Baru
Tunggu kejap ya... nak cari entri terbaru

BERITA

Misteri Kematian CEO Cradle Fund Dirungkai Forensiks Sebagai Kes Pembunuhan Oleh Isteri


Pada 14 Jun 2018, sehari sebelum sambutan Aidilfitri, Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan ditemui mati terbakar dalam bilik tidur rumah teres dua tingkat beliau di Mutiara Damansara. Dalam siasatan awal polis percaya bahawa Nazrin terperangkap dalam kebakaran dan berkemungkinan meninggal dunia akibat terhidu asap. Tubuh mangsa turut melecur. Punca nahas kebakaran tersebut disyaki berpunca daripada sebuah telefon bimbit yang terletak di atas katil atau sisi katil di sebelahnya meletup ketika dicas. Insiden itu mengakibatkan ramai pengguna telefon bimbit menjadi berhati-hati dan takut untuk mengecas telefon atas katil dalam bilik tidur. 

Foto tular insiden kebakaran yang meragut nyawa Nazrin Hassan

Namun dua bulan kemudian polis mengklasifikasikan semula kes kematian Nazrin sebagai kes bunuh selepas siasatan bomba mendapati ada kesan petrol di tempat kejadian. Jenazah Allahyarham Nazrin digali semula untuk proses bedah siasat kali kedua di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebelum dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Seksyen 6 Kota Damansara pada 15 Oktober lalu. Kali ini bedah siasat kedua menunjukkan Nazrin mati akibat kecederaan di kepala, bukannya disebabkan “letupan” telefon bimbit. Terdapat kesan hentakan objek keras pada kepala dan muka mangsa. Nazrin dipercayai dibunuh sebelum dibakar.

Kes kini diklasifikasikan sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan berdasarkan laporan bomba dan bedah siasat. Hasil siasatan lanjut membawa kepada penangkapan isteri dan dua orang anak tiri Nazrin atas tuduhan membunuh.

Foto kenangan Nazrin Hassan bersama isteri, Samirah Muzaffar

Hari ini Samirah Muzaffar, 43, dan dua anak lelakinya berusia 15 serta 17 tahun, ditahan di kediaman mereka pada jam 6.45 pagi dan dikemukakan tuduhan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada jam 2 petang. Mengikut kertas pertuduhan, Samira didakwa bersama dua anaknya dan seorang lagi yang masih bebas iaitu warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari. Polis masih memburu Eka yang telah menghilangkan diri dan masih belum dikesan sehingga sekarang.

Samirah Muzaffar merupakan anak kepada ahli sains politik Chandra Muzaffar.

Menurut laporan, dua anak Samirah yang masih lagi bersekolah mempunyai kemahiran dalam sukan memanah. Hasil bedah siasatan mendapati selain daripada kesan melecur di beberapa bahagian di bahagian tubuh dan hentakan di kepala, terdapat juga dua kesan lubang pada bahagian kiri kepala mangsa yang disyaki lubang anak panah.

Cradle Fund adalah syarikat di bawah Kementerian Kewangan yang berperanan membangunkan usahawan teknologi dan ekosistem syarikat permulaan Malaysia. Ia adalah agensi yang memberi pembiayaan awal kepada syarikat-syarikat yang berjaya seperti Grab (sebelum ini MyTeksi) dan syarikat pemula niaga fintech iMoney.


Tentang Ayuni Rafilah

Seekor kentang gemuk bertopi. Meminati kucing, teknologi, steampunk, membeli-belah secara online, melayari YouTube serta mengumpul topi. Juga memiliki obsesi terhadap kentang pink pada tahap yang membimbangkan.

0 Komen:

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.