Page Menu

Sebuah blog caca-marba yang hidup segak mati tak mau.
Blogger dia pun sekejap update sekejap jadi hantu.

Total Pageviews

Dibina oleh Ayuni Rafilah © 2014-2023 Hak Cipta Terpelihara
Dikuasakan oleh Blogger.

BUKU | The Picture Of Dorian Gray (1890)


DORIAN GRAY: PEMUDA TAMPAN YANG INGIN MUDA SELAMANYA

Pada masa dulu Ayuni pernah membaca sebuah novel bertajuk The Portrait of Dorian Gray (1891) yang merupakan hasil karya Oscar Wilde. Novel ini agak penuh dengan kontroversi kerana ia pernah digunakan sebagai bahan bukti dalam mahkamah untuk menyabitkan Oscar dengan kesalahan melakukan kegiatan tidak bermoral serta memiliki nafsu homoseksual. 

Oscar Wilde, penulis novel The Portrait of Dorian Gray

Menggadaikan Kemanusiaan Demi Kehidupan Abadi

Tema novel ini berkisarkan keruntuhan akhlak dan gaya hidup hedonis di kalangan golongan pemuda dalam masyarakat hingga terjebak ke dalam kegiatan homoseksual, seks rambang, ketagihan dadah, pembaziran melampau dan pelacuran. Ia mengisahkan seorang pemuda berketurunan bangsawan bernama Dorian Gray yang bermula sebagai seorang yang naif dan memiliki wajah sangat tampan sehingga sesiapa yang melihatnya, tidak kira lelaki atau wanita, akan jatuh cinta dengannya. Namun lama-kelamaan Dorian berubah menjadi syaitan yang bertopengkan manusia apabila dia mengidamkan kehidupan abadi lalu "membayar" keinginannya dengan melakukan perkara-perkara keji.

Pemuda Tampan Yang Ingin Muda Selamanya

Ceritanya bermula di sebuah studio milik sahabat Dorian yang bernama Basil Hallward. Basil sedang berbincang dengan rakannya Lord Henry Wotton tentang subjek lukisannya iaitu Dorian. Henry menyuruh Basil pamerkan lukisan potret tersebut, namun Basil menolak kerana dia tidak mahu orang lain mengetahui obsesinya terhadap Dorian. 

Henry yang pertama kali bersua dengan Dorian segera jatuh hati dengan Dorian kerana tertarik dengan keremajaan serta sikap naifnya. Henry mengambil kesempatan ke atas sifat naif Dorian dengan mengajarnya bahawa hidup tidak akan lengkap sekiranya segala keindahan dan kepuasan nafsu tidak dinikmati sepenuhnya di zaman muda.

Akibat terpengaruh dengan kata-kata Henry, perasaan sedih mula hinggap dalam hati Dorian apabila dia mula memikirkan tentang zaman mudanya yang akan berlalu seperti orang lain. Dorian membuat kenyatan bahawa dia sanggup menggadaikan rohnya untuk memindahkan proses penuaan yang bakal dilalui oleh jasadnya kepada potret dirinya agar dia kekal tampan dan muda. Basil kemudian menyerahkan potret tersebut kepada Dorian.



Cinta Beracun 

Perubahan tingkah-laku Dorian bermula apabila dia bertemu dengan Sybil Vane, seorang pelakon teater kelas pertengahan lalu melamarnya. Dorian menyangka dia jatuh cinta dengan Sybil kerana tertarik dengan kecantikan serta bakat lakonan Sybil. Semasa Sybil membuat persembahan di atas pentas, Dorian datang menonton bersama Basil dan Henry; sejurus selepas itu Dorian berasa malu dengan mutu lakonan Sybil yang kayu pada malam itu. Sybil mengaku bahawa dia telah menemui cinta sejati dalam diri Dorian dan ini menyebabkan dia tidak dapat berlakon dengan baik seperti sebelumnya. Sybil berhasrat untuk meninggalkan bidang lakonan demi mengikut Dorian sebagai isterinya yang sah.

Dorian meninggalkan Sybil dengan alasan bahawa dia tidak lagi tertarik dengan Sybil. Bagi Dorian, kecantikan Sybil hilang apabila bakat lakonannya merosot. Sybil menangis sambil merayu kepada Dorian agar tidak meninggalkannya namun Dorian sudah tidak ingin ada apa-apa hubungan dengannya lagi. 

Dorian kembali ke rumah dan mendapati wajah dalam potret dirinya menunjukkan rupa yang bengis. Melihatkan ini, Dorian berasa menyesal dan bercadang untuk meminta maaf daripada Sybil di masa akan datang. Namun Henry singgah ke rumah Dorian pada keesokan paginya dengan membawa berita buruk. Sybil telah mati membunuh diri pada malam itu. Sambil memujuk Dorian, Henry memberitahunya bahawa apa yang berlaku bukan salah Dorian. Henry menaruh minat untuk membentuk Dorian menjadi seorang yang tidak bermoral sebagai eksperimen masa lapangnya, lalu dia memberikan Dorian senaskhah novel yang mengandungi kisah dan tema yang meracuni fikiran Dorian selama 18 tahun.



18 Tahun Yang Keji

Sepanjang 18 tahun Dorian dipengaruhi oleh Henry untuk menjadi seorang yang materialistik, cintakan keseronokan duniawi dan abaikan kepentingan moral demi memenuhi segala nafsu zaman mudanya melalui novel yang dihadiahkan oleh Henry. Anehnya, setiap perbuatan keji yang dilakukan oleh Dorian akan digambarkan dalam bentuk kecacatan dan kecelaan yang hodoh pada potret dirinya. Semakin lama Dorian bergelumang dalam gaya hidup hedonistik, semakin tua dan buruk wajahnya dalam potret tersebut. Manakala Dorian pula kekal tampan dan muda seolah-olah dia tidak pernah berusia.

Kelakuan buruk Dorian makin menjadi topik hangat perbualan masyarakat dan ini membuat sahabatnya Basil menjadi resah. Basil segera berjumpa dengan Dorian untuk meminta penjelasan tetapi dia menjadi terkejut apabila dia melihat hasil lukisan potretnya yang kini telah menjadi hodoh dan penuh cela. Setelah mengetahui perkara sebenar yang terjadi, Basil meminta Dorian agar bertaubat dan pulang ke pangkal jalan. Namun Dorian enggan mendengar nasihat Basil lalu membunuhnya.


Sakit Jiwa Dibuatnya

James Vane, abang kepada Sybil yang membunuh diri setelah cintanya ditolak oleh Dorian, telah lama memburu Dorian. Dia terserempak dengan Dorian di sebuah sarang opium dan cuba membunuhnya bagi membalas dendam atas kematian Sybil. Dorian memberitahu James bahawa tidak mungkin dia ada kaitan dengan Sybil kerana usianya yang masih muda. Apabila James melihat rupa Dorian yang masih remaja, dia segera melepaskan Dorian. 

Walaubagaimana pun, seorang pelacur yang melihat insiden tersebut segera menceritakan kepada James lelaki yang dia hampir bunuh tadi sebenarnya sudah berusia lebih tua daripada rupa luarannya. Dia memarahi James kerana tidak membunuh lelaki yang dikenali kerana melakukan banyak perkara terkutuk itu. James cuba mengejar semula Dorian yang telah melarikan diri. 

Semenjak hari itu James sentiasa mengekori dan memerhatikan gerak-geri Dorian sehingga Dorian menjadi hampir sakit jiwa. Dorian kerap mengelak daripada terserempak dengan James sehingga suatu hari James mati ditembak secara tidak sengaja oleh sekumpulan pemburu semasa James sedang menyorok di dalam semak berdekatan rumahnya.


Sempat Lagikah Untuk Bertaubat?

Setelah terselamat daripada ancaman James, Dorian terfikir untuk bertaubat dan dia menulis satu surat kepada Henry tentang hasratnya untuk meninggalkan gaya hidupnya yang banyak membawa masalah kepadanya. Sekembalinya ke rumah, Dorian tertanya bagaimana rupa wajahnya dalam potret setelah dia berazam untuk menjadi manusia yang lebih baik. Malangnya wajah dalam potret tersebut kelihatan makin hodoh dan cacat daripada sebelumnya. 

Dorian kemudian menyedari bahawa hasratnya untuk menjadi baik itu cuma disebabkan dia ingin bertukar rasa pengalaman hidup baru serta didorong oleh keinginan untuk melihat wajah dalam potretnya cantik semula. Azamnya masih tidak cukup untuk menjadikannya insan yang sudah berubah menjadi baik. Dengan perasaan marah, Dorian segera mengangkat pisau yang pernah digunakan untuk membunuh Basil lalu menikam gambar dirinya dalam potret tersebut...


Apakah ada balasan terhadap Dorian pada akhirnya? Sudah tentu. Pembalasan sentiasa wujud untuk memberi manusia pengajaran nilai hidup yang setimpal dengan tindakannya, tidak kira berapa lama tempoh yang diambil oleh manusia itu untuk menyedari kesilapan dia.

4 ulasan: