Page Menu

Sebuah blog caca-marba yang hidup segak mati tak mau.
Blogger dia pun sekejap update sekejap jadi hantu.

Total Pageviews

Dibina oleh Ayuni Rafilah © 2014-2023 Hak Cipta Terpelihara
Dikuasakan oleh Blogger.

Apa Kaitan Dewi Dalam Logo Starbucks Di Amerika Dengan Roro Kidul Dalam Legenda Jawa?


Kira-kira 10 tahun dahulu Ayuni pernah membaca sebuah salinan teks Yahudi bertajuk Alphabetum Siracidis, Othijoth Ben Sira yang dicatat dalam tahun 700 atau 1000 Selepas Masehi. Penulisnya tidak diketahui siapa hingga kini. Teks ini merupakan tulisan satira yang menghimpunkan koleksi pepatah dari kitab Talmud, falsafah seorang bijaksana bernama Ben Sira, serta kisah tidak senonoh tentang fungsi badan manusia. Entah macam mana Ayuni boleh terjumpa teks ini, dah tak ingat... menyesal pula baca.

Walau bagaimanapun Ayuni tertarik dengan kisah Ben Sira, seorang lelaki di Baitulmaqdis, yang mahsyur dengan khabar kebijaksanaannya hingga ke pengetahuan Raja Nebuchadnezzar di Babylon. Tertarik dengan berita tentang kebijaksanaan Ben Sira, Raja Nebuchadnezzar memanggil Ben Sira ke istana untuk mengujinya. Kesemua ujian Raja Nebuchadnezzar dijawab oleh Ben Sira dalam bentuk cerita.


ASAL-USUL LILITH, ISTERI PERTAMA ADAM

Antara cerita yang paling menarik ialah kisah tentang kewujudan Lilith ketika Ben Sira dititah oleh Raja Nebuchadnezzar untuk mengubati puteranya yang tiba-tiba jatuh sakit.

Siapakah Lilith? Menurut Ben Sira, Lilith ialah isteri pertama Adam sebelum Hawa dicipta oleh Tuhan. Berbeza dengan Hawa yang dicipta daripada tulang rusuk Adam, Lilith dicipta daripada tanah sama seperti Adam. Oleh kerana dia dicipta daripada unsur yang sama dengan Adam, Lilith enggan mengaku Adam lebih tinggi taraf darinya. Adam berkeras mengatakan bahawa dialah manusia yg pertama sekali dicipta, maka kata-katanya sebagai suami harus diikuti kerana tarafnya lebih tinggi. 

Gambaran Lilith berdasarkan imaginasi pelukis Inggeris, Dante Gabriel Rossetti (1828-1882)

Lilith yang kecewa dengan sifat ego Adam segera meninggalkan syurga lalu melarikan diri ke Bumi sambil bersumpah tak akan menjejakkan kaki ke syurga buat selamanya. Lilith membina kehidupan barunya di sebuah istana di tengah lautan dan menjadi isteri kepada salah satu malaikat bernama Samael yang juga telah turun ke Bumi. Lilith dan Samael bersama-sama melahirkan keturunan jin dan syaitan di Bumi.

Adam mengadu kepada Tuhan tentang kecurangan Lilith, lalu tiga malaikat telah dihantar ke Bumi untuk memujuk dan menjemput Lilith kembali ke Adam di syurga. Namun Lilith masih berkeras kepala lalu berkata, "Aku akan jadi punca kepada penyakit dan kematian bayi yang dilahirkan oleh Adam dan anak-anaknya di masa akan datang." Sebagai balasan kepada keputusannya, Lilith disumpah akan kehilangan 100 orang anaknya sendiri setiap hari.


GAMBARAN RUPA LILITH DALAM SASTERA

Sebenarnya sebelum kemunculan teks Alphabetum Siracidis, Othijoth Ben Sira, kewujudan Lilith pernah disebut dalam pelbagai teks purba. Antaranya ialah Hikayat Gilgamesh yang ditulis dalam bentuk sajak pada zaman Sumeria kuno (2100 Sebelum Masehi).

Lilith sebagai Ereshkigal atau juga dikenali sebagai Ishtar dalam epik Hikayat Gilgamesh. Lilith dianggap sebagai dewi kesuburan yang sentiasa diiringi oleh dua ekor burung hantu.

Lilith dikatakan mempunyai kecantikan tiada tandingan dengan mana-mana wanita di dunia kerana dia merupakan wanita pertama dicipta sebelum Hawa. Lilith sering dikaitkan dengan kuasa mistik dan sihir. Adakalanya dia digambarkan sebagai makhluk halus yang suka menggoda lelaki seperti pontianak, qarinah (jin wanita yang suka berzina dengan manusia lelaki), siren (jin wanita yang memiliki badan dan sayap burung), lamia (jin wanita yang berekor panjang dan bersisik seperti ular), dan duyung (jin wanita yang mempunyai sirip dan ekor ikan).

Siapalah yang lukis gambar Lilith ni... sekali imbas macam muka Emma Maembong.

Dalam sastera moden, Lilith menjadi ikon golongan feminist yang mempercayai Lilith ialah lambang kepada kebebasan dan perjuangan hak sama rata wanita.


MELUSINE, MAKHLUK MIRIP LILITH

Sebut tentang duyung, terdapat banyak lagenda di Eropah tentang wanita misteri mirip Lilith dikenali sebagai Melusine yang mana bila dia mandi di sungai, tasik atau laut kakinya akan bertukar menjadi ekor ikan bercabang dua. Ada kisah yang mengatakan kakinya bertukar menjadi ekor ikan apabila dia mandi pada hari Sabtu, Asalnya lagenda tentang Melusine ini dari Perancis, namun lama-kelamaan muncul pula Melusine dalam lagenda negara Poland yang mengisahkan asal-usul jata negeri Warsaw. Pada asalnya logo jata negeri bandar tersebut mempunyai gambar wanita berbadan burung dengan ekor ikan. Pada tahun 1662, gambar logo tersebut digantikan dengan gambar duyung sedang mengangkat pedang dan perisai. Menurut lagenda sekumpulan nelayan telah menyelamatkan seekor ikan duyung lalu ikan duyung tersebut bersumpah akan mempertahankan bandar Warsaw dan rakyatnya. 

Tugu patung ikan duyung dengan pedang dan perisai di bandar Warsaw. Menurut legenda, seekor ikan duyung telah bersumpah untuk memelihara keselamatan dan keamanan bandar tersebut setelah dia diselamatkan oleh nelayan-nelayan tempatan.

Di Perancis, bangunan istana Lusignan dikatakan kononnya telah dibina oleh Melusine dalam masa satu malam. Di Britain pula, Melusine dikaitkan dengan Lady of the Lake yang telah memberikan King Arthur pedang Excalibur serta membesarkan Sir Lancelot. Imej Melusine kelihatan wujud di merata-rata tempat terutamanya dalam ukiran dan lukisan di gereja dan kathedral lama di Eropah.

Imej Melusine kelihatan wujud di merata-rata tempat terutamanya dalam ukiran dan lukisan di gereja dan kathedral lama di Eropah. Contohnya seperti corak mosaic dalam sebuah gereja lama kurun ke-7 di Itali ini. 

Manakala di Amerika Syarikat pula, Starbucks juga mengakui bahawa logo mereka direka sempena imej Melusine yang ditemui pada gambar ukiran kayu kurun ke-16 dalam sebuah buku marin lama. Starbucks memilih gambar Melusine sebagai logo syarikat kerana mereka berpendapat ia berjaya melambangkan asal-usul perniagaan mereka yang bermula di kawasan pelabuhan Seattle, Washington dengan aura menggoda yang misteri.

Logo Starbucks yang menampilkan imej Melusine. Foto sebelah kiri ialah rekabentuk logo terkini yang digunakan sekarang, manakala foto sebelah kanan ialah rekabentuk asal.


IBU KEPADA KETURUNAN KERABAT DIRAJA?

Selain rupa duyung, Melusine juga dikatakan boleh bertukar rupa menjadi ular, sama ada bersayap atau tanpa sayap, dan naga air. Kuasanya dikaitkan dengan air dan laut. Pada zaman dulu kerabat diraja Britain menganggap diri mereka berasal dari keturunan Melusine yang berkahwin dengan manusia. Apa yang menariknya kisah ini hampir sama di Asia di mana keluarga kerabat diraja Jawa di Indonesia juga mengaku bahawa keturunan mereka berasal dari ratu sebuah kerajaan misteri dalam laut bernama Nyai Roro Kidul yang telah berkahwin dengan Sultan Mataram. Seperti Melusine, Roro Kidul juga dikatakan mempunyai ekor ikan dan boleh bertukar rupa.

Foto yang memaparkan selebriti Indonesia Julia Perez bergaya seperti Roro Kidul dengan mengenakan pakaian adat khas Jawa di bawah air menerusi akaun Instagram miliknya.


LILITH DALAM ISLAM

Jika benar Melusine dan Roro Kidul wujud, siapakah mereka sebenarnya? Adakah mereka makhluk yang sama yang berasal dari keturunan Lilith, sekiranya Lilith memang wujud? Atau adakah Melusine, Roro Kidul dan Lilith satu entiti yang sama?

Harus diingatkan bahawa Lilith tidak pernah disebut dalam mana-mana ajaran Islam sebagai "isteri pertama Nabi Adam" mahupun manusia wanita pertama sebelum Hawa. Kisah Lilith hanya merupakan mitos kabbalah yang diceritakan di kalangan orang Yahudi sebagai kisah tauladan. Walau bagaimanapun, Islam tidak menolak bahawa makhluk halus seperti jin dan syaitan memang wujud dan mereka juga mampu beranak-pinak seperti manusia.

NOTA PENULIS: Perkara pelik telah berlaku semasa Ayuni hendak memuatnaik gambar-gambar Lilith dalam entri. Buat beberapa kali ada gambar tidak dapat load walaupun telah diubah saiz resolusi, ditukar kepada mode jpeg dan diubah nama dalam folder berlainan. Kemudian setelah dimuatnaik, keluar pula amaran mengatakan imej tidak dijumpai. Ayuni pun terpaksa memuat gambar lain banyak kali. Tiba-tiba papan kekunci masuk mode "overtype" walaupun Ayuni tidak menekan butang "Insert". Ada huruf-huruf tertentu atas papan kekunci tak dapat ditekan sehingga Ayuni keluar dari laman draf dan masuk semula. Bila masuk Facebook dan tulis entri lain dalam blog ini tak ada apa-apa yang berlaku. Tetapi bila nak siapkan entri ini tinggal nak terbitkan jadi macam-macam pula. Kemudian muncul bunyi orang berjalan-jalan dalam bilik air pada jam 3 pagi. Memang misteri.

3 ulasan:

  1. Menariknya kisah Lilith ni.
    Tertanya2 juga adakah dia benar2 wujud atau sekadar hikayat memandangkan banyak versi di berlainan tempat.

    Seramnya nota kaki tu. Kalau saya dah cepat2 masuk tido :<

    BalasPadam
  2. seram masa nak lengkapkan post ni ye...

    BalasPadam
  3. Nota kaki tu seremmm pulak akak uiiiiiiii...

    BalasPadam