Baru
Tunggu kejap ya... nak cari entri terbaru

BERITA

Rakyat Terkejut Agong Letak Jawatan, Kali Pertama Dalam Sejarah Malaysia


Rakyat Terkejut Agong Letak Jawatan, Kali Pertama Dalam Sejarah Malaysia | Rakyat seluruh negara dikejutkan dengan keputusan Sultan Muhammad V meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong yang berkuatkuasa mulai 6 Januari semalam. Buat pertama kali dalam sejarah perlembagaan Malaysia Yang di-Pertuan Agong meletak jawatan dalam tempoh perkhidmatan dan tidak menghabiskan tempoh pemerintahan. Apakah punca baginda mengambil keputusan sedemikian?

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz, berkata perletakan jawatan baginda itu selaras Perkara 32 (3) Perlembagaan Persekutuan.

"Tuanku telah bersedia berangkat pulang ke Kelantan Darul Naim untuk bersama-sama dengan kerajaan negeri, dan terutamanya rakyat Kelantan bagi menjaga dan membangunkan negeri itu demi kesejahteraan rakyat," katanya.

Di sebalik rasa terkejut, kebanyakan rakyat berasa sedih menerima perkhabaran tersebut. Ini kerana Sultan Muhammad V dianggap sebagai pemerintah berjiwa rakyat, merendah diri dan tidak mementingkan protokol. Tambahan lagi, baginda memegang peranan sebagai ketua agama Islam.


'Sila duduk, jangan lari'

Sudah tentu rakyat akan terkenang ungkapan 'sila duduk, jangan lari' oleh Sultan Muhammad V yang berseloroh apabila baginda menitahkan supaya semua Ahli Parlimen duduk dan tidak lari sebelum memulakan titah pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Pertama Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat pada 17 Julai 2018 lalu. Ia sekali gus menceriakan suasana pagi pembukaan sidang Dewan Rakyat.

“Ahli Yang Berhormat, sila duduk dan jangan lari,” titah baginda sambil tersenyum.

Dalam titah baginda selepas itu, Sultan Muhammad V menitahkan agar Ahli Parlimen yang dipilih menggalas tugas tugas dan titipan amanah yang diberikan dengan jujur serta penuh dedikasi. Menurut baginda, pemilihan berkenaan adalah satu tanggungjawab yang besar yang harus dipikul dengan penuh wibawa.

Masih menjadi misteri

Sebelum ini media sosial kecoh dengan dakwaan kononnya mesyuarat khas Majlis Raja-Raja membincangkan kedudukan baginda. Namun Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika ditanya mengenai dakwaan itu sebelum ini, berkata ia sekadar khabar angin.

Spekulasi mengenai kedudukan Sultan Muhammad V mulai tular apabila sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan Majlis Raja-raja bermesyuarat selepas Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Shah, yang menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong, menamatkan tugas baginda pada 31 Disember lalu.

Manakala itu Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong tidak menolak kemungkinan pendedahan perbelanjaan Istana Negara dan penularan spekulasi perkahwinan Sultan Muhamad V mempengaruhi keputusan baginda untuk meletak jawatan. 

"Pihak istana berdiam diri sahaja. Jadi tanda tanya itu semakin kuat," ujarnya.

Tidak ketinggalan insiden pada Jun 2018 di mana para penyokong kerajaan Pakatan Harapan (PH) meminta Yang di-Pertuan Agong supaya berhenti mengganggu kerajaan berhubung cadangan melantik Tommy Thomas sebagai peguam negara juga dikatakan berkemungkinan antara punca perletakan jawatan baginda.

Sehingga kini soal siapa yang akan menggantikan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 masih menjadi misteri. Majlis Raja-raja dijangka akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk memilih pengganti baginda.

Mengikut amalan, Yang di-Pertuan Agong dipilih berdasarkan sistem penggiliran setiap lima tahun mengikut negeri.

Menurut senarai, giliran seterusnya adalah Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah. Namun, takhta baginda kini dipangku anaknya Tengku Abdullah. Jika Majlis Raja-Raja tidak boleh memilih Sultan Ahmad Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong baharu, giliran seterusnya adalah Johor yang diperintah Sultan Ibrahim Iskandar.

Perlembagaan memperuntukkan seorang Raja layak dipilih kecuali belum dewasa atau dipersetujui Majlis Raja-Raja dan memberitahu Penyimpan Mohor Besar Raja-raja yang Baginda tidak berhasrat dipilih.

Biografi Sultan Muhamad V

Sumber: Harian Metro


Apa pun keputusannya Sultan Muhammad V akan dikenang sebagai salah seorang pemerintah yang berjiwa rakyat. Maka tidak hairanlah ramai yang mengagumi baginda.

DAULAT TUANKU.

Penafian oleh Ayuni Rafilah

Segala penulisan yang dikongsi dalam blog ini merupakan pendapat peribadi milik penulis semata-mata yang telah ditapis mengikut garis panduan Akta Hasutan 1949, Akta Jenayah Komputer 1997 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Semua pendapat yang ditulis dalam blog ini tidak mewakili pendapat mana-mana pertubuhan, jenama dan parti politik.

2 Komen:


Terima kasih kerana membaca... tolong saya habiskan stok barang boleh tak? Yeah, semua harga lelong! Klik SINI:

Dikuasakan oleh Blogger.