Page Menu

Sebuah blog caca-marba yang hidup segak mati tak mau.
Blogger dia pun sekejap update sekejap jadi hantu.

Total Pageviews

Dibina oleh Ayuni Rafilah © 2014-2023 Hak Cipta Terpelihara
Dikuasakan oleh Blogger.

5 Makanan Tradisi Paling Menakutkan Dalam Dunia


AMARAN: Entri ini mengandungi senarai makanan yang akan membuat pembaca rasa mual dan tidak selesa.



BOODOG
(Mongolia)

Sajian tradisi turun-temurun masyarakat Mongolia sejak zaman Genghis Khan ini mempunyai resipi yang agak unik. Mula-mula tukang masak akan membelah perut seekor haiwan seperti marmot (sejenis tupai besar) atau kambing dan mengeluarkan organ dalaman darinya. Selepas itu dia akan membakar beberapa ketul batu dari sungai sehingga panas membara. Kemudian batu-batu panas tersebut akan dimasukkan ke dalam badan haiwan tadi bersama isi daging, organ dalaman haiwan dan sedikit perencah seperti bawang, garam dan kentang. Perut haiwan itu akan dijahit semula dengan wayar sebelum seluruh luar badannya dibakar dengan penunu bagas (blowtorch) bagi membuang bulu. Dengan cara ini, isi daging akan dimasak serentak dari luar dan dalam. Boodog dikira dah masak apabila lemak mula mengalir keluar melalui lubang pori kulit haiwan. Nak merasa pengalaman barbeku paling menarik, bolehlah cuba boodog ni di negara Mongolia.



CASU MARZU 
(Sardinia)

Casu marzu bermaksud "keju basi" dan dihasilkan daripada susu kambing biri-biri. Apa yang menarik tentang keju ini ialah ia diperam bersama ribuan ulat berengga hidup yang berfungsi untuk memecahkan lemak keju sehingga tekstur keju menjadi sangat lembut dan cair. Casu marzu tidak selamat dimakan sekiranya ulat berengga sudah mati, oleh itu ia harus dinikmati ketika ulat-ulat masih hidup. Biasanya casu marzu akan disapu pada roti sandwic untuk dimakan. Disebabkan ulat-ulat berengga ini mampu melompat jauh sehingga jarak 15cm ketika keju dibuka, sesiapa yang memakan casu marzu harus memegang roti sandwic dengan erat ketika sedang menjamah casu marzu. Terdapat banyak kes di mana peminat keju casu marzu dikejarkan ke hospital akibat ulat-ulat berengga yang melekat pada usus setelah ditelan hidup-hidup.



KALLE PACHE
(Afghanistan, Albania, Algeria, Arab Saudi, Armenia, Azerbaijan, Bahrain, Bosnia and Herzegovina, Bulgaria, Georgia, Greece, Iran, Iraq, Kuwait, Mongolia, dan Turki )

Siapa yang ikuti Ayuni dalam Facebook pasti pernah nampak foto dan video rakaman Ayuni makan kalle pache ni di rumah sepupu. Ayuni pernah rasa masakan ini apabila ia diperkenalkan oleh suami sepupu Ayuni yang berbangsa Algeria. Katanya kalle pache ini dianggap sebagai makanan paling sedap dalam budaya dia walaupun bagi kita memang nampak mengerikan. Cara memasaknya sangat ringkas - kepala kambing yang masih ada kulitnya dengan segala bahagian lain kambing seperti otak, telinga, mata, bibir, gigi, lidah dan lubang hidung kambing direbus dalam air panas sehingga lembut tanpa bubuh garam. Lepas tu dimakan begitu sahaja. Memang tak ada rasa apa, tetapi kalau letak perencah mungkin sedaplah agaknya. Kalle pache merupakan makanan tradisional di Afghanistan, Albania, Armenia, Azerbaijan, Bosnia and Herzegovina, Bulgaria, Georgia, Greece, Iran, Iraq, Mongolia, dan Turki. Nasib baik masakan ini tidak memudaratkan kepada kesihatan... kecuali jika anda mengejar seseorang sambil membawa kepala kambing ini sehingga dia jatuh tersepuk.



KIVIAQ 
(Greenland)

Majlis perkahwinan dan harijadi masyarakat Inuit di Greenland tidak lengkap tanpa hidangan bernama kiviaq ni. Proses menghasilkan kiviaq ni amat unik sehingga ia pernah disiarkan dalam dokumentari BBC. Untuk menyediakan kiviaq, sebanyak 500 ekor bangkai burung auk akan disumbat ke dalam sarung yang diperbuat daripada kulit seekor anjing laut yang telah disapu dengan lemak, kemudian diperam selama berbulan-bulan (3-18 bulan) di bawah timbunan batu. Setelah diperam, burung auk akan dikeluarkan daripada sarung dan dihidang begitu saja ke dalam pinggan. Bayangkan macam mana bau dan rasa dia agaknya... Hanya burung auk digunakan dalam proses pemeraman kerana jika burung lain digunakan si pemakan akan berpotensi mendapat penyakit botulism. Terdapat kes di mana beberapa orang telah mati selepas memakan kiviaq yang dibuat dengan itik laut.



SUP DARAH BABI MENTAH
(Thailand)

Sama seperti rupanya, nama masakan ini sangat tidak menyelerakan. Malah ia juga berpotensi untuk membuat orang yang menikmatinya mendapat meningitis melalui bakteria. Namun di Thailand masakan yang dikenali sebagai tom luad moo atau lou ini merupakan menu yang popular di kalangan masyarakat setempat serta pelancong asing yang berani mencuba. Darah babi akan direndam dengan daun serai bagi menghilangkan bau hanyir sebelum dihidang. Biasanya hirisan daun ketumbar, cili, bawang, daun limau purut dan usus atau kulit babi goreng akan ditabur atas sup darah babi mentah.

Tiada ulasan