Baru
Tunggu kejap ya... nak cari entri terbaru

Seronoknya Dapat Borong Unagi Kabayaki Dari Fujian, China


Seronoknya Dapat Borong Unagi Kabayaki Dari Fujian, China | Pada hari minggu Ayuni telah ambil kesempatan untuk singgah di Fujian Export Fair yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur. Sebanyak 150 syarikat perniagaan dari Fujian, China yang menjadi pengeluar dan pembekal barangan seperti makanan, pakaian, aksesori fesyen, barang kemas, peralatan elektronik, mesin dan jentera, periuk dan kuali, serta keperluan pengguna lain datang ke sini untuk menjalin hubungan perdagangan dengan golongan usahawan di Malaysia.

Semasa pelancaran ekspo Fujian Export Fair

Pemandangan dalam ekspo

Masalah utama yang wujud semasa membeli-belah di ekspo Fujian Export Fair ialah kebanyakan peniaga China tak fasih bercakap dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Mereka hanya boleh berinteraksi dalam bahasa Mandarin. Dah macam ayam dan itik apabila Ayuni cuba berbual sambil runding harga dengan peniaga-peniaga dari China tersebut. Tetapi rasa amat puas hati sebab berjaya mendapat harga yang murah-murah bagi barang yang dikehendaki (walaupun ada peniaga yang menangis bila Ayuni tekan harga lagi dan lagi dan lagi...). Tak payah nak pergi ke China untuk mendapatkan barang pada harga pembekal.

Masuk ekspo tangan kosong, keluar ekspo terus penuh sampai ke leher 

Apa yang menarik ialah sesetengah peniaga menggunakan penimbang untuk mengira berat barang jualan sebelum memberi harga jualan. Contohnya semasa Ayuni membeli rantai loket dan gelang perak (pure silver) dari satu booth peniaga wanita China ni, dia akan meletakkan rantai dalam mangkuk penimbang elektronik lepas tu dia bagi tahu berapa harga ikut gram kali dengan jumlah berat. Dari harga yang dia bagi tu, Ayuni runding lagi bagi dia turunkan harga kepada nilai lebih rendah sehingga dua-dua pihak setuju. 

Lepas tu Ayuni sarung lagi rantai ke leher dan gelang ke tangan lalu minta dia bagi pada Ayuni sebagai free gift tanda kenangan dia berada di Malaysia. Peniaga wanita itu pun bagi disebabkan kecomelan Ayuni. Kedua-dua pihak gembira walaupun kami langsung tak memahami apa yang dicakapkan sesama sendiri. Lain kali Ayuni harus belajar bahasa Mandarin supaya dapat faham apa yang peniaga wanita tu kata masa Ayuni beredar dari booth dia.

Selain daripada perhiasan perak, Ayuni telah berjaya memborong beberapa kilo barang perhiasan mutiara, batu kristal, belut panggang, sardin tin, kicap soya, mi jagung, buah jujube, shawl, cermin mata hitam, sabun basuh baju berbentuk tisu, dan kasut sukan bling-bling (siapa kata kasut sukan tu untuk tomboi saja mungkin tak reti ikut trend fesyen kasut perempuan).

Bling bling!

Antara cermin mata yang Ayuni borong dari ekspo

Buah jujube (kurma China). Sedap, isinya manis dengan tekstur macam foam tilam.

Paling seronok dapat belut panggang ni. Kalau pergi ke restoran Jepun belut panggang ni dikenali sebagai unagi kabayaki. Di pasaraya Aeon harga untuk satu pek unagi kabayaki lebih kurang dalam RM23 ke atas. Ayuni dapat borong kesemua jenis pek dalam gambar ni pada harga RM20 sahaja. Kalau di Kuala Lumpur, anggaran harga untuk hidangan kesemua pek ini mungkin RM90-RM100 ke atas.


Kenyang betul hari ini dapat masak unagi donburi (belut dan nasi putih) di rumah sendiri. Jus yang keluar dari isi daging belut ni memang fuhh... sedap dan manis sehingga menjilat jari! Ini baru buka jenis yang dihiris kecil dalam pek, nanti Ayuni nak cuba masak pek yang besar pula untuk dimakan bersama sup miso (cari resepi buat sup miso dulu).

Unagi donburi hasil tangan sendiri. Yum yum!

Tambah lagi unagi! Ekstra nyum!

Tentang YunFila

Seekor kentang gemuk bertopi. Meminati kucing, teknologi, steampunk, membeli-belah secara online, melayari YouTube serta mengumpul topi. Juga memiliki obsesi terhadap kentang pink pada tahap yang membimbangkan.

0 Komen:

Dikuasakan oleh Blogger.