Baru
Tunggu kejap ya... nak cari entri terbaru

BERITA

BN Menang PRK Semenyih, Kekalahan Demi Kekalahan PH?


Setelah mengalami kekalahan teruk dalam pilihanraya kecil di Cameron Highlands pada 27 Januari yang lalu, sekali lagi Pakatan Harapan (PH) tewas dengan Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya kecil Semenyih pada 2 Mac hari ini.  

Pada PRK Parlimen Cameron Highlands, calon BN Ramli Mohd Nor mendapat 12,038 undi untuk mengalahkan calon PH M. Manogaran (8,800 undi), serta dua calon Bebas iaitu Sallehudin Ab Talib (314 undi) dan Wong Seng Yee (276 undi).

Manakala pada PRK DUN Semenyih pula, calon BN Zakaria Hanafi mendapat 18,864 undi menewaskan calon PH, Muhammad Aiman Zainali yang mendapat 17,866 undi; calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul (847 undi) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng atau Uncle Kentang (725 undi).


Undi Melayu kepada BN kini jauh meningkat daripada sebelumnya hingga 59 peratus - jauh lebih tinggi berbanding 35.33 peratus pada PRU ke-14. Malah, kiraan undi awal di PRK Semenyih juga menunjukkan sejumlah 75 peratus anggota polis berpihak kepada BN berbanding 23.5 peratus memilih PH. Ia mungkin tanda bahawa pengundi yang memilih PAS pada PRU lalu mengundi BN kali ini.

Data daripada kiraan tidak rasmi menunjukkan sokongan pengundi bukan Melayu kekal bersama PH, namun menurun sedikit di kawasan pusat mengundi tertentu di mana mereka merupakan golongan majoriti.

Menariknya juga, PRK kali ini turut menunjukkan peratusan keluar mengundi yang tinggi iaitu 73.24 peratus, berbanding tiga PRK sebelumnya di Selangor iaitu di DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong. 

Naib Presiden PH, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata kekalahan itu adalah isyarat kepada mereka untuk memperbaiki segala kelemahan dan kesilapan dalam sistem pemerintahan PH. Mengenai sama ada kekalahan itu ada mesej rakyat mula menolak PH, Mukhriz berkata, kalah dan menang adalah kelaziman bagi mana-mana pilihan raya dan PH perlu menerima hakikat tewas pada PRK kali ini.

Dengan kemenangan ini, BN kini mempunyai lima kerusi DUN di Selangor manakala kerusi PH pula berkurangan kepada 50.


Walaupun PH telah memenangi empat PRK sejak Mei 2018 sebelum ini, namun peralihan sokongan kepada BN secara besar-besaran di Cameron Highlands dan Semenyih merupakan hal yang tidak boleh diperlekehkan oleh PH, terutama sekali apabila BN berjaya merampas Semenyih buat pertama kalinya selepas tiga penggal dikuasai PH. 

Tambahan lagi senario politik yang berbeza di Cameron Highlands dan Semenyih juga seolah-olah menunjukkan rakyat tidak kira asal-usul serta latarbelakang (Cameron Highlands mempunyai populasi majoriti Orang Asli, manakala Semenyih mempunyai populasi majoriti penduduk separa bandar yang lebih peka dengan isu-isu semasa politik) sebulat suara menyatakan referendum mereka terhadap kepimpinan PH selama ini.


Apakah yang mendorong kepada kekalahan demi kekalahan PH dalam jarak masa yang sangat dekat? Mungkinkah ini merupakan peringatan demi peringatan kepada PH bahawa rakyat sudah mula menolak kepimpinan PH selepas 9 bulan memerintah? Adakah kegoyahan PH dalam kedua-dua pilihanraya kecil tersebut mencerminkan kedudukan parti pemerintah itu dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke-15 yang akan datang?

Tentang Ayuni Rafilah

Seekor kentang gemuk bertopi. Meminati kucing, teknologi, steampunk, membeli-belah secara online, melayari YouTube serta mengumpul topi. Juga memiliki obsesi terhadap kentang pink pada tahap yang membimbangkan.

0 Komen:

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.