BERITA

Suspek Letak Patung Berhala Dalam Surau Disyaki Gila Isim


Seorang duda mengaku bersalah di dua Mahkamah Majistret Klang atas pertuduhan mencemarkan surau dan mencuri berhala di sekitar Pelabuhan Klang, minggu lalu.

Tertuduh, Helmee Othman, 38, membuat pengakuan itu selepas tiga pertuduhan dibacakan berasingan di hadapan Majistret Roslizi Sulaiman dan Majistret Muhammad ‘Azzam Zainal Abidin.

Mengikut dua pertuduhan, bapa kepada empat anak itu didakwa mencemarkan surau dengan mengetahui bahawa orang menyifatkan ia sebagai satu keaiban kepada agama.

Perbuatan itu dilakukan di Surau Sabibul Huda, Taman Pendamar Indah, Pelabuhan Klang, masing-masing antara jam 4 hingga 4.15 petang, 20 Februari dan jam 2.30 hingga 2.45 petang, 23 Februari lalu.


Helmee yang juga penganggur turut didakwa mencuri patung sembahyang daripada milikan Cheong Lin Chai, 51, di Lebuh Pendamar Indah 1, Pandamaran, antara jam 4 petang hingga 9.30 malam, 20 Februari lalu.

Justeru, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 295 dan 379 Kanun Keseksaan yang masing-masing memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun dan tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Suspek diperintah menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Perak selama sebulan.

Sebutan semula kes ditetapkan 27 Mac ini.

Suspek yang meletakkan berhala di Surau Sabilul Huda dipercayai mempunyai masalah mental ‘gila isim’ selepas mempelajari ilmu agama yang salah di negara jiran.

Suspek yang ditahan di rumahnya kira-kira 200 meter dari surau itu mengaku terbabit meletakkan patung berkenaan secara bersendirian.


Dia dipercayai meletakkan satu patung kepercayaan Buddha dikenali ‘Datuk Gong’ berikutan mahu mengajak mereka yang menganut agama berkenaan sembahyang di surau terbabit. Dua lagi patung kepercayaan Hindu turut diletakkan dengan tujuan sama.

Suspek dikatakan kerap bermimpi melihat Kaabah dikelilingi berhala dan percaya perlu bertindak melakukan perkara sama dengan mengambil patung di tokong kecil berhadapan rumah dan tempat pembuangan sampah di sekitar kawasan berkenaan.

Tentang YunFila

Seekor kentang gemuk bertopi. Meminati kucing, teknologi, steampunk, membeli-belah secara online, melayari YouTube serta mengumpul topi. Juga memiliki obsesi terhadap kentang pink pada tahap yang membimbangkan.

0 Komen:

Powered by Blogger.