Baru
Tunggu kejap ya... nak cari entri terbaru

INFO

Sejarah Vaksin


Pada tahun 1796 seorang doktor dari kawasan desa Berkeley, England, telah memperkenalkan suntikan vaksin pertama dalam sejarah perubatan moden. Edward Jenner mengambil sampel virus cacar lembu (cowpox) dari seorang gadis pemerah susu bernama Sarah Nelmes lalu menyuntik kuman tersebut ke lengan anak tukang kebunnya, iaitu seorang kanak-kanak lelaki bernama James Phipps, yang berusia 8 tahun. James kemudiannya mengalami demam cacar tetapi segera sembuh selepas itu. Tidak lama kemudian Edward menyuntik kuman cacar variola (smallpox) ke dalam tubuh James, namun James tidak mengalami demam. Seperti dijangkakan Edward, James tidak mengalami demam cacar smallpox kerana telah menerima virus cowpox sebelumnya. Penemuan ini merupakan sesuatu yang menaikkan, dan pada masa yang sama, menjatuhkan nama Edward Jenner di mata masyarakat.


Asal-Usul Vaksin

Penyakit cacar variola atau smallpox merupakan sejenis penyakit berjangkit bawaan virus yang cukup berbahaya. Jika seorang kanak-kanak dijangkiti cacar, kemungkinan 80%  kanak-kanak tersebut akan meninggal dunia dalam tempoh dua minggu sahaja dalam penderitaan. Sejak vaksin terhadap cacar ditemui oleh saintis terkenal Edward Jenner pada tahun 1796, ia telah dipraktikkan di seluruh dunia sehinggalah pada tahun 1979, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan bahawa penyakit cacar telah pupus secara total.

Edward mendapat ilham untuk penemuannya apabila mendapat tahu golongan yang bekerja sebagai pemerah susu lembu tidak pernah dijangkiti virus smallpox selepas mereka dijangkiti virus cowpox. Cowpox ialah variasi cacar yang menjangkiti lembu. Jika manusia terkena jangkitan cowpox, mereka akan mengalami kudis di tangan sahaja, berbeza dengan smallpox yang boleh membawa maut.

Edward meneruskan eksperimennya dengan 23 subjek ujikaji lain, termasuklah terhadap anak kandungnya sendiri. Malangnya setelah penemuannya dilaporkan, Edward menghadapi tekanan dari masyarakat yang menuduhnya gila, hilang akal dan bodoh kerana eksperimennya yang berbahaya serta kesanggupannya menjadikan anaknya sebagai bahan ujikaji. Para penolak vaksin di kalangan masyarakat di zaman itu mencemuh hasil usaha Edward dan mereka menolak kaedah pemvaksinan kerana berasa tidak senang hati dengan idea kemasukan bendasing dari haiwan ke dalam sistem tubuh manusia, ada yang menentang konsep tersebut di atas alasan agama. Walaupun kaedah pemvaksinan Edward mencetus kontroversi di kalangan pengamal perubatan dan ahli gereja, laporan Edward berjaya diterbitkan ke dalam 6 bahasa dan seramai 100,000 orang menerima vaksin di seluruh Eropah pada waktu itu.


Legasi Pemvaksinan Diteruskan

Sebenarnya ilmu imunologi melalui kaedah vaksin bukanlah sesuatu yang baru bagi manusia. Sejak zaman primitif lagi manusia telah mengamalkan konsep vaksin bagi menghindari penyakit. Sejahrawan Yunani kuno, Thyucides, pada tahun 429 SM mengamati bahawa rakyat Athens yang pernah dijangkiti wabak cacar lalu sembuh tidak akan mengalami penyakit itu lagi. Malah, di China dan India juga terdapat catatan sejarah tentang kaedah vaksin yang dipraktikkan pada kurun ke-15 dan ke-16. Maharaja K'ang Hsi merupakan antara manusia terawal yang terselamat daripada penyakit cacar hasil daripada vaksin, lalu dia memastikan kesemua anak-anaknya juga diberikan vaksin untuk menghindari penyakit. 

Pengetahuan tentang ilmu imunisasi ini berkembang ke Turki pada kurun ke-17 apabila para wanita di sana dikatakan amat jelita kerana "telah diwajibkan mendapat cacar semasa kecil agar wajah mereka tidak rosak ketika dewasa". Malangnya tiada bukti kukuh tentang hal ini. Pengetahuan vaksin hanya mula berleluasa di dunia Barat semenjak Edward Jenner menjalankan ujikajinya di kurun ke-18. Selepas Edward, Louis Pasteur mengembangkan teknik pemvaksinan dengan menemui vaksin bagi penyakit anjing gila dan anthrax. Ini diikuti oleh Maurice Hilleman yang menemui vaksin bagi penyakit campak, beguk, hepatitis A, hepatitis B, cacar ayam, meningitis, radang paru-paru, dan H. influenza pada kurun ke-20.


Tentangan Terhadap Vaksin

Pada tahun 1853 England memperkenalkan Akta Pemvaksinan yang mewajibkan pemberian vaksin kepada bayi berusia 3 bulan ke atas, serta hukuman ke atas sesiapa yang enggan melaksanakan pemvaksinan. Akibat daripada undang-undang tersebut, terdapat sesetengah rakyat England yang merasakan hak mereka sebagai ibu bapa terhadap anak-anak telah dicabul lalu mereka menubuhkan Liga Anti-Vaksin.

Ideologi penolakan vaksin pada kurun ke-19 dipelopori oleh Lora C. Little, seorang wanita dari Amerika Syarikat yang telah kehilangan satu-satunya anak lelakinya dan menuduh vaksin sebagai penyebab kematian anaknya pada tahun . Menurut Hospital Kanak-Kanak Philadelphia, anak Lora telah lama menghidap demam dan penyakit difteria sebelum diberikan vaksin, namun Lora enggan mempercayai laporan hospital tersebut. Semenjak dari itu, Lora menerbitkan akhbar tempatan yang mengutuk perubatan moden sambil menjunjung perubatan tradisional. 

Gerakan anti-vaksin bangkit semula pada tahun 1974 apabila Hospital Great Ormond Street di London telah melaporkan bahawa 36 orang kanak-kanak mengalami masalah saraf selepas diberikan vaksin untuk membasmi penyakit difteria, tetanus dan batuk kokol. Keselamatan vaksin dipertikaikan di negara-negara Barat pada waktu itu sehingga Sweden mengambil keputusan untuk mengharamkan vaksin bagi batuk kokol sehingga tahun 1996. Akibatnya 60% kanak-kanak di Sweden mengalami penyakit batuk kokol sebelum mencapai usia 10 tahun sepanjang masa tersebut.

Pada tahun 1998 thimerosal ditemui dalam ramuan vaksin. Thimerosal berfungsi sebagai bahan pengawet dalam vaksin dan ia mengandungi raksa. Penemuan ini mendorong golongan anti-vaksin  untuk meneruskan perjuangan mereka menentang pemvaksinan sambil mengatakan bahawa vaksin juga boleh mengakibatkan gangguan perkembangan otak kanak-kanak, sejajar dengan dakwaan oleh selebriti Amerika Jenny McCarthy pada 2007 bahawa anaknya menghidapi autisme akibat vaksin. Pada tahun 2011 kaitan antara vaksin dan autisme telah dilaporkan tidak benar, namun persepsi itu masih dipegang oleh golongan anti-vaksin hingga sekarang sebagai salah satu AEFI (adverse events following immunization).


Keberkesanan Vaksin

Vaksin dikenali dalam sejarah sebagai suatu cara yang berkesan untuk melawan dan membasmi penyakit berjangkit, namun keberkesanannya ada juga batasnya. Perlindungan kadangkalanya gagal kerana sistem imun badan tidak dapat bertindak balas dengan secukupnya mahupun secara langsung. Tindak balas yang kurang biasanya berlaku daripada faktor-faktor kesihatan yang wujud seperti diabetes, penggunaan steroid, HIV ataupun usia. Vaksin boleh juga gagal berkesan disebabkan faktor genetik seperti tiadanya strain sel B yang boleh menghasilkan antibodi yang sesuai bertindak balas serta bergabung dengan antigen yang menghasilkan patogen.

Vaksin yang telah tamat tamat tempoh tidak harus diberikan kerana ianya tidak lagi mempunyai keberkesanan. Kes di mana vaksin tamat tempoh diberikan pernah berlaku di Jingsu, China, pada 12 Januari lalu apabila 13 pegawai kesihatan didapati telah memberikan vaksin polio tamat tempoh kepada 145 orang kanak-kanak.

Tentang YunFila

Seekor kentang gemuk bertopi. Meminati kucing, teknologi, steampunk, membeli-belah secara online, melayari YouTube serta mengumpul topi. Juga memiliki obsesi terhadap kentang pink pada tahap yang membimbangkan.

0 Komen:

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.