Page Menu

Sebuah blog caca-marba yang hidup segak mati tak mau.
Blogger dia pun sekejap update sekejap jadi hantu.

Total Pageviews

Dibina oleh Ayuni Rafilah © 2014-2023 Hak Cipta Terpelihara
Dikuasakan oleh Blogger.

Kisah Nabi Yunus Dan Ikan Paus


Nabi Yunus seorang nabi yang telah diutuskan oleh Allah untuk berdakwah kepada penduduk di sebuah tempat bernama "Ninawa" (kini dikenali sebagai Nineveh di Iraq) yang bukan kaumnya dan tidak pula ada ikatan darah dengan mereka. Kaum Ninawa adalah salah satu kaum yang sangat keras kepala, penyembah berhala dan suka melakukan kejahatan. Nabi Yunus membawa ajaran tauhid dan iman kepada kaum Ninawa, mengajak mereka agar menyembah kepada Allah yang telah menciptakan mereka dan menciptakan alam semesta, meninggalkan persembahan mereka kepada berhala-berhala yang mereka buat sendiri dari batu. Nabi Yunus telah berulang-ulang kali memperingatkan kaum Ninawa. Namun mereka tetap tidak mahu berubah dengan alasan bahawa Nabi Yunus bukan berasal dari kaum mereka.  


Pada awalnya ajaran-ajaran Nabi Yunus tersebut sangat baru dan belum pernah di dengar oleh kaum Ninawa. Oleh sebab itu, kaum Ninawa tidak dapat menerima ajarannya untuk menggantikan ajaran dan kepercayaan warisan nenek moyang mereka. Tambahan lagi, Nabi Yunus merupakan orang asing yang bukan dari keturunan mereka. Ajaran-ajaran Nabi Yunus tidak sedikit pun mengusik hati kaum Ninawa. Keadaan ini membuatkan Nabi Yunus menjadi kecewa lalu dia berputus asa. Dia merasakan kaum Ninawa tak makan ajaran langsung dan tidak akan dapat beriman kepada Allah SWT.

Nabi Yunus membuat keputusan untuk meninggalkan kaum Ninawa lalu membawa diri. Akibat memberhentikan dakwah yang ditugaskan kepadanya oleh Allah dengan perasaan marah dan kecewa, keadaan Nabi Yunus setelah pergi dari kaum Ninawa menjadi tidak menentu. Nabi Yunus pun mengembara tanpa tujuan dan lama-kelamaan dia rasa bersalah dengan tindakannya. 


Akhirnya Nabi Yunus tiba di tepi pantai dan melihat sebuah kapal yang akan menyeberangi laut. Dia menumpang kapal tersebut, namun ketika kapal itu sedang berlayar tiba-tiba terjadilah ribut taufan yang sangat hebat di tengah lautan. Kapal yang dinaiki Nabi Yunus bergoncang, dan para penumpang sepakat untuk mengurangi beban dengan membuang barang-barang mereka. Selepas barang dibuang, keadaan kapal masih lagi tidak aman malah terus berada dalam keadaan terumbang-ambing seperti ingin pecah. Akhirnya mereka membuat keputusan untuk membuang salah satu di antara penumpang kapal ke dalam laut. Mereka membuat cabutan undi dan undian pertama jatuh pada Nabi Yunus. Undian kembali diulang hingga pada undian yang ketiga nama yang keluar tetap juga adalah nama Nabi Yunus.


Nabi Yunus menyedari bahawa ia merupakan kehendak Allah ke atas dirinya sebagai hukuman ke atas sikapnya yang berputus asa dalam berdakwah kepada kaum Ninawa. Maka Nabi Yunus pun rela menjatuhkan dirinya ke laut. Allah mewahyukan kepada ikan Nun (sejenis ikan paus) untuk menelan Nabi Yunus. Di dalam perut ikan Nun, Nabi Yunus bertaubat dan meminta ampun kepada Allah dan pertolongan-Nya. Dia bertasbih selama 40 hari di dalam perut ikan Nun.


Sepeninggalan Nabi Yunus, kaum Ninawa beriman dan menyesali perbuatan mereka terhadap Nabi Yunus. Mereka mula memikirkan kebenaran kata-kata dakwah Nabi Yunus lalu menerima hidayah Allah walaupun agak lewat setelah pemergian Nabi Yunus. Kaum Ninawa kemudian mencari Nabi Yunus untuk meminta pengampunan Allah atas dosa mereka. Allah SWT Yang Maha Pemaaf pun mengampuni mereka, dan mereka beriman kepada Allah. Para kaum Ninawa tetap mencari Nabi Yunus dan mereka menaruh harapan bahawa Nabi Yunus akan kembali untuk mengajar mereka agama tauhid.

Genap 40 hari, Allah mendengar doa Nabi Yunus lalu memerintahkan ikan Nun untuk mendamparkan Nabi Yunus di tepi pantai. Allah Yang Maha Penyayang menumbuhkan pohon labu, agar Nabi Yunus yang kurus serta lemah dapat memakan buahnya agar memiliki tenaga kembali. Setelah Nabi Yunus pulih, Allah SWT memerintahkan kembali dia ke kaum Ninawa. 


Setelah kembali Nabi Yunus sangat terkejut apabila melihat perubahan penduduk Ninawa yang telah beriman kepada Allah. Kemudian Nabi Yunus mengajar kaum Ninawa kitab tauhid dan menyempurnakan iman mereka.

Allah SWT berfirman, "Dan Kami utus dia kepada seratus ribu orang atau lebih. Lalu mereka beriman, kerana itu Kami anugerahkan kenikmatan hidup kepada mereka hingga waktu yang tertentu". (QS As-Saffat ayat 147-148).

Peristiwa ini juga memberikan gambaran supaya pendakwah tidak segera meninggalkan tugas dan tanggungjawab yang sedang dipikul walaupun berdepan pelbagai ragam dan kerenah. Ketetapan terhadap perintah Allah SWT untuk bersabar menjadi pengajaran penting kepada pendakwah bagi menghadapinya. Jadilah pendakwah yang sabar di dalam apa juga keadaan. Pendakwah juga diseru agar berdakwah kepada orang ramai dengan cara yang baik (sopan dan lemah-lembut).

2 ulasan:

  1. sangat mulia dan istiqomah nabii yunus bukan semua org akan bertahan dengan dugaan sehebat ni

    BalasPadam
  2. 40 hari..rasa penyesalan Nabi Nuh.Moga kita juga sentiasa amalkan doa yang dibaca oleh Nabi Nuh ketika berada dalam perut ikan Nun.Sesuatu yang terjadi mewah hikmah..untuk dijadikan pengajaran umat akhir zaman.

    BalasPadam