Baru
Tunggu kejap ya... nak cari entri terbaru

VIRAL

Motif Misteri Kes Kahwin Budak 11 Tahun Dengan Lelaki 41 Tahun


Motif Misteri Kes Kahwin Budak 11 Tahun Dengan Lelaki 41 Tahun | Bayangkan sekiranya anak gadis atau adik perempuan anda yang berusia 11 tahun dikahwinkan dengan lelaki tua berusia 41 tahun... bagaimanakah reaksi anda? 

Sejurus saja Malaysia kecoh dengan isu sardin tin yang mengandungi cacing mati dan kekalahan Jerman di tangan Korea Selatan dalam perlawanan bola sepak Piala Dunia 2018, pada minggu yang sama tular pula kisah seorang kanak-kanak bawah umur mengahwini lelaki yang berusia 4 kali ganda lebih tua daripadanya, malah layak menjadi bapanya. Berita penuh di link ini: Kerajaan Jawab Isu Kahwin Bawah Umur


Reaksi Netizen Terhadap Isu Kahwin Budak Bawah Umur

Reaksi di kalangan netizen terhadap berita tersebut terbahagi kepada dua golongan iaitu:

1) golongan yang membantah perkahwinan itu sekeras-kerasnya atas alasan gadis itu masih di bawah umur (dia berusia 11 tahun) dan sepatutnya menikmati zaman kanak-kanak sebayanya, dan 
2) golongan yang menyokong perkahwinan itu dengan alasan ia mengikut sunnah dan keluarga pihak perempuan telah memberi restu

Rata-rata netizen menentang perkahwinan tersebut kerana khuatir pengantin lelaki akan melakukan perbuatan pedofilia (yang kini makin berleluasa sebagai gejala sosial dalam masyarakat) terhadap kanak-kanak perempuan terbabit. Kebimbangan mereka berasas kerana insiden ini boleh membuka pintu kepada golongan pedofil menggunakan alasan perkahwinan dengan kanak-kanak sebagai sah semata-mata hendak memuaskan nafsu serakah mereka.


Motif Perkahwinan Yang Samar

Ini adalah pandangan peribadi Ayuni dan sila betulkan jika ada fakta yang salah dikemukakan...

Mula-mula sekali Ayuni ingin menegaskan bahawa Ayuni tidak menyokong perkahwinan tersebut sama sekali kerana ia bertentangan dengan budaya umum masyarakat. Memang benar tidak kelihatan unsur jenayah dalam perkahwinan terbabit kerana perkahwinan tersebut mendapat persetujuan daripada kedua-dua ibu bapa kanak-kanak perempuan itu dan pengantin lelaki seolah-olah menunjukkan bahawa dia tiada niat pedofilia kerana telah mengaku tidak akan bersama dengan pengantin perempuan sehingga dia cukup umur (baca perenggan seterusnya di bawah). Cuma kesilapannya perkahwinan tersebut tidak sah kerana dijalankan di Thailand dan tidak mendapat kebenaran bertulis dari Mahkamah Syariah Malaysia, oleh itu dibatalkan.

Ramai menarik nafas lega berikutan keputusan Mahkamah Syariah tersebut. Ini kerana walaupun terdapat persetujuan dari pihak keluarga dan pernikahan mengikut syarak, namun jika terdapat perkara meragukan dan membangkitkan persoalan dalam perkahwinan itu maka ia boleh jatuh tidak sah. Jika diperiksa semula secara mendalam latarbelakang pihak pengantin dan rangkaian situasi yang membawa ke arah perkahwinan itu, terasa seperti ada yang tak kena dan kemungkinan ada pihak-pihak tertentu yang cuba menyembunyikan niat sebenar perkahwinan tersebut dijalankan.

Pertama sekali kenyataan oleh pengantin lelaki (yang merupakan seorang peraih getah di Kelantan dan telah pun beristeri dua) bahawa mereka berkahwin atas dasar "suka sama suka" amat tidak meyakinkan. Dia mengatakan bahawa dia dan kanak-kanak itu telah bercinta selama 4 tahun. Namun kedengaran seperti tak lojik kerana pada masa itu kanak-kanak itu baru berusia 8 tahun dan berkawan dengan anak gadis lelaki itu sendiri yang sebaya dengannya. Dah tentu pada umur sebegitu kanak-kanak itu akan beritahu kepada kawannya dan kawannya akan tahu tentang hubungan ayahnya lalu beritahu kepada ibunya 4 tahun lalu. Adakah semuanya lakonan semata-mata? Jika benar lelaki itu memang ada menaruh perasaan pada kanak-kanak itu, maka dia sememangnya seorang pedofil. Tidak ada istilah "suka sama suka" antara seorang kanak-kanak kecil yang masih tak reti menilai erti cinta dengan seorang dewasa yang sudah matang.

Kedua, lelaki itu juga enggan menjelaskan dengan lebih lanjut tentang kisah percintaannya, (tiada juga bukti kukuh dari pihak perempuan bahawa mereka sedang bercinta). Sebaliknya dia bercerita panjang lebar tentang rancangannya mahu tinggalkan kanak-kanak itu dengan ibu bapanya di Pattani sehingga berusia 16 tahun selepas pernikahan, dan akan membuat pengesahan nikah dengan Majlis Agama Thailand dan Malaysia selepas itu. Kenyataan ini menunjukkan seolah-olah dia tiada nafsu terhadap kanak-kanak itu dan tidak mempunyai niat untuk menyentuhnya secara seksual. Oleh itu ada kemungkinan juga bahawa tiada unsur pedofilia dalam hubungan mereka. Tetapi apa yang mendorongnya untuk megahwini kanak-kanak itu jika bukan kerana nafsu? Jika dia benar-benar ingin membantu keluarga kanak-kanak yang susah itu, kenapa perlu melalui perkahwinan dengan budak bawah umur? Kenapa tak minta saja ibu kanak-kanak itu membuat cerai khulu daripada suaminya dan berkahwin saja dengan ibu kanak-kanak itu (perceraian secara khulu' merupakan salah satu alternatif perceraian yang boleh berlaku dengan penawaran oleh pihak isteri untuk bercerai dengan suaminya dengan menawarkan sejumlah wang atau harta sebagai pampasan)?

Ketiga, kanak-kanak tersebut dan ibu bapanya berasal dari Thailand dan pengantin lelaki merupakan majikan mereka. Bahagian ini yang paling menarik perhatian Ayuni berbanding kedua-dua aspek di atas tadi. Apakah yang akan mendorong ibu bapa untuk mengahwinkan anak mereka yang bawah umur dengan majikan mereka sendiri di negara asing walaupun mereka tahu majikan tersebut sudah pun mempunyai dua isteri? Adakah mereka cuba menjual anak perempuan mereka sekaligus menyeludupnya masuk ke Malaysia setelah cukup umur dengan menggunakan alasan pernikahan untuk mengaburi pandangan masyarakat?


Cubaan Menghalalkan Penyeludupan Manusia?

Ini mengingatkan Ayuni kepada kes-kes wanita warga asing dari Thailand, Kemboja, Indonesia dan sempadan perairan Sabah/Sarawak membayar lelaki warga tempatan di kawasan sempadan negara (walaupun lelaki itu dah beristeri) untuk mengahwini mereka dan menguruskan dokumen kewarganegaraan mereka. Ini lebih mudah dan cepat dilakukan berbanding melalui agensi atau sindiket. Ada yang tinggal bersama dengan lelaki itu selaku suami isteri, ada yang tinggal bersama sehingga wanita tu berjaya dapat taraf kewarganegaraan, dan ada yang tak tinggal bersama langsung lalu status perkahwinan hanya wujud atas kertas. 

Kebanyakannya wanita ini akhirnya diceraikan oleh lelaki tersebut setelah berjaya mendapatkan taraf kewarganegaraan dan pekerjaan dalam negara. Kemudian mereka akan bebas menjalani kehidupan baru dalam negara ini, ada yang mendirikan rumahtangga bersama lelaki pilihan mereka dan beranak-pinak sehingga ke generasi seterusnya. Ini memang salah satu perjanjian biasa dalam perkahwinan sebegini, untuk menghalalkan penyeludupan manusia di sisi undang-undang.

Jika kes kanak-kanak berusia 11 tahun ini juga merupakan salah satu cubaan menghalalkan penyeludupan manusia masuk ke dalam negara melalui perkahwinan, maka ada hikmah usia kanak-kanak tu ditonjolkan agar orang yang boleh nampak benda tersirat akan menyedari apa yang telah lama berlaku di sempadan negara di sebalik kontroversi tersebut. 

Yang menjadi isu bukan usia kanak-kanak yang berstatus bawah umur, tetapi motif di sebalik perkahwinan tu. Sebelum ini pun ada kes gadis berumur 13 tahun berkahwin dengan teman lelakinya yang berusia 19 tahun dan tiada siapa yang kecoh pun. Bezanya terdapat banyak kemusykilan dalam latarbelakang perkahwinan kes kanak-kanak 11 tahun ini. Banyak persoalan yang belum terungkai.


Misteri Belum Terungkai

Apakah sebenarnya yang sedang berlaku? 

Mungkin disebabkan kemiskinan melarat ibubapa kanak-kanak perempuan itu cuba menjualnya kepada majikan mereka melalui cara yang halal di sisi undang-undang iaitu melalui perkahwinan. Mungkin ibu bapa kanak-kanak perempuan itu nak selamatkan dia daripada kesusahan hidup yang membelenggu mereka di Thailand (Pattani dilanda krisis keganasan militan), dan mungkin di atas rasa kepercayaan sesama Muslim dan terhutang budi mereka berhasrat menjadikan majikan mereka sebagai pelindung anak mereka ("legal guardian"). Mungkin mereka hendak memberikan anak gadis mereka masa depan yang lebih baik sebagai warganegara Malaysia melalui perkahwinan dengan majikan mereka.

Mungkin pengantin lelaki menerima bayaran atau mendapat faedah dalam bentuk lain tertentu melalui perkahwinan tersebut. Mungkin dia menjadikan anak gadis pekerjanya sebagai cagaran untuk suatu hutang yang dia berikan kepada mereka. Mungkin dia memang ikhlas hendak membantu keluarga Thai tersebut melindungi anak mereka melalui kemudahan yang boleh diperolehi sebagai isteri warga Malaysia (contohnya pengeluaran wang untuk membiayai pendidikan, melangsaikan hutang pinjaman atau membeli kediaman dari caruman KWSP suami). Lebih mudah mendapat kemudahan yang dinikmati sebagai pasangan warganegara daripada sebagai anak angkat. Mungkin dia mengambil kesempatan ke atas kemiskinan pekerjanya untuk memuaskan keinginan pedofilia.

Segala kemungkinan di atas yang kita tak akan ketahui yang mana satu kebenarannya sehingga ditunjukkan oleh Tuhan dengan kuasa-Nya. Buat masa ini motif perkahwinan kontroversi terbabit kekal misteri.

Tentang Ayuni Rafilah

Seekor kentang gemuk bertopi. Meminati kucing, teknologi, steampunk, membeli-belah secara online, melayari YouTube serta mengumpul topi. Juga memiliki obsesi terhadap kentang pink pada tahap yang membimbangkan.

0 Komen:

Catat Ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.