan sajian istimewa untuk keluarga dan tetamu. Antara sajian yang disediakan semasa Krismas ialah ayam belanda panggang, kek buah, pudding Krismas, biskut halia, dan eggnog. Macam di Malaysia bila raya mesti nak kena ada rendang, ketupat, dan lemang kan? Jadi di England makanan yang disebutkan tadi tu merupakan yang wajib ada masa perayaan Krismas.

Gambar kenangan Ayuni bersama adik-beradik masa zaman kanak-kanak

Hari ni Ayuni nak kongsi cara membuat eggnog. Eggnog ni sejenis minuman tenusu yang diperbuat daripada campuran telur, susu dan rempah. Asalnya minuman ini diminum oleh golongan bangsawan untuk menghangatkan badan di musim sejuk dan biasanya dicampur dengan arak, memandangkan pada zaman dulu hanya orang kaya mampu beli telur, susu, rempah dan arak. Tetapi sekarang semua orang boleh minum eggnog dan ada eggnog yang dibuat tanpa campuran alkohol, terutama sekali yang dihidang untuk tetamu yang membawa keluarga termasuk anak-anak kecil.

Ayuni suka minum eggnog kerana rasanya yang manis berempah dan lemak berkrim, tetapi agak susah juga nak mencari minuman ni di Malaysia. Kali terakhir Ayuni pernah minum eggnog semasa jamuan Krismas di Ritz-Carlton Kuala Lumpur beberapa tahun dulu.


[ CARA MEMBUAT MINUMAN EGGNOG HALAL ]

Bahan-bahan:

4 biji telur saiz besar
2 cawan susu segar
1 cawan krim
1⁄4 cawan gula
1 sudu besar madu
sedikit esen vanila
sedikit garam (untuk tambah rasa lemak)
secubit serbuk buah pala
secubit serbuk halia
secubit serbuk kayu manis

Cara Masak:
  1. Asingkan putih telur dan kuning telur dalam mangkuk berasingan.
  2. Pukul kuning telur hingga warnanya bertukar jadi warna lembut. 
  3. Masukkan gula dan pukul sehingga  sebati.
  4. Tuang adunan kuning telur ke dalam periuk. 
  5. Masukkan susu segar, krim, madu, esen vanila, garam, serbuk buah pala, serbuk halia dan serbuk kayu manis ke dalam periuk.
  6. Panaskan periuk pada suhu sederhana dan kacau sehingga mula mendidih.
  7. Tutup api dan biarkan sejuk sebentar pada suhu bilik.
  8. Pukul putih telur sehingga kembang.
  9. Sambil pukul tambah 1 satu sudu besar gula sedikit demi sedikit. 
  10. Campurkan putih telur dipukul dengan adunan langkah 1-6 tadi sedikit demi sedikit sambil kacau perlahan-lahan.
  11. Sambil gunakan penapis, tuang adunan ke dalam gelas dan biarkan dingin.
  12. Tabur serbuk kayu manis/serbuk pelaga/serbuk koko sebagai hiasan sebelum dihidang.

Tips: Boleh gunakan krim putar untuk menggantikan krim susu. Eggnog boleh juga dicampur dengan kopi untuk membuat latte perisa istimewa!
    Boleh campur eggnog dengan latte, mocha atau milo untuk mencipta kelainan

    Tiada ulasan