Baru
Tunggu kejap ya... nak cari entri terbaru

HIBURAN

Mah Nakorn (2004) Filem Romantik Komedi Yang Tak Dicapai Dek Akal


Takdir telah membawa seorang pemuda kampung ke bandar Bangkok untuk mencari impiannya, tanpa dia menyedari bahawa apa yang diimpikan selama ini sebenarnya telah lama berada di depan matanya apabila dia berhenti mengejar. Itulah tema utama filem Mah Nakorn atau terjemahan Bahasa Inggerisnya Citizen Dog yang diterbitkan pada tahun 2004. Filem arahan Wisit Sasanatieng ini diadaptasi dari novel karya isteri Wisit sendiri, dan pernah dinobat sebagai filem keenam daripada 10 Filem Terbaik 2005 oleh majalah Time. 

Inilah gaya anak kampung tiada pelajaran, kuli kuli sahaja memang tidak padan, cantik ba kau itu banyak yang tergoda, lagi orang kaya...

Dengan jalan cerita yang berpentaskan dunia "surreal", Mah Nakorn menengahkan kisah nasib seorang pemuda dari desa bernama Pod (Mahasamut Boonyaruk) yang berhijrah ke Bangkok untuk mencari kerja, walaupun Pod telah banyak kali diberi amaran oleh neneknya (Raenkum Sannin) bahawa dia akan tumbuh ekor sekiranya dia duduk di bandar. Pod memulakan kerjayanya di sebuah kilang pengeluar tin sardin, di mana pada suatu hari jari Pod tiba-tiba hilang dalam salah satu tin sardin yang diprosesnya.

Ah, sudah... tekun sangat bekerja sampai hilang satu jari.

Pod mula membeli sardin setiap hari untuk mencari jarinya yang hilang itu. Akhirnya Pod terjumpa sebatang jari dalam salah satu tin sardin yang dibeli lalu dia cuba menyambung semula jari itu ke tangannya. Namun ada sesuatu yang tidak kena - rupa-rupanya jari Pod berada di tangan seorang lelaki lain yang nyaris mengorek hidung lalu berlaku satu perbalahan di antara mereka berdua yang berebutkan jari masing-masing. Sejurus selepas perbalahan Pod dan lelaki itu, mereka pun menjadi kawan baik. 

Di luar tempat kerja, Pod juga menjalin persahabatan dengan seorang penunggang motor Gojek yang telah bertukar menjadi zombie gara-gara terlibat dengan kemalangan yang meragut nyawanya kerana tidak memakai topi keledar semasa ditimpa hujan topi keledar. Walaupun sudah mati dan menjadi zombie, penunggang motor Gojek itu tetap setia menjalankan tugasnya membawa penumpang ke sana ke mari.

Menjadi zombie bukan halangan untuk keluar mencari rezeki. 
Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. 

Oleh kerana Pod tidak ingin kehilangan jari lagi, dia berhenti bekerja di kilang tin sardin lalu mengambil kerja baru sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat korporat. Pod mula jatuh hati dengan seorang gadis tukang cuci bangunan bernama Jin (Sangthong Keduthong).

Apa yang menarik tentang Jin ialah dia mempunyai OCD oleh itu asal ada sedikit kekotoran dia akan segera mencucinya, sesuai dengan kerjanya sebagai tukang cuci. Satu lagi tabiat aneh Jin ialah dia akan membawa senaskhah buku berwarna putih yang ditulis dalam bahasa yang dia sendiri pun tidak faham maksudnya. Misi hidup Jin ialah untuk memahami isi buku tersebut sambil mengejar impiannya. Pod amat tertarik dengan sikap Jin yang berpegang teguh kepada impian dan cara Jin melayan impiannya bagai kanak-kanak melayan anak patung.

Apa agaknya isi kandungan buku tu sampai jalan tak pandang orang langsung?

Apabila Pod mendapat tahu Jin mempunyai alahan terhadap bas awam, Pod segera menukar pekerjaan kepada pemandu teksi semata-mata agar Jin dapat mengelak daripada terkena alahan (dan juga supaya Pod dapat peluang untuk mendekati Jin semasa Jin berulang-alik dari kerja). 

Menjadi pemandu Grab demi menyelamatkan cinta hati daripada alahan bas.

Sepanjang masa Pod menjadi pemandu teksi dia berkenalan dengan beberapa penumpang yang terdiri daripada pelbagai ragam, termasuk seorang kanak-kanak perempuan kecil bernama Baby Mam yang bersifat kasar dan ganas serta patung beruangnya yang boleh bercakap dan kuat merokok bernama Tongchai, dan seorang lelaki pelik yang gemar menjilat segala benda yang dilihat di depan matanya.

Ini dah kenapa orang pun nak dijilatnya...

Di saat Pod ingin meluahkan isi hatinya kepada Jin, dia menjadi kecewa apabila Jin mula obses dengan kegiatan aktivis alam sekitar yang melancarkan kempen memboikot botol plastik terbuang di Bangkok. Jin menyertai kumpulan aktivis terbabit dan terserempak dengan seorang lelaki asing yang memahami isi kandungan buku putih yang dibawanya selama ini.

Setiap kisah cinta pasti ada halangan, dan bagi Pod halangan utama kepada cintanya ialah botol plastik terbuang.

Apakah maksud yang terkandung dalam buku putih tersebut? Dapatkah Pod dan Jin menemui impian mereka masing-masing? Berjayakah Pod menyampaikan cintanya kepada Jin? Adakah Pod akan tumbuh ekor setelah lama menetap di bandar?

Filem Mah Nakorn ini memang rugi kalau tak ditonton oleh peminat filem genre romcom (romantik-komedi). Jalan ceritanya agak ringan dan tidak berpaksikan kepada satu plot sahaja, malah ada beberapa sub-plot diselitkan di sepanjang perjalanan hidup Pod dan Jin. Disebabkan gaya penceritaan Mah Nakorn yang penuh warna-warni dan unsur imaginasi, perasaan menonton filem ini seolah-olah seperti membaca novel visual atau manga.

Dunia dalam filem Mah Nakorn penuh dengan warna, macam melihat kanvas seni bergerak. Tengok lukisan mural rumah Pod ni.

Lakonan kesemua pelakon amat hidup, terutama sekali Raenkum Sannin yang memegang watak sebagai nenek Pod yang lucu. Hasil arahan Wisit Sasanatieng berjaya menghidupkan dunia "pelik" yang didiami Pod seolah-olah mimpi yang berpanjangan dengan kombinasi warna menarik bagi melambangkan setiap perasaan watak dan situasi adegan tertentu, ditambah dengan gabungan lagu-lagu Thailand asli dan pop yang sedap didengari. Boleh dikatakan keseluruhan filem Mah Nakorn merupakan sebuah seni estetik atas kanvas bergerak.

Suka tengok nenek Pod yang tak ada gigi ni bagi nasihat sentap.

Tentang YunFila

Seekor kentang gemuk bertopi. Meminati kucing, teknologi, steampunk, membeli-belah secara online, melayari YouTube serta mengumpul topi. Juga memiliki obsesi terhadap kentang pink pada tahap yang membimbangkan.

1 Komen:

Mrs Pip berkata...

menarik lah pula.
mesti banyak sense of humor ni.

Dikuasakan oleh Blogger.