Page Menu

Sebuah blog caca-marba yang hidup segak mati tak mau.
Blogger dia pun sekejap update sekejap jadi hantu.

Total Pageviews

Dibina oleh Ayuni Rafilah © 2014-2023 Hak Cipta Terpelihara
Dikuasakan oleh Blogger.

Senarai Kes Kehilangan Kanak-Kanak Yang Menggemparkan Malaysia 1987-2017


Senarai kes kehilangan kanak-kanak yang pernah menggemparkan Malaysia sepanjang 30 tahun ini iaitu dari tahun 1987 hingga 2017. Ada yang ditemui dalam keadaan tragis dan ada yang masih hilang hingga ke hari ini.


12 April 1987
Ang May Hong, 9
Mangsa keluar ke pasar untuk membeli sarapan pagi dan tidak pulang ke rumah selepas itu. Bapa mangsa menemui mayat mangsa 3 jam berikutnya di sebuah rumah kosong tidak jauh daripada kediaman mereka di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Mangsa didapati telah diseksa, diperkosa dan dibunuh.

12 Januari 1996
Tin Song Sheng, 7
Mangsa diculik dari sekolahnya SRJK Taman Rasah. Terdapat laporan bahawa ada saksi terserempak dengan mangsa sedang meminta sedekah di Pontian, Johor. Mangsa tidak pernah ditemui sehingga sekarang.

28 November 1998
Zulaiha Muhamad, 6
Mangsa dikatakan hilang ketika sedang bermain di bawah pokok jambu mawar bersama adiknya. Sehingga kini mangsa tidak ditemui.

17 Ogos 2001
S. Maniarasi, 4
Mangsa diculik dari rumah kedai milik ibu bapanya di Taman Air Bemban di Kulai, Johor. Mayat mangsa kemudian ditemui terapung dalam empangan di Ulu Choh terletak kira-kira 50km daripada rumah mangsa.

8 Januari 2004
Haserawati Saridi, 10
Mangsa diculik, diperkosa dan ditikam hingga mati oleh seorang penagih dadah ketika mangsa dalam perjalanan ke sekolahnya di Menggatal, Sabah.

17 Januari 2004
Nurul Huda Abdul Ghani, 10
Mangsa dilaporkan hilang selepas tidak pulang daripada membeli barang di kedai runcit yang terletak 500 meter dari rumah mangsa di Kampung Pekajang, Tanjung Kupang, Johor Bahru. Mangsa kemudian ditemui dalam keadaan bogel dan nyawa-nyawa ikan dalam sebuah pondok pengawal keselamatan di pencawang TNB. Mangsa telah diikat, diperkosa dan diliwat beramai-ramai oleh tiga orang suspek sebelum dijerut. Mangsa meninggal dunia ketika menunggu rawatan tiba. Dua suspek telah ditahan manakala suspek ketiga berjaya memboloskan diri dan tidak ditemui hingga kini.

6 Julai 2007
Shearwey Ooi Ying Ying, 4
Mangsa dilaporkan hilang daripada kereta milik ibu kandungnya. Mangsa dipercayai telah dibunuh, dibakar dan tulangnya dicampak secara berasingan di beberapa tempat sekitar Pulau Pinang.

20 Ogos 2007
Nurin Jazlin Jazimin, 8
Mangsa hilang ketika dalam perjalanan ke pasar malam berdekatan rumahnya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Mayat mangsa kemudian ditemui disumbat dalam sebuah beg depan lot kedai di Petaling Jaya, Selangor. Bahagian kemaluan mangsa disumbat dengan terung dan timun hingga rektum mangsa terkoyak dan menyebabkan kematiannya. Suspek culik dan bunuh mangsa masih belum dikenalpasti hingga sekarang.

9 Januari 2008
Sharlinie Mohd Nashar, 5
Mangsa hilang ketika bermain di sekitar rumahnya di Petaling Jaya, Selangor. Mangsa tidak ditemui hingga kini.

9 Mac 2008
Muhamad Asmawi Jalaludin, 11
Mangsa dilaporkan hilang ketika pulang bersama rakannya dari sebuah taman permainan berdekatan rumahnya di Kerinchi, Kuala Lumpur. Mangsa masih belum ditemui hingga kini.

4 Jun 2010
Nisha Chandramohan, 2
Mangsa yang merupakan penghidap sawan hilang ketika dibawa keluar oleh nenek saudaranya yang mengalami penyakit mental di Mentakab, Pahang. Walaupun nenek saudara mangsa berjaya ditemui, mangsa masih hilang sehingga sekarang.

1 Mac, 2012
Nurul Nadirah Abdullah, 5
Mangsa hilang semasa keluar membeli barang di kedai runcit berdekatan rumah mangsa. Mayat mangsa kemudian ditemui dalam keadaan rentung dalam sebuah ladang di Nusa Damai, Johor.

8 Ogos 2012
Satishkumar Tamilvanan, 5
Mangsa hilang ketika keluar untuk membeli gula-gula di sebuah medan selera di Permatang Pauh, Bukit Mertajam. Mangsa tidak ditemui hingga sekarang.

16 Januari 2013
William Yau Zhen Zhong, 6
Mangsa dipercayai keluar mencari ibu bapanya semasa dia ditinggalkan dalam kereta bersama dua orang adik-beradiknya yang lain. Kedua-dua ibu bapa mangsa pada masa itu berada di dalam kedai barangan elektrik di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor. Mayat mangsa ditemui di Jeti Kampung Sungai Sireh, Pelabuhan Klang, Selangor seminggu selepas itu.

8 November 2013
Freddie Joseph, 1 tahun 8 bulan
Mangsa diculik dari rumah ibunya di Bangsar, Kuala Lumpur. Mangsa kemudian dijumpai keesokan harinya bersendirian dalam keadaan lapar dan letih di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.

21 November 2014
Mohd Shariqal Sidek, 3
Mangsa hilang ketika bermain di kawasan kebun getah di Kampung Selagon, Beaufort, Sabah. Mangsa ditemui mati dipercayai dibunuh berhampiran Sekolah Menengah St John kira-kira tujuh kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

11 Ogos 2016
Noor Amila Edrus Noorsham, 5
Mangsa dipercayai hilang selepas keluar menunaikan solat Maghrib di surau yang terletak 20 meter dari rumah ibu tirinya di Jinjang Utara, Kuala Lumpur. Mayat mangsa ditemui dalam semak dekat Kampung Kemensah, Hulu Kelang, Selangor. Mangsa dipercayai telah dibunuh sebelum mayatnya dihumban dari atas tebing setinggi 20 meter.

14 Ogos 2017
Faralysa Amani, 10
Mangsa dipercayai dilarikan suspek pada waktu pagi dari rumah keluarganya di kuaters kakitangan Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan. Pada waktu malam hari yang sama, mangsa ditinggalkan berdekatan pondok pengawal keselamatan politeknik dalam keadaan trauma dan kedua-dua tangan yang diikat. - A.Rafilah

1 ulasan: