Baru
Tunggu kejap ya... nak cari entri terbaru

REVIEW

Cempedak McFlurry vs Duriang Smoothie: Mana Lebih Sedap?


PERINGATAN: Review perbandingan ini tidak dibayar oleh mana-mana pihak McDonald's dan Tealive kerana tiada siapa akan ingin membayar blogger Melayu gemuk dan bermuka garang yang tidak mempunyai 30 ribu lebih followers untuk menulis review. Kesemua aiskrim dan smoothie ini 100% ditaja oleh penulis sendiri, oleh itu review perbandingan ini dijamin jujur 100% dan tidak fake seperti instafamous yang membeli followers dan likes untuk menaikkan nilai socmed mereka agar mudah mendapat tajaan.

Siapa dah tengok cerita "Another Life" dalam Netflix pasti rasa terpinga-pinga mengetahui bahawa buah rambutan dijadikan sebagai buah makhluk asing dari planet lain. Entah apa-apa orang putih ni... buah rambutan pun nampak menyeramkan bagi mereka. Adakah sebab ianya berbulu?


Sebelum cerita ni, satu lagi cerita orang putih yang tak kurang hebat merapunya juga menampilkan buah dari Malaysia sebagai buah dari dunia jin. Kalau ada yang pernah tengok cerita "Supernatural" cross over dengan "Scooby Doo" (ya, memang ada... sila Google) dalam satu adegan tu Castiel membawa beberapa biji buah manggis dalam bungkusan kertas sambil mengatakan dia telah bertarung dengan beberapa jin serta dikahwinkan dengan ratu jin semata-mata nak mendapatkan buah Pokok Abadi di Syria. Bunyinya seolah-olah buah manggis ni buah yang sangat mistik dan menggerunkan.


Agaknya jika orang putih ni tengok buah cempedak dan buah durian kita dijadikan pemanis mulut mesti mereka lagi gerun. Oleh itu mari kita gerunkan lagi dengan review pemanis mulut terbaru dari McDonald's dan Tealive berikut:

CEMPEDAK MCFLURRY
Rating: ★★★★★

Rasa dan bau cempedak memang kuat. Tapi sedap. Tahap kemanisan sama seperti Durian McFlurry, jadi tak berapa digalakkan bagi penghidap sakit kencing manis. Korek ke dalam lagi boleh jumpa serat cempedak. Aroma serta warna cempedak yang jelas dan padat seperti LRT yang penuh di waktu balik kerja. Tolong jangan makan aiskrim ini di dalam kereta atau LRT. Pening nak jelaskan kepada kawan orang putih nama cempedak dalam Bahasa Inggeris sebab dia ingat ini McFlurry Nangka. Apa-apa pun memang rasa nak ulang lagi makan Cempedak McFlurry ni sebab sedap. 

DURIANG SMOOTHIE
Rating: ★★★☆☆

Ada dua kemungkinan pemanis mulut ini dinamakan Duriang Smoothie - pertama, ia berdasarkan sebutan durian dalam loghat Terengganu, dan kedua, ia merupakan gabungan perkataan 'durian' dan 'riang ria'. Disebabkan stok durian dah pupus di kebanyakan cawangan Tealive serata Kuala Lumpur, penulis bernasib baik dapat merasa Duriang Smoothie di Tealive cawangan Avenue K demi review yang tak ditaja ini. Harganya RM10.90, tapi boleh beli pada harga RM5.90 jika membayar melalui aplikasi Touch n Go e-Wallet. Jimat kan?

Bau durian memang kuat jadi siapa nak minum smoothie ini harus pastikan anda tidak ada temujanji dengan sesiapa selepas itu. Melainkan anda nak merosakkan temujanji dengan orang yang tak disukai. Cuma apa yang rasa tak berapa riang ialah terlalu banyak krimer dan perisa vanilla dicampurkan sehingga rasa durian tenggelam. Ia lebih seperti meminum susu kocak berperisa vanilla dengan esen durian, walaupun memang nampak isi durian beku telah dicampurkan ke dalam gelas waktu smoothie disediakan. Tetapi amaun isi durian beku tersebut amat sedikit jika dibandingkan dengan amaun serat Cempedak McFlurry. Tak tahulah sekiranya memang sukatannya begitu atau staff Tealive tersebut yang kedekut. Disebabkan lebih rasa krimer yang lemak berkrim daripada rasa durian, memang cepat muak meminum smoothie ini. 

Tentang YunFila

Seekor kentang gemuk bertopi. Meminati kucing, teknologi, steampunk, membeli-belah secara online, melayari YouTube serta mengumpul topi. Juga memiliki obsesi terhadap kentang pink pada tahap yang membimbangkan.

0 Komen:

Dikuasakan oleh Blogger.