Baru
Tunggu kejap ya... nak cari entri terbaru

VIRAL

Foto Remaja Terengganu Bermain Dengan Kerbau Tular, Menang Anugerah Antarabangsa


Foto Remaja Bermain Dengan Kerbau Tular, Menang Anugerah Antarabangsa | Terbaru seorang jurufoto dari Malaysia, Mohd Nazri Sulaiman, berjaya meraih hadiah utama fotografi Images of Asia (IOA) dalam peraduan anjuran majalah Asian Geographic serta dinobatkan sebagai jurugambar terbaik 2018 oleh majalah tersebut.

Foto yang berjudul "Sharing Emotion" itu mempamerkan hubungan akrab antara seorang remaja lelaki dengan kerbau-kerbau ternakannya. Subjek utama foto tersebut, Mohd Syukur Khamis, 14 tahun, berkata dia tidak menyangka gambarnya menjadi tular bukan sahaja di peringkat tempatan malah ke antarabangsa.

Akhbar Harian Metro melaporkan bahawa keunikan foto Mohd Nazri turut tu melayakkannya memenangi anugerah ‘Street/People Photographer of The Year Asian Geographic -Image of Asia 2018’ dan ‘Remarkable Award di Siena International Photography Award 2018, Italy.’


Menurut Mohd Syukur, kesemua kerbau dibela oleh bapanya di Terengganu dan dia sering keluar bermain dengan kerbau-kerbau tersebut semenjak usianya 8 tahun. Dia tidak takut bermanja dengan peliharaan itu yang dianggap sebagai rakannya. Apa yang lebih menarik ialah kerbau-kerbau tersebut patuh pada arahan Mohd Syukur, oleh itu mudah bagi Mohd Nazri bekerjasama dengan Mohd Syukur menjalankan penggambaran fotografi dengan lancar.

Pelbagai aksi pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin itu dengan kerbau peliharaan bapanya mendapat pujian pengguna media sosial, termasuk Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, yang menyatakan kekagumannya terhadap keakraban dan kemesraan Mohd Syukur bersama haiwan itu yang disifatkannya begitu ikhlas.


Mohd Syukur berkata, selepas tular dan dikenali ramai dia menerima ucapan tahniah daripada guru dan rakan sekolahnya yang turut datang ke kandang untuk merakamkan gambar bersamanya dan kerbau berkenaan.

"Saya tidak bangga apabila menjadi tular, tetapi gembira sebab dulu ayah sering dihina kerana pekerjaannya sebagai penternak kerbau. Tetapi hari ini, saya seronok kerana dapat buat ayah bangga dan mengubah persepsi orang terhadap pekerjaan ayah," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Banggol Katong, Kuala Terengganu, hari ini.

Mohd Syukur bukan sahaja berkebolehan menjinakkan binatang, tetapi juga berkemahiran membaiki motosikal, kerana sering membantu abangnya, Mohamad Alias, 29, yang bekerja sebagai mekanik.

Sementara itu bapa Mohd Syukur, Khamis Jusoh, 63, berkata, dia menjadi penternak kerbau sejak 30 tahun lalu.

"Walaupun Mohd Syukur kini menjadi tumpuan, saya tidak pernah mengambil kesempatan untuk menjadi kaya kerananya, malah saya tidak mengenakan sebarang bayaran. Ramai yang kata, jurugambar yang merakam gambar Mohd Syukur dan masuk pertandingan menang beribu-ribu ringgit dan saya patut minta bayaran, tetapi bagi saya, cukuplah mereka doakan saya sihat dan sedekahkan Alfatihah jika saya sudah tiada nanti," katanya.


Lihat hasil fotografi lain Mohd Nazri di Instagram miliknya.

Penafian oleh Ayuni Rafilah

Segala penulisan yang dikongsi dalam blog ini merupakan pendapat peribadi milik penulis semata-mata yang telah ditapis mengikut garis panduan Akta Hasutan 1949, Akta Jenayah Komputer 1997 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Semua pendapat yang ditulis dalam blog ini tidak mewakili pendapat mana-mana pertubuhan, jenama dan parti politik.

2 Komen:


Terima kasih kerana membaca... tolong saya habiskan stok barang boleh tak? Yeah, semua harga lelong! Klik SINI:

Dikuasakan oleh Blogger.