Baru
Tunggu kejap ya... nak cari entri terbaru

BERITA

Anggota Bomba Dibelasah Dalam Rusuhan Kuil Kini Nazak


Anggota Bomba Dibelasah Dalam Rusuhan Kuil Kini Nazak | Muhammad Adib Mohd Kassim kini sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Subang Jaya di bawah pengawasan lima orang doktor pakar.

Dalam kejadian jam 1 pagi tadi, Adib yang ke lokasi bagi memadam kebakaran kereta di luar Kuil Maha Mariamman bersama pasukannya telah cedera diserang perusuh. 


Mangsa yang berusia 24 tahun duduk di bahagian penumpang hadapan unit EMRS sebelum ditarik keluar oleh kumpulan perusuh dan dipukul.

Adib Ditarik, Dipukul Separuh Mati Oleh Perusuh Kuil Sri Maha Mariamman

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Muhammad Hamdan Wahid berkata anggotnya, Muhammad Adib dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya dipercayai dipukul oleh sekumpulan perusuh ketika dalam operasi memadam kebakaran kenderaan di hadapan kuil Sri Mahamariamman di USJ 25, Putra Heights, dalam kejadian kira-kira 1 pagi tadi.

Beliau berkata mangsa yang duduk di bahagian penumpang hadapan dipercayai telah ditarik keluar dari kenderaan EMRS selain perusuh telah merosakkan kenderaan FRT dan EMRS milik Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Mangsa kini berada dalam keadaan kritikal dan bergantung sepenuhnya kepada sistem sokongan hayat di Pusat Perubatan Subang Jaya.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata mangsa mengalami lebam teruk di bahagian dada dan patah tulang rusuk.


“Setakat ini, Adib bergantung kepada sistem sokongan hayat, keadaannya masih pada tahap kritikal, hampir keseluruhan badannya terutama bahagian dadanya dipenuhi lebam."

“Sejak dikejarkan ke hospital oleh orang awam, keadaannya masih sama sehingga semasa saya menziarahinya tadi, bacaan tekanan darahnya pula kekal berada dalam paras rendah. Dia mengalami kesukaran bernafas akibat tulang rusuknya yang patah menjejaskan fungsi paru-parunya,” katanya yang dipetik daripada Harian Metro.

Zuraida berkata, pihaknya akan menawarkan sokongan kepada mangsa dan keluarganya dari Kedah yang turut sudah berada di hospital.

“Saya cukup kesal dan dukacita dengan kejadian ini, saya bertemu dan menenangkan ahli keluarga, mereka sangat sedih dan trauma, kita sama-sama doakan yang baik-baik untuk mereka."

“Ini adalah hari yang sedih untuk kita, anggota bomba ini menawarkan perkhidmatan mereka untuk apa sahaja kecemasan, kenapa buat begini kepada anggota bomba. Saya minta dan berharap jangan berulang lagi episod gelap, jadilah orang yang lebih bertamadun dan jangan ulanginya,” katanya.

17 Suspek Telah Ditahan

Serangan berkenaan turut menyebabkan dua jentera bomba iaitu satu unit van EMRS dan jentera pemadam (FRT) dirosakkan kumpulan perusuh dianggarkan seramai 1,000 orang. Dalam pada itu, seramai 17 individu sudah ditahan bagi membantu siasatan insiden rusuhan di tapak Kuil Sri Mariamman, USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya, awal pagi hari ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, semua suspek itu termasuk tiga lelaki Melayu dan tiga lelaki India yang mengalami kecederaan dalam pergaduhan berkenaan.


“Mereka ditahan selepas didapati berada di lokasi kekecohan berkenaan dan polis turut merampas dua pedang, dua kayu serta paip getah. Insiden itu turut mengakibatkan seorang anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya patah tangan ketika cuba meleraikan pergaduhan antara dua kumpulan berkenaan. Kita sudah mengenal pasti dalang utama kejadian dan sedang mengesannya bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam, malam ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, polis menafikan dakwaan kelewatan pihak polis tiba di kuil berkenaan sehingga berlaku rusuhan terbabit. Mohamad Fuzi juga menasihatkan semua pihak termasuk ahli politik dan badan bukan kerajaan (NGO) supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berbaur provokasi atau hasutan yang boleh menimbulkan ketegangan kaum.

“Selain itu, saya menasihatkan seramai 2,000 orang awam yang dikatakan berada di sekitar lokasi kejadian ketika ini agar tidak mencetuskan huru-hara atau provokasi,” katanya.

Insiden pergaduhan di Kuil Maha Mariamman ini telah mengakibatkan 18 kenderaan dibakar dan sebuah MPV polis dibaling batu. Di samping itu, kumpulan perusuh terbabit turut bertindak memecahkan pintu dan dinding cermin bangunan One City.


Insiden Rusuhan Kuil: Polis Meminta Orang Ramai Bertenang

Polis memberi amaran kepada semua pihak supaya tidak mengambil kesempatan dengan menularkan insiden di tapak Kuil Sri Maha Mariamman di Selangor, sehingga boleh menimbulkan ketegangan kaum.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, beliau percaya ada segelintir kumpulan mempunyai agenda dan niat tertentu apabila menyebarkan isu itu kepada orang ramai. Sehubungan itu, katanya polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas ke atas mereka kerana menggugat keharmonian dan keselamatan negara.

“Insiden ini adalah isu sensitif dan mana-mana pihak terutama penulis blog tidak boleh sewenang-wenangnya ambil kesempatan untuk menimbulkan ketegangan kaum."

Punca Rusuhan Kuil: Waytha Moorthy Salahkan Polis

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy berkata, polis daerah Subang Jaya mengeluarkan kenyataan salah apabila mendakwa rusuhan berpunca daripada perselisihan faham antara dua kumpulan India mengenai perpindahan kuil.

Katanya, kenyataan salah dan tidak bertanggungjawab itu menimbulkan ketegangan dalam kalangan masyarakat India kerana kelewatan serta tindakan polis yang tidak berkesan untuk mengawal insiden berkenaan.


Waytha Moorthy berkata, pihaknya mahu polis Bukit Aman melaksanakan siasatan penuh dan bebas bagi mengenal pasti dalang di sebalik rusuhan dan serangan terhadap kuil itu.

“Ketua Polis Negara wajar mengeluarkan kenyataan yang betul berhubung insiden ini. Kami mengutuk serangan ini dan pihak bertanggungjawab dalam insiden ganas ini perlu ditangkap serta dihukum,” katanya.

Difahamkan, insiden itu sudah berada dalam perhatian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor, dalam satu sidang media di Kajang, menegaskan insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, awal pagi tadi tiada kaitan dengan masalah perkauman, sebaliknya perselisihan membabitkan isu perpindahan kuil.

Video Berita Rusuhan Di Kuil Sri Maha Mariamman

Dalam kapsul berita tengah hari ini : Anggota bomba diserang perusuh parah, dalam ICU ; Sudah-sudahlah fitnah saya simpan duit berjuta-juta di rumah - Najib� ; Genting saman Walt Disney, Fox RM4 bilion ; Elfira dedah gambar tunang
Posted by Utusan Online on Monday, November 26, 2018

UPDATE TERKINI: Mangsa rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman kini dilaporkan semakin stabil di Hospital Subang Jaya Medical Centre (SJMC) SS12/1 Subang Jaya. Teruskan berdoa kepada beliau agar kembali sihat dan kembali berkhidmat untuk negara. - Sumber: Persatuan Kebajikan JBPM

Penafian oleh Ayuni Rafilah

Segala penulisan yang dikongsi dalam blog ini merupakan pendapat peribadi milik penulis semata-mata yang telah ditapis mengikut garis panduan Akta Hasutan 1949, Akta Jenayah Komputer 1997 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Semua pendapat yang ditulis dalam blog ini tidak mewakili pendapat mana-mana pertubuhan, jenama dan parti politik.

0 Komen:

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.