Baru
Tunggu kejap ya... nak cari entri terbaru

INFO

Apa Nak Buat Kalau Kena Scam Dalam Platform Membeli-Belah Online?


Entri ini merupakan sambungan kepada entri lalu yang bertajuk Penipuan Dalam Lazada - Scam Tasbih Makin Berleluasa.

Disebabkan ramai mangsa scam tasbih mengadu tentang penipuan yang dialami mereka dan ada yang tidak dapat kembali wang mereka dari Lazada, Ayuni telah mengambil kesempatan untuk mencari info tentang langkah penyelesaian yang mangsa scam boleh ambil semasa menghadiri event Franchise International Malaysia (FIM) 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) yang diadakan di Kuala Lumpur pada 5-7 April lalu.


Nasib baik ada reruai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang dibuka di FIM 2019. Jadi Ayuni pun bertanya kepada wakil KPDNHEP di situ apa yang pengguna boleh lakukan sekiranya mereka kena tipu oleh scammer semasa membeli-belah dalam platform online seperti Lazada, Shopee dan sebagainya. Menurutnya, pengguna boleh amalkan langkah berjaga-jaga berikut untuk mengelakkan dari kena tipu:


SEMASA HENDAK MEMBELI BARANG
  1. Perhatikan dulu harga barang yang hendak dibeli. Adakah ia mengikut harga pasaran semasa atau terlalu murah sehingga bunyinya seperti tak lojik walaupun ia bukan barang second-hand? Jika harga barang kelihatan meragukan, contohnya basikal daripada harga RM600 turun jadi RM60, sila abaikan laman penjual online tersebut.
  2. Lihat review tentang produk dan servis penjual oleh para pembeli sebelum itu. Jika review dan rating tak baik, jangan beli barang dengan penjual tersebut.
  3. Tanya penjual jika mereka ada membuat COD (cash on delivery). Lebih selamat sekiranya anda dapat memeriksa dulu barang semasa ia sampai sebelum membayar. Namun ini agak sukar bagi penjual di Shopee kerana ada di antara mereka yang berada di bawah Poslaju Shipping Program tak diberikan kemudahan untuk membuat COD.

SEMASA HENDAK MENERIMA BARANG
  1. Pastikan anda dapat jejaki proses penghantaran barang yang dipesan.
  2. Perhatikan dulu saiz bungkusan barang yang dihantar oleh posmen sebelum menerimanya, adakah ia sama seperti yang dipesan? Contohnya jika anda memesan almari, pastikan apa yang dihantar itu memang bersaiz almari dan bukan saiz kotak mancis. Jangan gelak, ini memang benar-benar pernah berlaku.
  3. Jangan sain bungkusan penerimaan sekiranya nampak meragukan. Maklumkan pada posmen dengan mengatakan barang yang dihantar tak sama dengan barang yang dipesan.
  4. Jangan klik 'barang diterima' dan segera hubungi penjual atau buat aduan kepada perkhidmatan bantuan pelanggan platform membeli-belah.

SETELAH MENERIMA BARANG DAN MENDAPATI ADA PENIPUAN
  1. Sekiranya orang lain menerima barang untuk pihak anda, atau anda terpaksa mengambil barang di pejabat pos, sudah tentu agak sukar hendak memeriksa dahulu barang sebelum menerimanya. Oleh itu nak tak nak terpaksalah berusaha untuk mendapatkan semula wang bayaran dari platform membeli-belah online.
  2. Jangan klik 'barang diterima' dan segera hubungi penjual atau buat aduan kepada perkhidmatan bantuan pelanggan platform membeli-belah. Minta 'refund' balik wang anda.
  3. Hantar salinan maklumat pembelian, gambar barangan yang diterima serta resit pembayaran kepada perkhidmatan bantuan pelanggan platform membeli-belah. Platform membeli-belah akan jalankan siasatan.
  4. Sekiranya pihak platform membeli-belah enggan atau tidak dapat membantu untuk mengembalikan wang bayaran, pergi ke cawangan Tribunal Tuntutan Pengguna terdekat atau buat aduan secara online di https://ttpm.kpdnhep.gov.my
  5. Buka fail dengan bayaran RM5.
  6. Pastikan anda membawa sekali bukti pembayaran/bank statement, dan segala maklumat mengenai penipuan tersebut.
  7. Kes akan dibawa ke mahkamah. Sekiranya didapati bersalah, platform membeli-belah akan di arahkan oleh mahkamah untuk membuat pembayaran balik kepada anda.

TRIBUNAL TUNTUTAN PENGGUNA

Tribunal Tuntutan Pengguna adalah suatu badan bebas yang ditubuhkan melalui Akta Perlindungan Pengguna 1999 - boleh dikatakan sebagai “mahkamah peribadi” atau alternatif kepada makhamah sivil. Cara ini lebih berpatutan dan cepat jika nilai tuntutan anda kurang daripada RM25,000, di mana tidak boleh ada penglibatan peguam dari kedua-dua pihak. Sebaliknya, anda sendiri yang akan membicarakan kes anda di mahkamah dengan bantuan ahli Tribunal.

Tentang YunFila

Seekor kentang gemuk bertopi. Meminati kucing, teknologi, steampunk, membeli-belah secara online, melayari YouTube serta mengumpul topi. Juga memiliki obsesi terhadap kentang pink pada tahap yang membimbangkan.

2 Komen:

  1. alhamdulillah mama tak penah kena lagi scam.. good tips

    BalasPadam
  2. Perkongsian yang baik. Mudah-mudahan dapat membantu mereka yang mengalami masalah apabila membeli barang online.

    BalasPadam

Dikuasakan oleh Blogger.