Baru
Tunggu kejap ya... nak cari entri terbaru

HIBURAN

Jatuh Cinta Dengan Syaitan Dan Malaikat Dalam Good Omens


Antara kesemua drama BBC yang Ayuni pernah tonton dan ikuti, Good Omens merupakan satu-satunya drama bersiri yang Ayuni paling sukai dan jatuh cinta sehingga kini. Mana tak jatuh cinta, drama ini merupakan adaptasi novel berjudul sama yang ditulis oleh dua penulis Inggeris kegemaran Ayuni iaitu Neil Gaiman dan mendiang Terry Pratchett. 

Tambahan lagi Good Omens menampilkan gandingan pelakon British terkenal David Tennant (Doctor Who) dan Michael Sheen (Tron: Legacy). Satu lagi bonus ialah setiap episod dalam drama ini memainkan lagu-lagu kumpulan Queen yang juga merupakan kumpulan rock kegemaran Ayuni... memang gabungan yang sangat-sangat hebat!

Comel sangat dua-dua orang ni.

Tetapi paling tak boleh move on tentang drama pengembaraan komedi ini ialah hubungan akrab antara watak syaitan dan malaikat yang cuba menghentikan dunia daripada kiamat di sepanjang jalan cerita ni... David Tennant dan Michael Sheen memang pasangan pelakon yang sangat serasi dan setiap babak yang ada mereka berdua nampak comel sangat-sangat. Sampai dah berkali-kali Ayuni ulang tengok kesemua 6 episod drama ni sebab tak puas tengok babak-babak yang mengandungi interaksi lucu antara mereka berdua.

Sahabat yang baik akan menaiki kereta yang dipandu anda walaupun dia tahu anda memandu macam syaitan.

Good Omens mengisahkan tentang si syaitan Crowley (David Tennant) dan si malaikat Aziraphale (Michael Sheen) yang telah berada di Bumi selama 6000 tahun untuk menjalankan tugas mereka - Crowley ditugaskan untuk menghasut manusia manakala Aziraphale kerjanya menggerakkan mana-mana takdir yang telah ditentukan oleh Tuhan ke atas manusia. Demi memudahkan kerja mereka, Crowley dan Aziraphale bekerjasama untuk saling membahagikan kerja di Bumi tanpa pengetahuan orang-orang atasan mereka di Syurga dan Neraka. Bak kata Crowley, tiada sesiapa di bahagian atasan akan semak cara mereka asalkan segala hasil kertas kerja lengkap dihantar.

Sahabat yang baik akan benarkan anda berteduh daripada hujan di bawah sayapnya.

Pada suatu malam Crowley ditugaskan oleh Iblis untuk menghantar seorang bayi ke sebuah hospital biara untuk ditukarkan dengan anak seorang duta dari Amerika Syarikat. Bayi tersebut merupakan Dajjal yang akan membawa dunia ke akhir zaman. 

Disebabkan sudah selesa dengan kehidupan di Bumi dan tidak ingin dunia lenyap, Crowley cuba meyakinkan Aziraphale berpakat dengan dia untuk menghalang kiamat melalui satu rancangan rahsia. Dalam rancangan ini Crowley dan Aziraphale akan saling berebut menarik Dajjal ke arah kebaikan serta kejahatan agar dia membesar sebagai manusia yang normal. 

Jom halang kiamat sama-sama, kata Crowley kepada Aziraphale sebelum mereka jadi mabuk.

Setelah 11 tahun berlalu dan tinggal 6 hari sebelum dunia kiamat, Crowley dan Aziraphale baru tersedar bahawa anak duta Amerika yang mereka awasi selama ini bukanlah Dajjal sebenarnya. Rupa-rupanya biarawati yang menguruskan pertukaran di sana tersilap tukar bayi lalu menyerahkan Dajjal sebenar kepada sepasang suami isteri Inggeris biasa. Episod berikutnya mengisahkan Crowley dan Aziraphale mengejar masa untuk mencari budak yang merupakan Dajjal sebenar demi menghalang peperangan daripada tercetus antara Syurga dan Neraka. 

Sambil merancang untuk menghalang kiamat sambil berpakat menikmati aiskrim yang padan dengan warna rambut masing-masing.

Di sepanjang pengembaraan Crowley dan Aziraphale, mereka dibantu dan disaingi oleh beberapa manusia lain seperti Sergeant Shadwell si pemburu ahli sihir, jiran Sergeant Shadwell iaitu Madam Tracy, Anathema Device seorang gadis ahli sihir dari Amerika, Newton Pulsifer seorang pemuda yang ingin menjadi jurutera komputer tetapi selalu merosakkan mana-mana komputer yang disentuhnya, serta sekumpulan kanak-kanak yang diketuai oleh seorang budak lelaki bernama Adam Young.

 Anathema Device dan Newton Pulsifer antara manusia yang juga sedang mencari Dajjal selain Crowley dan Aziraphale.

Sesiapa yang tengok cerita ni pasti tertawan dengan pemandangan klasik kota London dan kawasan kampung Inggeris Tadfield di England yang menjadi lokasi utama jalan cerita. Di samping itu watak Crowley dan Aziraphale sangat hidup dan memang tak menghampakan bagi sesiapa yang pernah baca novel Good Omens. Crowley nampak bergaya dengan cermin mata hitamnya yang dipakai tak kira siang atau malam, seronok pula tengok fesyen rambut merahnya yang berubah-ubah ikut zaman. Crowley ni nampak saja muka macam jahat tetapi sebenarnya hatinya ada taman, terutama sekali apa-apa yang berkaitan tentang persahabatannya dengan Aziraphale.

Sahabat yang baik akan menemani anda menonton pementasan Shakespeare walaupun ianya membosankan (di manakah Ayuni boleh mencari sahabat sebegini?)

Si Aziraphale pula nampak innocent dan comel macam kanak-kanak riang. Hobinya suka makan dan mengumpul buku. Disebabkan dia gemar sangat dengan buku, Aziraphale membuka sebuah kedai buku antik di kota London. Paling suka tengok mata Aziraphale yang cantik tu berkilau atau menjeling malu-malu kucing ke arah Crowley apabila Crowley buat sesuatu yang menggembirakan hatinya.

Sahabat yang baik akan menggunakan kuasa ghaibnya untuk mendapatkan tempat makan tengahari berdua di Hotel Ritz tanpa sesiapa perlu mengeluarkan belanja.

Segala tentang drama ini amat sempurna kecuali tiga perkara: 1) suara watak Death yang dimainkan oleh Brian Cox tak memberi kesan mendalam seperti mendiang Christopher Lee pernah buat untuk Death dalam siri animasi Discworld (juga adaptasi dari novel Terry Pratchett); 2) ada adegan yang tak sesuai untuk tontonan umum dalam satu episod dan rasanya ini idea Neil Gaiman yang memang dikenali suka meletak elemen 18SX dalam kebanyakan novelnya seperti Amerian Gods dan Stardust; dan 3) walaupun Benedit Cumberbatch (Doctor Strange) seorang pelakon yang hebat hingga menjadi terkenal di Hollywood, namun bila masuk bab lakonan alih suara dia sebagai Iblis sangatlah teruk dan tak ada emosi langsung dalam drama ini selepas filem The Grinch.

Siri Good Omens terdiri daripada 6 episod dan boleh ditonton melalui Amazon Prime Videos.

Tentang Ayuni Rafilah

Seekor kentang gemuk bertopi. Meminati kucing, teknologi, steampunk, membeli-belah secara online, melayari YouTube serta mengumpul topi. Juga memiliki obsesi terhadap kentang pink pada tahap yang membimbangkan.

0 Komen:

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.