Baru
Tunggu kejap ya... nak cari entri terbaru

PERSONAL

Pendidikan Bukan Sekadar Pembelajaran Dalam Kelas


Pendidikan Bukan Sekadar Pembelajaran Dalam Kelas | Ayuni melihat pendidikan sebagai sebahagian daripada darah daging manusia - ia tidak boleh dielakkan, dilupakan mahupun diabaikan. Pendidikan adalah sesuatu yang berterusan.

Ia bukan sahaja merujuk kepada sistem pendidikan formal tersedia dalam bilik kelas yang dilengkapi dengan pengajar, bahan bacaan dan alat bantuan pengajaran. Pendidikan juga datang dari penghayatan lima pancaindera deria seseorang (enam bagi sesetengah orang).

Misalnya, seseorang telah jatuh hati dengan sepasang kasut yang menarik namun wang dia tidak mencukupi untuk membeli kasut tersebut pada masa itu. Jadi dia mula membuat kerja separuh masa serta mengumpul wang saku untuk mencapai hasrat membeli kasut tersebut. Hasilnya, orang itu telah belajar tentang erti berjimat-cermat dan kepentingan bekerja untuk mencari wang. Begitu juga apabila seseorang menjalin hubungan dengan manusia lain dalam masyarakatnya, hasil daripada pengalaman bersama mereka akan mendidik orang itu untuk memperbaiki etika dan sahsiah diri dalam interaksi sosial.


Ayuni percaya bahawa pendidikan terdiri dari beberapa cabang yang bertujuan untuk menyeimbangkan manusia. Ilmu kemahiran bersifat pemikiran kritis dan penyelesaian masalah seperti sains, perundangan, perubatan, perniagaan, matematik, kimia, fizik, dan sebagainya merupakan cabang pendidikan yang mendidik manusia untuk mengekalkan kemandirian diri mereka agar manusia tidak pupus dari dunia sebenar.

Manakala ilmu bersifat sanubari dan pembinaan sahsiah diri seperti agama, sastera, muzik, seni, falsafah, fesyen, kulinari, dan sebagainya merupakan cabang pendidikan yang mengajar manusia erti cinta, kebaikan, rasa hormat, keberanian, kerendahan diri, dan kemaafan agar manusia memahami serta menghargai makna kehidupan. Kedua-dua cabang pendidikan tersebut adalah penting untuk membentuk seorang insan dalam dunia sebenar.

Pendidikan seimbang akan membawa seseorang ke mana-mana dan membantunya mencari kunci kepada segala rahsia sejagat (kecuali rahsia hak Tuhan) asalkan dia berterusan berfikir secara kritis, rajin menyelesaikan masalah, memelihara sanubari dan berusaha memperbaiki diri walaupun dia tidak memiliki segulung sijil ijazah atau kedoktoran dengan CGPA 3.5 ke atas. Pendidikan seimbang akan membenarkan idea dan ayat seseorang mengubah dunia ini.


Pendidikan bukan semata-mata untuk memperbaiki kehidupan diri sendiri agar anda menjadi seorang yang berjaya dalam hidup. Keupayaan manusia untuk menerima pendidikan adalah anugerah daripada Tuhan kepada manusia agar saling membantu dan melengkapi kehidupan sesama-sendiri; sebab itulah pendidikan merupakan salah satu asas kepada pembentukan tamadun manusia.

Jika pendidikan tidak diberikan secara seimbang dan digunakan hanya untuk kepentingan diri sendiri, sudah tentu lama-kelamaan tamadun sesebuah masyarakat akan hancur walau berapa ramai sekali pun golongan bijak pandai dan cendekiawan wujud dalam masyarakat tersebut. Terutama sekali apabila kurangnya golongan bijak pandai dan cendekiawan menyumbang sesuatu yang boleh menjadi pendidikan berguna kepada masyarakat walaupun bilangan mereka yang dihasilkan oleh institusi pengajian formal adalah ramai.

Tentang YunFila

Seekor kentang gemuk bertopi. Meminati kucing, teknologi, steampunk, membeli-belah secara online, melayari YouTube serta mengumpul topi. Juga memiliki obsesi terhadap kentang pink pada tahap yang membimbangkan.

0 Komen:

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.