Baru
Tunggu kejap ya... nak cari entri terbaru

BERITA

Pasangan Warga Emas Rentung Di Ipoh Dipercayai Mangsa Bunuh


Polis mengesahkan terdapat unsur jenayah dalam kes kematian pasangan suami isteri yang ditemui rentung dalam kejadian kebakaran di sebuah apartmen di Taman Meru Impiana, Jelapang di Ipoh, Perak pada Ahad semalam. Dalam kejadian pada jam 3.30 pagi itu, Kamal Mustafa yang merupakan warga Mesir dan Kamariah Talib masing-masing berusia 70-an ditemui rentung di ruang tamu dan hadapan bilik air rumah mereka.

Hasil bedah siasat mendapati kedua-dua mangsa mempunyai beberapa kesan tikaman di bahagian badan dan dipercayai ditikam dengan senjata tajam. Mangsa lelaki mempunyai kesan tikaman di dada manakala isterinya di bahagian rusuk kiri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, susulan hasil bedah siasat itu, pihaknya kembali ke lokasi kejadian untuk menyiasat semula kejadian yang kini diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

“Hasil bedah siasat juga mendapati wanita berkenaan sudah meninggal dunia dalam tempoh 24 jam dan ada kemungkinan selepas kematian wanita itu, suaminya datang semula untuk membakar rumah,” katanya yang ditemui selepas meninjau semula lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP A. Asmadi Abdul Aziz berkata siasatan awal pihak bomba telah menemukan dua tong gas di ruang ramu rumah tersebut yang sepatutnya berada di dapur. Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati Kamal keluar dan membawa pulang dua tong gas manakala kenderaannya ditemui rentung 500 meter dari apartmen berkenaan.

Motif sebenar kejadian masih disiasat berikutan daripada keterangan saksi yang mengatakan mereka terdengar pertengkaran antara kedua-dua mangsa terbabit pada malam sebelum kejadian.

Polis kini mengklasifikasikan kes tersebut sebagai kes bunuh, dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tentang YunFila

Seekor kentang gemuk bertopi. Meminati kucing, teknologi, steampunk, membeli-belah secara online, melayari YouTube serta mengumpul topi. Juga memiliki obsesi terhadap kentang pink pada tahap yang membimbangkan.

0 Komen:

Dikuasakan oleh Blogger.