Baru
Tunggu kejap ya... nak cari entri terbaru

PERSONAL

Ingatkan Padang MPK Saja Ada, Rupa-Rupanya Kota SAS Pun Ada!


Semalam Ayuni dah rancang nak pergi berbuka puasa di Padang MPK Kuantan dengan kawan sempena hari-hari terakhir berada di Kuantan sebelum dipindahkan tempat kerja. Janji nak keluar bersama pada jam 6 petang dan ambil Grab ke Pusat Bandar. Malangnya apabila buka aplikasi Grab, tengok-tengok tambang nak pergi ke sana waktu tu dah dinaikkan 100% kali ganda daripada tambang biasa. Terus kedua-dua orang termenung di depan pintu dengan penuh rasa sedih sebab tak dapat nak pergi berbuka puasa seperti dirancang.

Tiba-tiba kawan Ayuni teringat sesuatu. "Eh, kalau tak silap depan pejabat galeri Kota SAS tu ada bazaar dan padang mini untuk orang ramai berbuka puasa. Jom kita ke sana!"

Jadi sampailah kami di Kota SAS lalu berjalan-jalan cari makan untuk berbuka di sana. Tak sangka dah ada 7-Eleven, Mr. DIY dan TMG Mart dibuka sekali di kawasan ni. Semasa Ayuni duduk sementara di sini dulu kawasan taman perumahan Kota SAS ni lengang dan takat nak beli gula pun terpaksa bawa kereta mencari kedai runcit yang berbatu-batu jauhnya.


Macam-macam pilihan ada di bazaar Ramadhan Kota SAS ni, sampai bukan saja meja dan khemah dibuka malah food truck pun ada menjual juadah berbuka. Selepas memilih makanan yang berkenan di hati, Ayuni dan kawan Ayuni pun menuju ke arah padang mini yang terletak betul-betul di sebelah lorong bazaar Ramadhan. Rupa-rupanya ada servis penyediaan tikar untuk dibentangkan atas rumput padang. Cuma bagi nama dan nombor telefon lepas tu ambil tikar dari orang yang jaga kaunter tikar tu, dia bagi buah kurma sekali.

Alhamdulillah, walaupun tak dapat berbuka puasa di Padang MPK seperti dirancang namun termakbul juga harapan nak berbuka puasa gaya piknik yang santai atas padang di Kota SAS ni. Tak sangka dapat pengalaman berbuka puasa stail orang Kuantan di sini. 


Sambil melihat ke arah tapak-tapak peniaga yang tersusun di sepanjang lorong itu, tiba-tiba sayu pula rasa hati bila mengenangkan kampung asal di Kuala Lumpur dah tak dapat merasa suasana Ramadhan seperti dulu-dulu, terutama sekali sejak bazaar Ramadhan di Jalan TAR kini dah tak wujud.

Walaupun tak sama luas seperti Padang MPK di Pusat Bandar, namun suasana di padang mini Kota SAS lebih selesa dan tenang berbanding Padang MPK. Tak ramai orang berkunjung ke sini kecuali penduduk setempat. Pemandangannya pun cantik dan bersih, siap ada pokok-pokok dihiasi lampu dan pelita sumbu di tepi padang. Nak buang sampah pun mudah sebab banyak tong sampah disediakan di situ. Cuma kalau nak basuh tangan selepas makan kena bawa air botol minuman atau tisu basah sendiri.

Nak cuba pengalaman berbuka puasa stail Kuantan yang santai dan tenang, jomlah ke sini! Bazaar Ramadhan Kota SAS berlangsung dari 8 Mei hingga 2 Jun 2019.


Tentang YunFila

Seekor kentang gemuk bertopi. Meminati kucing, teknologi, steampunk, membeli-belah secara online, melayari YouTube serta mengumpul topi. Juga memiliki obsesi terhadap kentang pink pada tahap yang membimbangkan.

1 Komen:

ray berkata...

tak pernah skali pun berbuka kat padang MPK sbb selalunya sesak kat stu.

Dikuasakan oleh Blogger.