Baru
Tunggu kejap ya... nak cari entri terbaru

INFO

Cara Menghormati Jalur Gemilang


Dalam kita meraikan sambutan hari kemerdekaan yang bakal menjelang tidak lama lagi, ada beberapa perkara yang perlu kita tahu ‘batasan’ dalam penggunaan bendera Jalur Gemilang. Ini sangat-sangat penting kerana sebagai rakyat Malaysia kita perlu hormati bendera Jalur Gemilang kita kerana ia melambangkan kebanggaan negara. Pastikan bendera Jalur Gemilang kita dipasang atau dikibar dengan betul dan bukan sembarangan.

Berikut disenaraikan 20 perkara tentang rahsia bendera negara yang mungkin ramai tidak tahu.

1. Jika bendera hendak dipasang pada tiang besar seperti pada bangunan pejabat atau sekolah, ia hendaklah dinaikkan menggunakan tali pada pagi hari dan diturunkan pada petang hari. Lazimnya di Malaysia bendera dinaikkan pada jam 7 pagi dan diturunkan sebelum jam 7 malam.

2. Sewaktu dinaik dan diturunkan, bendera tidak boleh dibiarkan meleret ke tanah. Sama ada ia ditatang atau diselempangkan di bahu.

3. Orang yang menaik dan menurunkan bendera hendaklah berpakaian kemas. Tidak boleh pakai pakaian yang mencolok mata, atau pakai kain sarung yang disentengkan ke paras lutut, tidak berbaju, tidak berkasut dan sebagainya. Jangan hisap rokok atau vape semasa menaikkan bendera.

4. Bendera hendaklah dinaikkan perlahan-lahan. Diturunkan pun perlahan-lahan. Jangan tergesa-gesa.

5. Orang yang berada di sekitar tiang tersebut hendaklah berdiri sewaktu bendera dinaikkan.

6. Jika ada kematian pembesar dan bendera hendak dikibarkan separuh tiang, maka ia hendaklah dinaikkan hingga ke puncak dulu, kemudian diturunkan perlahan-lahan ke separuh tiang, tanda berkabung.

7. Bendera tidak boleh dikibarkan dalam gelap. Jika mahu dikibarkan pada malam hari, maka bendera perlu disuluh dengan 'spot light'.

8. Bendera tidak sesekali boleh dibiarkan mencecah tanah. Ini tanda tidak hormat kepada negara.

9. Bendera tidak boleh dibuat kain kelubung untuk menutup kepala pada hari panas.

10. Bendera tidak sama sekali boleh dibuat lapik duduk. Oleh itu paling tidak sesuai jika bendera dijadikan seluar.

11. Bolehkah bendera dibuat baju? Boleh dengan syarat memotong kain lain yang mempunyai warna bendera. Tidak sepatutnya bendera dipotong untuk dibuat baju. Memotong bendera bererti tidak menghormati negara.

12. Bendera tidak sama sekali boleh dibuat stoking atau kasut atau selipar. Kita lihat banyak juga selipar yang dicetak bendera Union Jack. Itu adalah perbuatan tidak hormat pada bendera. Jangan ikut perangai mereka.

13. Jika bendera hendak dipasang pada kereta, pastikan ia dipasang teguh. Banyak yang tercabut dan jatuh ke jalan sehingga dilenyek kenderaan lain. Ini tidak menghormati bendera. Jika dipasang pada kereta pastikan ia diikat atau dilekatkan dengan kuat.

14. Jika hendak dipasang pada lori atau bas, pastikan tidak terlalu besar hingga mengganggu pengguna jalan raya lain. Kita suka pasang yang besar-besar. Apabila lori berhenti di lampu merah, benderanya menutup muka penunggang motosikal. Ini sungguh tidak bertimbang rasa.

15. Bendera boleh digunakan untuk selimut pemenang sukan tanda kejayaan negara, tapi awas... jangan sampai meleret ke tanah.

16. Bendera boleh digunakan untuk menutup keranda perajurit, tetapi jangan bawa masuk ke dalam liang kubur.

17. Jangan pijak bendera negara sendiri atau bendera negara orang lain.

18. Bendera yang telah lusuh warnanya, atau telah koyak akibat dikibarkan terlalu lama hendaklah dimusnahkan. Cara musnahkan bendera ialah dengan dibakar. Jangan buang bendera lama di tong sampah atau tong kitar semula. Jangan kibarkan bendera yang lusuh atau yang sudah koyak atau tinggal separuh.

19. Bendera yang masih cantik dan sempurna jangan dibakar. Meskipun bendera itu kita beli dengan wang kita sendiri. Membakar bendera adalah tanda tidak hormat kepada negara. Ingat yang kita beli hanya kain, yang kita bakar adalah simbol maruah negara.

20. Bolehkah bendera digantung terbalik? Boleh. Itu tandanya negara berada dalam keadaan bahaya (distress). Jadi jika negara tidak dalam keadaan bahaya, jangan diterbalikkan bendera.

Dalam perang, bendera juga dipanggil panji. Jika tangan kanan yang memegang putus dipenggal, wajib disambut dengan tangan kiri. Jika kedua-dua tangan turut dipenggal, wajib digigit dengan gigi. Untuk membiarkan panji perang jatuh ke tanah TIDAK SAMA SEKALI.

Demikian tingginya martabat sebuah bendera negara atau bendera perjuangan kita.


Tentang YunFila

Seekor kentang gemuk bertopi. Meminati kucing, teknologi, steampunk, membeli-belah secara online, melayari YouTube serta mengumpul topi. Juga memiliki obsesi terhadap kentang pink pada tahap yang membimbangkan.

0 Komen:

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.