Baru
Tunggu kejap ya... nak cari entri terbaru

VIRAL

Kes Bunuh Adik Aisyah Mendedahkan Kepincangan Institusi Rumah Tangga


Seluruh negara digemparkan dengan kes pembunuhan seorang kanak-kanak perempuan bernama Nur Aisyah Aleya Abdullah, 3 tahun, yang dipercayai menjadi mangsa kekejaman seorang lelaki bersama isterinya semasa ibu mangsa pergi bekerja di kedai makan. Lebih menyedihkan apabila siasatan polis membongkar keadaan hidup keluarga Aisyah yang terdiri daripada seorang ibu tunggal berbangsa asing - ibunya pula menjalin hubungan sulit dengan suspek yang sudah berkahwin!

Kes Culik Bertukar Menjadi Kes Bunuh

Pada mulanya kes adik Aisyah bermula sebagai kes culik setelah polis menerima laporan daripada ibu kanak-kanak itu bahawa Aisyah telah diculik oleh teman lelakinya di bawah jagaan lelaki tersebut. Media melaporkan ibu Aisyah, Rosmaliah Samo, 31 tahun, yang juga seorang warga Indonesia, pergi ke kediaman teman lelakinya (suspek warganegara Malaysia yang sudah berkahwin dan tinggal bersama isterinya yang bekerja sebagai seorang jururawat) di kuarters Hospital Langkawi untuk mencari anaknya. Suspek membeitahu Rosmaliah bahawa Aisyah telah diserahkan kepada orang lain untuk dijaga. Namun Rosmaliah berasa tidak sedap hati lalu segera membuat laporan polis.

Laporan kes culik Aisyah Aleya serta foto suspek dan isteri

Selepas hampir sebulan, polis menemui bahagian tengkorak kepala mangsa yang memiliki cebisan rambut di dalam hutan di Gunung Raya. Mangsa dipercayai mati dibunuh kira-kira tiga minggu lalu sebelum mayatnya dibuang di kawasan sebuah gaung menuju ke puncak gunung tersebut. Berdasarkan siasatan, suspek lelaki telah menyumbat mayat kanak-kanak itu ke dalam beg pakaian lalu membuang di Gunung Raya, namun lama-kelamaan mayat itu dipercayai dimakan binatang liar di kawasan itu dan hanya tinggal tengkorak kepala.

Polis menemui beberapa titisan darah mangsa di atas tilam toto di rumah suspek. Suspek bersama isterinya telah melarikan diri ke Ampang, Selangor, sebelum berjaya diberkas oleh pihak polis.

Riak wajah pilu anggota polis siasatan yang menemui cebisan tengkorak adik Aisyah di kaki Gunung Raya sangat menyentuh hati dan sukar dilupakan.

Kematian Mangsa Membongkar Sisi Gelap Hubungan Ibu

Rosmaliah mengakui dia menjalinkan hubungan sulit dengan suspek selama empat bulan sebelum dibawa pulang ke rumahnya di kuarters Hospital Langkawi. Suspek, 37 tahun, memperkenalkan Rosmaliah sebagai rakan kepada isterinya, 40 tahun, yang bekerja sebagai jururawat di hospital berkenaan. Sepanjang dia tinggal bersama mereka, hubungan Rosmaliah dengan isteri suspek sangat baik sehingga wanita itu terjumpa balasan mesej WhatsApp mesra antara suspek dengan Rosmaliah.

Walaupun Rosmaliah pernah nampak suspek mendera Aisyah dengan menampar, memukul, mencucuh puntung rokok, mencurah air panas hingga melecur serta menyuapkan cili ke mulut mangsa, Rosmaliah masih meneruskan hubungan sulitnya dengan suspek dan tidak berbuat apa-apa untuk melindungi Aisyah kerana dia sendiri takut dipukul oleh suspek.

Rosmaliah Samo, ibu Aisyah, menunjukkan foto Aisyah dalam telefon bimbitnya

Cerminan Institusi Rumah Tangga Yang Rosak

Ramai netizen yang meluahkan perasaan terkejut dengan laporan media berkenaan hubungan ibu si mangsa dengan suspek dan isterinya serta keadaan persekitaran yang dilalui oleh mangsa sebelum mati dibunuh. Sukar nak dihadamkan jenis hubungan antara mereka semua yang terlibat. 

Antara persoalan yang bermain di fikiran:

1. Keluarga jenis apa yang sesuka hati membenarkan orang luar masuk ke rumah dan tinggal bersama mereka tanpa segan silu? Terutama sekali apabila orang luar itu ialah warga asing yang tidak berapa dikenali.

2. Lelaki jenis apa yang selamba membawa perempuan masuk ke rumah? Sedangkan lelaki bujang membawa masuk wanita tidak dikenali ke rumah pun sudah dikira perbuatan tidak bermoral, apatah lagi lelaki yang sudah berkahwin dan masih ada isteri membuat perkara sebegitu.

3. Perempuan jenis apa yang membiarkan suaminya sendiri bawa balik perempuan lain ke rumah sehingga sanggup membenarkan perempuan itu tinggal sebumbung bersama dan bersekedudukan rapat dengan suaminya? Paling pelik apabila Rosmaliah menceritakan pada media bahawa isteri suspek pernah memberitahunya suspek pernah membawa perempuan lain pulang dan tinggal bersama mereka di kuarter sebelum ini.

4. Ibu jenis apa yang sanggup meninggalkan anak dengan orang yang dia tahu sering memukul anaknya? Sedih bila mengenangkan anak kecil tersebut ditampar beberapa kali oleh suspek di depan ibunya yang pengecut dan kemaruk cinta dengan lelaki tak berguna itu. Lebih-lebih lagi apabila suspek sendiri mempunyai seorang anak lelaki berusia 4 tahun.

5. Perempuan jenis apa yang tak malu menjalin hubungan mesra dengan suami orang yang menumpangkan dia tempat tinggal selama ini? Ia seperti keadaan melepaskan anjing tersepit dan membiarkan anjing itu bermain dengan telefon bimbit anda dalam rumah.

Memang pelik dan menakutkan. Ia mencerminkan kepincangan institusi kekeluargaan yang makin menjadi-jadi dalam masyarakat setempat. Batas hubungan sesama lelaki dan wanita tidak dititikberatkan. Akhirnya terjadi konflik cinta di mana individu tidak malu merampas pasangan orang lain, dan yang dah berkahwin pun tidak segan-silu bergaul bebas dengan bukan mahram. Tidak hairan sekiranya rumahtangga sedemikian boleh terjebak dengan dosa-dosa lain diikuti oleh bala dengan izin Tuhan. Paling menyedihkan apabila orang lain menjadi mangsa kepada kerakusan pihak tidak bertanggungjawab dalam rumah tangga.

Sama Tapi Tak Serupa

Apa yang menarik tentang kes adik Aisyah ini ialah kebetulan pada Ogos tahun 2013 di Rawang,  Selangor, terdapat satu laporan kes culik seorang kanak-kanak perempuan bernama Aisyah Wan Exsan, juga berusia 3 tahun. Seperti dalam kes Aisyah Aleya, Aisyah Wan dilaporkan telah diculik oleh suspek yang merupakan teman lelaki ibu kanak-kanak itu. Dalam kes tersebut, ibu mangsa merupakan seorang guru Matematik yang telah menjalin hubungan cinta dengan suspek yang baru dikenalinya selama beberapa minggu melalui Facebook.

Foto adik Aisyah Wan Exsan ketika ditemui dalam keadaan selamat di Balai Polis Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Ibu Aisyah, Arbaiyah Md Zin, berusia 30-an, melaporkan anaknya diculik di Jusco Rawang. Apa yang berlaku sebenarnya ialah Arbaiyah telah menyerahkan Aisyah kepada suspek untuk dijaga serta memberikan sekali memberi wang tunai RM25,000 kepada lelaki berkenaan untuk pelaburan perniagaan emas. Arbaiyah turut memberikan suspek sijil kelahiran Aisyah kerana mereka berdua merancang untuk pergi berbulan madu bersama kanak-kanak itu selepas mereka berkahwin. Setelah suspek tidak memunculkan diri untuk mengembalikan Aisyah kepadanya seperti dijanjikan, Arbaiyah mula buat laporan polis.


Poster #FindAisyah yang ditular melalui laman media sosial ketika itu.

Apa yang membezakan kes Aisyah Wan Exsan daripada kes Aisyah Aleya ialah dia ditemui selamat dan dalam keadaan tidak diapa-apakan di Balai Polis Nibong Tebal, Pulau Pinang. Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang pada masa itu, SAC Mazlan Kesah berkata kanak-kanak tiga tahun itu diserahkan kepada polis oleh seorang wanita warga emas yang memperkenalkan dirinya sebagai ibu kepada lelaki yang melarikan kanak-kanak itu. Tidak banyak diketahui tentang suspek berkenaan dan dia masih gagal dijejaki.

Dua Aisyah dengan kisah yang hampir sama, namun hanya seorang sahaja yang menemui pengakhiran cerita menggembirakan.

Jagalah Hubungan Rumah Tangga

Institusi rumah tangga merupakan unit sosial yang paling kecil namun yang paling penting dijaga agar dapat membina keharmonian dalam masyarakat. Kepimpinan rumah tangga yang baik mampu mengukuhkan kasih sayang, mengatasi konflik dengan berkesan dan bergerak ke arah matlamat yang sama iaitu kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Justeru itu, jagalah institusi perkahwinan dengan mengamalkan sikap hormat-menghormati antara pasangan, taat setia dan tidak curang pada pasangan, menjaga batas pergaulan bersama orang luar dan tidak menghampiri zina. 

Tentang Ayuni Rafilah

Seekor kentang gemuk bertopi. Meminati kucing, teknologi, steampunk, membeli-belah secara online, melayari YouTube serta mengumpul topi. Juga memiliki obsesi terhadap kentang pink pada tahap yang membimbangkan.

3 Komen:

  1. sedih dengar kes2 macam ni..

    BalasPadam
  2. lebih menyedihkan bila dapat tau si ibu x melindungi anak wpun tau dia dipukul.. :(

    BalasPadam
    Balasan
    1. Betul. Mungkin ada hikmahnya juga mengapa anak kecil malang tersebut dikembalikan semula ke sisi-Nya daripada terus-menerus hidup merana diseksa oleh keluarga sebegitu.

      Padam

Dikuasakan oleh Blogger.