Baru
Tunggu kejap ya... nak cari entri terbaru

PERSONAL

Kempen #BMBF Bukan Boikot Barangan Bukan Muslim Bumiputera


Penulis menyokong kempen Buy Muslim Bumiputera First (#BMBF) namun ini tidak bermakna bahawa penulis memboikot barangan keluaran bukan Muslim Bumiputera. Bagi penulis, kempen ini amat bagus kerana mampu mendidik rakyat Malaysia terutama sekali yang bergama Islam mengenali hak kepenggunaan mereka (consumer rights) dengan mengamalkan kebebasan memilih (preference) serta belajar mengawal kuasa membeli dalam pasaran tempatan.

Kempen ini merupakan satu cara untuk menaikkan keyakinan syarikat pengeluar Muslim Bumiputera untuk berdaya saing secara sihat dengan syarikat pengeluar bukan Muslim Bumiputera melalui sokongan yang diberikan oleh rakyat Malaysia. Ini juga dapat mendorong ekonomi rakyat Malaysia Muslim Bumiputera menjadi kukuh. Namun begitu, syarikat pengeluar Muslim Bumiputera harus ingat bahawa sokongan ini bukanlah diberikan secara membuta-tuli kerana sekiranya kualiti, kebersihan dan servis mereka tidak dijaga, pengguna berhak memilih barangan keluaran syarikat bukan Muslim Bumiputera. 

Di samping itu kempen #BMBF ini juga adalah satu usaha untuk memperkenalkan produk keluaran Muslim Bumiputera kepada rakyat Malaysia dengan lebih terperinci memandangkan tidak banyak produk Muslim Bumiputera didedahkan kepada umum dalam pasaran tempatan kerana selama ini bergantung kepada prasarana Industri Kecil dan Sederhana (IKS). Syarikat pengeluar barangan Muslim Bumiputera rata-rata tenggelam dalam arus pasaran global dan mereka menjadi lebih terbenam tanpa adanya sokongan dan bantuan daripada golongan yang memonopoli rangkaian pasaraya. Buktinya berapa banyak pekasam buatan Muslim Bumiputera Malaysia yang pengguna boleh temui di hypermart tempatan berbanding kimchi dari Korea? 

Kebanyakan pengguna Muslim Bumiputera terpaksa mencari produk keluaran Muslim Bumiputera di kedai-kedai desa di kawasan luar bandar kerana sukar mencarinya di pasaraya dalam kawasan bandar. Oleh itu kempen #BMBF ini boleh menjadi satu cara yang baik untuk peniaga mengambil inisiatif membawa keluar produk Muslim Bumiputera daripada desa dan bangunkan potensi produk tersebut di bandar, malah hingga ke peringkat antarabangsa.



Malangnya sesetengah pihak media massa serta rakyat tidak prihatin telah menimbulkan persepsi negatif terhadap kempen #BMBF. Pihak tersebut telah memutarbelitkan fakta tentang kempen yang murni ini dengan menganggap ia satu boikot sambil mempolitikkan niat #BMBF di atas alasan sifat perkauman. Sindiran berunsur rasisme mengatakan bahawa kempen #BMBF mendiskriminasikan kaum lain sambil menakut-nakutkan dengan sentimen kehilangan kerja di kalangan orang Melayu memang tindakan yang bodoh dan kebudak-budakan. Harus diketahui bahawa kempen #BMBF boleh disokong oleh sesiapa sahaja tak kira agama dan bangsa kerana syarikat pengeluar bukan Muslim Bumiputera juga boleh membeli serta menjual semula barangan keluaran Muslim Bumiputera untuk meningkatkan ekonomi masing-masing. 

Apa gunanya konsep perdagangan halal hub diperkenalkan dan dilaburkan oleh negara selama ini sekiranya kempen #BMBF dipinggirkan oleh kerajaan?

Tentang YunFila

Seekor kentang gemuk bertopi. Meminati kucing, teknologi, steampunk, membeli-belah secara online, melayari YouTube serta mengumpul topi. Juga memiliki obsesi terhadap kentang pink pada tahap yang membimbangkan.

0 Komen:

Dikuasakan oleh Blogger.