Baru
Tunggu kejap ya... nak cari entri terbaru

DIARI

Kad Ditelan Mesin ATM


Kad Ditelan Mesin ATM | Beberapa saat selepas mesej "Your card is being verified" dipaparkan dalam skrin, tiba-tiba keluar selingan iklan Bank Muamalat tanpa henti. Kad pula tak keluar-keluar semula dari mesin ATM. Sah dah kena telan. 

Sakitnya hati apabila kad debit kena telan oleh mesin ATM tatkala tengah nak keluarkan duit. Dahlah mesin dalam kampus ada tiga buah saja dan setiap satu terletak jauh-jauh dari saling satu sama lain. Lebih sakit hati apabila ada staf dan pelajar yang beratur di belakang kita tadi elok pula menggunakan mesin ATM seperti biasa. Nampaknya nombor giliran Ayuni agak malang pada hari itu. Nasib baik masih ada simpan duit tunai dalam tangan untuk makan malam. 

Apa nak buat? Kalau di UIA Gombak boleh juga berjalan ke pejabat bank cawangan dalam kampus untuk minta bantuan. Di UIA kuantan ni pejabat bank cawangan berada jauh di pusat bandar dan sekarang pun dah waktu balik kerja, jadi dah tentu bank pun tutup. Ayuni cuba call hotline Bank Muamalat, kemudian teringat bahawa kad ATM yang digunakan ialah kad bank CIMB. Perlu ke call CIMB?

Lama-lama Ayuni tak jadi nak call mana-mana bank dan buat keputusan untuk buat kad ATM baru dengan bank cawangan CIMB di pusat bandar keesokan harinya. Tetapi untuk langkah keselamatan, Ayuni cepat-cepat pindahkan duit dalam akaun CIMB ke akaun gaji yang disimpan dalam bank lain. Akaun CIMB tu Ayuni wujudkan khas untuk menerima bayaran hasil blogging, tempahan design template dan online sales, serta membuat bayaran untuk online shopping dan Grab Pay sahaja.

Mesin ATM yang depan je nampak baik tetapi sebenarnya raksasa pemakan kad yang suka menyusahkan orang lain.

Esoknya Ayuni menaiki Grab ke pusat bandar Kuantan. Mula-mula ingat nak turun di Jalan Bank depan Masjid Negeri tu. Tetapi Ayuni lupa hari itu hari Jumaat dan Uncle driver Grab kelihatan agak ngeri bila dapat tahu dia kena drop-off Ayuni di situ. Takut tersangkut dalam kesesakan jalan nanti hingga terlepas peluang untuk mengambil penumpang lain, Uncle itu pun pujuk Ayuni supaya guna laluan lain yang lebih selesa dan cadangkan Ayuni turun di bank CIMB depan Berjaya Megamall. "You boleh shopping sekali tau, lagi happy lepas pergi bank sana," katanya.

Ayuni bagitahu dia ikutlah jalan mana yang dia rasa senang, dan memang betul lebih mudah dan selesa turun di CIMB cawangan depan Berjaya Megamall tu. Dengan gaya tak ubah seperti pemandu pelancong, Uncle driver Grab tu tak putus-putus bagi cadangan nak makan mana dengan membeli-belah di mana dalam kawasan pusat bandar. "Situ ada McD, KFC... situ ada kedai Arab Zam Zam kalau you mau Muslim food... sana macam-macam nasi lauk pun you boleh cari kalau you turun dekat sini..."

Masa turunkan Ayuni depan bank pun dia mengingatkan lagi, "Ingat nanti you pergi shopping tau!"

Berjalan-jalan di pusat bandar Kuantan dengan Uncle driver Grab.

Senang juga rupanya nak buat kad ATM baru. Pergi ke bank, bagitahu kad dah kena telan nanti bank akan bagi borang untuk diisi. Dalam borang tu isi butiran maklumat yang diperlukan iaitu nama, nombor kad pengenalan, nombor telefon dan nombor akaun. Lepas tu hantar borang dan serahkan kad pengenalan untuk dibuat salinan fotokopi oleh kerani bank. Sambil tunggu kad sedang dibuat, layan sajalah tazkirah tentang akaun simpanan ASB dan simpanan apa benda entah untuk pembiayaan pengajian anak walaupun anda belum berkahwin dan tiada anak.

Tak sampai 10 minit kad ATM baru dah siap. Tinggal nak tukar nombor PIN. Dalam bank itu sendiri ada mesin ATM, jadi mudah nak tukar nombor PIN pada masa tu juga. Tekan nombor yang bank bagi dalam slip, kemudian tukar nombor tu dengan nombor lain. Selesai dah.

Lepas tu Ayuni pun pergi shopping dan membawa balik barang-barang ini.

Penafian oleh Ayuni Rafilah

Segala penulisan yang dikongsi dalam blog ini merupakan pendapat peribadi milik penulis semata-mata yang telah ditapis mengikut garis panduan Akta Hasutan 1949, Akta Jenayah Komputer 1997 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Semua pendapat yang ditulis dalam blog ini tidak mewakili pendapat mana-mana pertubuhan, jenama dan parti politik.

1 Komen:

  1. takpernah lagi kad ditelan mesin atm hahaha harap harap janganlah . ramen tu nampak menarik hikhik

    BalasPadam

Dikuasakan oleh Blogger.